Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, February 25, 2011

Membangun Masyarakat Mithali

Umat Islam perlu mencontohi Rasulullah SAW yang telah berjaya membina masyarakat mithali yang hebat dalam aspek ilmu, amal dan iman sewaktu hayat Baginda.

Pada zaman yang serba moden ini kita melihat institusi kekeluargaan dan akidah umat Islam mulai goyah ditambah pula dengan gejala sosial yang semakin meningkat.

Kita adalah dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan kewibawaan umat Islam. Justeru itu kita perlu mengubah sikap, pemikiran dan tindakan ke arah yang lebih positif.

Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri".- (Surah Al-Ra'du: 11)


MELAHIRKAN MASYARAKAT MITHALI

1. Hendaklah membudayakan ilmu di semua bidang juga membudayakan iqra' (pembacaan) dalam semua sudut bagi memperkasakan dan memperkembangkan ilmu pengetahuan.  Dengan cara ini umat Islam mampu bersaing di persada dunia dengan melahirkan para cendikiawan yang pakar dalam bidang sains, teknologi, politik, ekonomi, pertahanan dan lain-lain.  Dengan beriman dan menguasai ilmu pengetahuan sahaja masyarakat Islam akan kembali gemilang.

Firman Allah SWT:

"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu berdukacita padahal  kamulah orang yang tertinggi (kedudukannya di sisi Allah) jika kamu orang yang (benar-benar) beriman". - (Surah Ali Imran: 139)

2. Kita perlu membawa keluarga dan masyarakat menghayati Islam yang sebenarnya.

Firman Allah SWT:

"Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka". - (Surah At-Tahrim: 6) 

Institusi keluarga yang runtuh akan menjadikan umat Islam lemah.

3. Melaksanakan tarbiyah kepada anak-anak mengikut acuan Islam. 

"Wahai Tuhanku!, Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami!, perkenankanlah doa permohonanku". - (Surah Ibrahim: 40)

Gejala sosial di kalangan pemuda dan pemudi yang berlaku kini adalah berpunca kerana golongan ini tidak ditarbiyah sebenar-benarnya mengikut lunas Islam.

4. Memelihara solat kerana dengan mendirikan solat itu akan menegakkan syiar-syiar Islam.  Menurut hadis daripada Abu Hurairah r.a.:

Bersabda Rasulullah s.a.w :

"
Sesungguhnya amalan yang pertama dihisab (dihitung) pada seorang hamba di akhirat ialah solatnya, maka sekiranya baik solatnya, sesungguhnya dia termasuk dalam golongan yang menang dan berjaya, dan sekiranya rosak solatnya, maka dia termasuk dalam golongan yang kecewa dan rugi". 

5. Berusaha menjana penyatuan dan perpaduan ummah yang berteraskan Islam dan atas dasar taqwa kepada Allah SWT. 

Firman Allah SWT:

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah  kamu bercerai-berai". - (Surah Ali Imran: 103)

6. Melaksanakan syariat Allah sepenuhnya.  Gejala sosial yang semakin menjadi-jadi sekarang ini dan kes pembuangan bayi yang semakin meningkat berlaku kerana penyelesaiannya tidak dirujuk kepada Islam. 

Firman Allah SWT:

"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu daripada sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, bahawasanya Allah mahu menimpakan mereka musibah (di dunia) disebabkan sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Sesungguhnya kebanyakan daripada umat manusia itu adalah orang yang fasiq".
- (Surah Al-Maidah: 49)
    Kesimpulannya, kita hendaklah kembali kepada Islam dan menegakkan syariat Allah sebagai penyelesaian terhadap kemelut yang ada.  Kita juga wajib menegakkan syariat Islam di dalam rumahtangga kita, masyarakat dan seterusnya menerapkan di dalam hidup kita.  Sesungguhnya tugas mengemballikan masyarakat mithali adalah tanggungjawab bersama.

    Firman Allah SWT:

    "Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan bagi orang Islam". - (Surah An-Nahl: 89)

    Dicernakan daripada Khutbah Jumaat berjudul Membangun Masyarakat Mithali yang disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Hj Abdul Aziz bin Hj Ahmad di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

    No comments: