Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, February 11, 2011

Maulidur Rasul membawa perubahan


Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. memberi erti yang besar dalam sejarah kehidupan manusia, semenjak kelahiran baginda dan beliau diutuskan menjadi Rasul, bermulalah perubahan suatu tamadun besar, berasaskan akidah yang unggul, syariat yang syumul dan akhlak yang luhur.

Maka kerana itu, wajarlah sambutan memperingati kelahiran baginda diadakan di seluruh dunia. Biasanya tokoh-tokoh besar dunia diingati kerana jasa mereka. Justeru, pastilah Nabi Muhammad S.A.W juga diperingati kelahirannya, kerana Baginda adalah Rasulullah dan kerana jasa peninggalan baginda lebih besar dari segala jasa-jasa yang ditinggalkan oleh semua tokoh besar dunia. Tiada nama yang paling banyak disebut orang melainkan Nabi Muhammad S.A.W. yang diiringi dengan doa.

Rasulullah S.A.W. dilahirkan pada 12 Rabiulawal, pada Tahun Gajah. Tahun Gajah dirujuk kerana tahun tersebut Abrahah menyerang Mekah untuk meruntuhkan Kaabah. Rancangan jahat Gabenor Yaman itu telah dipatahkan oleh Allah S.W.T. dengan mengirimkan sekumpulan burung Ababil untuk menghancurkan mereka. Abrahah sendiri terkorban dan tenteranya musnah, kulit dan daging mereka hancur luluh seperti dimakan ulat.

Kitab sejarah merakamkan di subuh Isnin 12 Rabiulawal pada Tahun Gajah. Cahaya terang terpancar dari rumah tempat Nabi dilahirkan telah menerangi ruang angkasa langit kota Mekah, sebagai tanda lahirnya perubahan ketika kota Mekah baru dilanda pencerobohan Abrahah. Cahaya terang adalah merupakan cahaya hidayah yang memancarkan perubahan, kepada meruntuhkan asas-asas pemikiran jahiliah, perundangan, prinsip dan budaya jahiliah, dengan menggantikannya kepada pemikiran, perundangan, prinsip-prinsip dan budaya hidup Islam yang berasaskan kepada pengabadian kepada Allah dan menyingkir jauh-jauh kepatuhan kepada thoghut.

"Sesungguhnya Kami telah mengutus pada setiap umat seorang Rasul dengan perintah: "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah thoghut (syaitan dan apa sahaja yang disembah selain Allah)".(An-Nahl ayat 36)


NABI SEBAGAI CONTOH NEGARAWAN

Rasulullah SAW telah membawa al-Quran dan Sunnahnya untuk mengubah manusia dari sesat kepada hidayat dan terus selamat dari dunia hinggalah ke Akhirat. Sebagai seorang negarawan besar, Baginda telah mengasaskan sebuah negara Islam di Madinah dengan perubahan kepada sistem pentadbiran dan siasah Islam. Dalam ekonomi, Baginda telah mengubah sistem riba' kepada sistem ekonomi kewangan dan muamalat Islam yang menyelamatkan manusia dari kezaliman riba', penindasan dan penipuan. Dalam perubahan masyarakat, baginda telah mengasaskan sistem masyarakat dan kekeluargaan islam yang menjamin kehidupan rumahtangga yang bahagia, anak-anak yang soleh dan masyarakat yang aman damai.

Dalam pendidikan, Baginda telah melakukan perubahan daripada pendidikan yang memisahkan pembentukan rohani dan jasmani kepada pendidikan yang seimbang. Iaitu pendidikan yang berpaksikan pengabadian kepada Allah SWT. Dalam akhlak Baginda telah mengasaskan satu perubahan besar-besaran dari sifat-sifat keji (mazmumah), maksiat, munkar, suka bergaduh, berhasad dengki, tamak harta dunia, sombong dan riak kepada kehalusan budi pekerti yang mulia, dengan sifat-sifat terpuji (mahmudah). Inilah gagasan perubahan yang paling besar, sebagai jasa yang tidak pernah dilakukan oleh siapa-siapa sebelum dan selepas baginda. Suatu perubahan yang lengkap sehingga melengkapkan segala yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu. Segala perubahan terkini yang tidak merujuk kepada perubahan yang dibawa oleh baginda rasulullah S.A.W semuanya tidak diterima dan tidak diredhai oleh Allah S.W.T.

