Pengikut dan Ex-smgrian

Saturday, February 5, 2011

Tanggungjawab Mencegah Kemungkaran

Mencegah dan menghindari kemungkaran adalah satu tanggungjawab yang berat namun wajib dilasanakan oleh setiap Muslimin dan Muslimat.

Tanggungjawab ini hanya mampu dilaksanakan andainya hati mempunyai keberanian dan keimanan yang sebenar-benarnya kepada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T.



Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap". 
- Al-Israa': 81.

Kita hendaklah mempunyai keberanian untuk berkata yang benar dan menentang perkara yang salah tidak kira kepada sesiapapun.

Firman Allah S.W.T.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". - Al-Baqarah: 30

Tanggungjawab manusia sebagai Khalifah di muka bumi adalah untuk meletakkan Islam di tempat yang tertinggi dan bukannya bermusuh-musuhan sesama saudara Islam. Sebaliknya hendaklah saling menasihati dan tegur menegur andainya berlaku kesilapan.

Menurut pandangan Profesor Dr. Hamka di dalam Tafsir Al-Azhar:

"Dengan adanya amar makruf kemungkaran dapat dibendung dan yang makruf dapat dialirkan terus sehingga umat Islam menjadi pelopor kebajikan di dunia ini."

Hadis Rasulullah S.A.W.

"Barangsiapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, jikalau tidak berkuasa hendaklah dia mengubahnya dengan lisannya dan jikalau tidak berkuasa juga, hendaklah dia mencegah dengan hatinya dan sesungguhnya ini adalah selemah-lemah iman."

Berdasarkan Hadis di atas, terdapat tiga cara untuk kita mencegah kemungkaran:
  1. Mencegah kemungkaran dengan tangan, bermaksud mencegah kemungkaran dengan kuasa atau kemampuan yang ada pada dirinya seperti dari segi perundangan atau kepimpinan.
  2. Mencegah kemungkaran dengan lisan, bermaksud mencegah kemungkaran dengan lidahnya seperti bersuara atau menegur andainya melihat sesuatu kemungkaran berlaku.
  3. Mencegah kemungkaran dengan hati, bermaksud membenci kemungkaran yang berlaku di dalam hati dan mendoakan agar mereka yang melakukan kemungkaran tersebut insaf dan kembali ke pangkal jalan.  Menurut Rasulullah S.A.W. cara begini digambarkan sebagai selemah-lemah iman.

Sabda Rasulullah s.a.w.  riwayat Ad-Dailami yang bermaksud:
             
"Akan berlaku di akhir zaman satu kaum di mana mereka yang diberi kuasa, lalu mereka berhukum bukan dengan hukum Allah. Dan mereka tidak mencegah (maksiat yang berlaku) maka wajib ke atas mereka mendapat laknat Allah". (Rujukan Minhajus Solihin ms.415)

Sebenarnya kemungkaran perlu dicegah pada diri sendiri terlebih dahulu, kemudian pada keluarga dan seterusnya kepada masyarakat sebelum menunding jari kepada pihak yang berkuasa kononnya tidak menjalankan tugas membendung perkara-perkara negatif seperti gejala sosial di kalangan remaja misalnya.
Dan adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap Muslimin untuk mencegah kemungkaran.

Firman Allah S.W.T.

"Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan sememangnya tidak ada sesiapa yang boleh mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan  mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)"- Ali ‘Imran: 135

Dicernakan daripada Khutbah Jumaat Tanggungjawab Mencegah Kemungkaran yang disampaikan oleh Hj. Muhammad Ali bin Hj. Mohamad Noh, Imam Masjid Negeri, Ipoh, Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari 2011.






No comments: