Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, July 7, 2010

Cerita sisi gelap remaja Faiz


Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Utara Malaysia (UUM) ini tidak segan mengakui bahawa dirinya pernah gagal dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (LCE).

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

Dalam setiap kelahiran, seseorang itu pasti menemui kegagalan tidak kira kecil atau besar.  Ada yang jatuh tersungkur, ada juga yang merasakan dirinya malang atau pembawa sial apabila sering ditimpa kegagalan.

Namun, kegagalan bukan sesuatu yang mustahil untuk ditangani.  Sebaliknya jika seseorang itu membulatkan tekad dan berusaha untuk mengubah nasibnya dari seorang yang gagal menjadi tokoh yang disegani, kejayaan mungkin menyebelahinya.

"Semua orang inginkan kejayaan tetapi percaturan dalam hidup ini adakalanya tidak tepat.  Sekiranya kejayaan yang diharapkan bertukar dengan kegagalan yang memeritkan, memang tidak mudah untuk kita bangkit semula.

"Tetapi percayalah, setiap dari kita mempunyai peluang untuk berjaya sekiranya kita berusaha ke arah itu," ujar Profesor Madya Datuk Ahmad Faiz Hamid, 62.

Berkongsi pengalamannya yang gagal satu ketika dahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia (UUM) ini memberitahu Kosmo! beliau juga pernah melalui saat-saat sukar dalam hidupnya.

Malah, pada waktu itu hanya satu perkara yang boleh dilakukan olehnya iaitu berserah pada takdir.

Gagal LCE

"Mengimbau kisah remaja pada tahun 1960-an, saya seorang anak yang berpotensi dalam pelajaran.  Tamat sekolah rendah, saya terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Datuk Abdul Razak di Tanjung Malim, Perak iaitu sebuah sekolah berasrama penuh yang juga antara sekolah 'premier' di Tanah Melayu ketika itu.

"Namun akibat banyak bergaul, pelajaran saya tidak menunjukkan prestasi memberansangkan, lebih-lebih lagi sewaktu berada di tingkatan tiga.

"Pada tahun saya menduduki peperiksaan LCE (sekarang Penilaian Menengah Rendah), bapa saya meninggal dunia.  Mungkin terlalu memikirkan keluarga, saya hanya dapat pangkat tiga dalam LCE dan tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran di sekolah terbabit," jelasnya yang turut mengakui mula merokok pada usia 13 tahun.

Sekembalinya ke kampung halaman di Lenga, Muar, Johor, ibunya sempat memberi kata dua, sama ada mahu sambung ke tingkatan empat tetapi dengan syarat mencari duit belanja sekolah sendiri ataupun memberi peluang kepada adik-adiknya yang lain untuk terus bersekolah.

"Arwah bapa meninggalkan kami 11 beradik ketika saya masih bersekolah dan adik-adik yang lain masih kecil.  Sebagai anak kedua, saya tidak mahu membebankan ibu dengan masalah saya sedangkan tanggungjawab yang lebih besar menanti ibu.

"Pada waktu itu, baru saya sedar, saya telah mensia-siakan peluang sewaktu belajar dulu.  Maka disebabkan itulah saya ambil keputusan berhenti belajar dan bantu ibu," ujarnya.

Kerja kampung demi keluarga

Setahun bekerja, demi mengikut bapa saudaranya menangkap ikan di Kuantan, menjadi buruh kasar di Bandar Maharani dengan upah RM3.30 sehari hingga ambil upah bekerja di kebun kelapa di Pontian, Faiz mula rindu untuk belajar semula.

"Saya jadi murung dan tertekan dengan keadaan yang menghimpit pada waktu itu.  Saya tiada keyakinan diri dan tak tahu di mana masa depan saya.

"Saya mula terfikir, takkan selamanya aku nak kerja macam ni, sedangkan dulu aku budak pandai?" katanya.

Melihatkan kesungguhannya untuk belajar, seorang bapa saudaranya menghadiahkan beliau satu doa dengan jaminan nasibnya akan berubah jika doa itu diamalkan.

Seminggu mengamalkan doa itu, terasa kehidupan ini kembali terisi.

"Saya juga mula percaya, rezeki dan kejayaan itu ada di mana-mana untuk saya, sama ada cepat atau lambat, ia mampu dicapai sekiranya saya berusaha memilikinya," kongsi beliau lagi.