Firman Allah :

"Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam sebagai cara hidup, maka tidak akan diterima daripadanya. Pada hari akhirat kelak dia tergolong daripada orang yang rugi".(Ali-Imran ayat 85)


KESIMPULAN

1- Umat Islam wajarlah menyambut Hari Keputeraan Baginda Rasulullah S.A.W. dengan bersolat, kerana solat itu sebagai bukti kecintaan kita kepada Baginda. Solat kepada Baginda tidak sekadar tuntutan ibadat yang diberi ganjaran pahala, tetapi solat adalah lambang kecintaan kita kepada Rasulullah lebih dari kecintaan kita kepada diri sendiri, serta lebih dari kecintaan kita kepada harta, pangkat dan selainnya yang kita miliki.

2- Sekiranya umat Islam benar-benar cintakan Rasulnya, maka apa yang ada pada Baginda ialah risalahnya, al-Quran sebagai hukum-hukum yang ditinggalkan oleh Baginda sebagai pusaka untuk umatnya. As-Sunnah sebagai contoh perjalanan syariat oleh Baginda untuk dilaksanakan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Maka sekaranglah masanya, kita sebagai umat Islam patut membuktikan kecintaan kita, supaya bersatu tenaga dalam wadah jihad pada jalan Allah.

Sebagai umatnya, kita dituntut bekerja keras berjuang agar syariat Allah dan risalah Baginda itu dapat ditegakkan dalam keluarga, masyarakat dan negara. Kerana menegakkan syariat Allah itu tidak akan terlaksana, melainkan umat Islam bersatu tenaga menegakkan sebuah pemerintahan yang melaksanakan hukum-hakam Allah dibuminya. Selagi Islam tidak tegak sebagai syariat dalam siasah negara, maka selama itulah, umat Islam memikul kemungkaran yang besar.

3- Semua bentuk pemikiran dan ideologi Barat atau perjuangan yang tidak merujuk kepada syariat Allah atau sunnah Rasulnya, hendaklah kembali merujuk kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. sebagai bukti kebenaran cinta umatnya kepada Baginda. Disamping itu umat Islam mestilah berani membuat perubahan seperti beraninya Rasulullah S.A.W. mengubah budaya hidup jahiliah yang bersandar kepada kuasa-kuasa thoghut yang zalim dan menindas kepada kuasa keadilan Islam yang diperjuangkan oleh Baginda iaitu modul perubahan yang berani mencabut kekufuran, syirik dan segala bentuk penjajahan pemikiran sekular kepada perubahan kepatuhan, wala' dan kesetiaan hanya kepada Allah dan syariatnya.

"Wahai orang yang beriman!, Masuklah kamu kedalam agama Islam (dengan mematuhi segala hukum-hakamnya) secara keseluruhan dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu".(Al-Baqarah ayat 208)

Dicerna daripada Khutbah Jumaat MAULIDUR RASUL MEMBAWA PERUBAHAN yang disampaikan oleh A.F. Ustaz Hj. Abd Aziz bin Hj Ahmad pada 11 Februari 2011 bersamaan 8 Rabiulawal 1432H di Masjid Negeri Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

1 comment:

insidewinme said...

Ketika Rasulullah Saw. menantang berbagai keyakinan bathil dan pemikiran rusak kaum musyrikin Mekkah dengan Islam, Beliau dan para Sahabat ra. menghadapi kesukaran dari tangan-tangan kuffar. Tapi Beliau menjalani berbagai kesulitan itu dengan keteguhan dan meneruskan pekerjaannya.