Letih menjadi anak rantau, Faiz kembali semula ke Muar dan menetap bersama keluarganya.  Sebaik sahaja pagi menjelma, Faiz sudah bersiap-siap untuk keluar menoreh getah.  Usai kerja di ladang, waktu petang diisi dengan mengerah tenaga di sawah padi.

Apabila kesedaran mula meresap dalam jiwa mudanya, Faiz tidak lagi membazirkan masa menghisap rokok daun di tepi simpang, sebaliknya masa lapang yang ada dimanfaatkan dengan menyertai program-program yang dianjurkan persatuan belia di kawasannya.

SPM pada usia 25 tahun

Selepas beberapa tahun hasratnya menyambung pelajaran tertangguh, Faiz akhirnya berjaya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Mohd. Yassin, Muar pada usia 25 tahun pada tahun 1972.

"Walaupun saya jadi 'pelajar dewasa'  dan terpaksa menumpang belas ihsan orang untuk sambung belajar, saya tolak tepi perasaan malu demi merealisasikan impian saya selama ini," ungkapnya lagi.

Bertitik tolak daripada kejayaannya mendapat keputusan SPM yang memberansangkan, Faiz melanjutkan pelajaran ke peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Dalam tempoh belajar, Faiz turut mengajar Kepimpinan di kelas Bimbingan Persatuan Pelajar Melayu Muar di sekolah yang sama.  Tanpa tunjuk ajar dari sesiapa, beliau berjaya peroleh dua prinsipal B.

"Pada tahun 1975, saya melanjutkan pengajian dalam bidang Sosiologi di Universiti Malaya dan mendapat ijazah pertama dua tahun selepas itu," katanya yang menjadi Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) sepanjang tempoh pengajiannya di universiti terbabit.

Ke Felda dan UUM

Menyertai Felda selepas tamat pengajian pada 1978, keterujaan Faiz dalam membangunkan persatuan belia dan jati diri anak desa bagaikan terubat apabila dilantik sebagai Pegawai Pembangunan Belia di organisasi terbabit.

Berkhidmat hampir enam tahun di Felda, beliau ditawarkan sebagai pensyarah di UUM pada tahun 1984.

Moto GPMS, 'Belajar Terus Belajar' yang terpatri dalam jiwa anak Johor itu membakar semangatnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.

Memilih bidang Perhubungan Antarabangsa, Faiz terbang ke United States International University di San Diego, Amerika Syarikat untuk memenuhi impiannya bergelar siswazah pada tahun 1985.

Pada tahun 1990, anak desa yang pernah mendapat pangkat tiga dalam LCE itu berjaya menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang yang sama di University of Waikato, New Zealand.

Beliau yang menyifatkan sisi gelap hidupnya ketika bergelar remaja dahulu banyak mengajar dan mendewasakannya, malah membentuk keperibadian tidak mudah mengalah dalam dirinya.

"Pesanan saya, sesiapa pun tidak harus mensia-siakan peluang yang telah diberikan padanya, tidak kira sama ada kecil atau besar.

"Setiap daripada kita juga perlu ada mentor yang boleh dicontohi sikap positifnya dan sentiasa dalam keadaan bermotivasi supaya kita tidak lari dari landasan yang sepatutnya.

"Yang ketiga, jika ingin berjaya, semangat perlu ada, disiplin dan usaha perlu berterusan dan jangan sekadar melepaskan batuk di tangga.  Percayalah, kalau kita berusaha sehabis baik, tidak abaikan tanggungjawab dan tidak mudah berputus asa, insya Allah kejayaan yang diidam pasti dalam genggaman," tegas Faiz mengakhiri perbualan.

Info Ahmad Faiz Hamid
  •  Memegang falsafah: "Tidak akan lari daripada kegagalan sebaliknya cari jalan bagaimana nak tebus kegagalan itu dengan sebuah kejayaan yang membanggakan".
  • Faiz tidak pandai dan tidak boleh memandu kenderaan selepas terlibat dalam kemalangan ngeri pada tahun 70-an.
  • Walaupun aktif menyertai persatuan belia semasa muda, kedua-dua anak lelakinya, Ahmad Munir Akram, 33, dan Ahmad Mubin Rashdan, 31, tidak menunjukkan minat yang sama.
  • Baginya tidak rugi jika aktif berpersatuan, malah penglibatannya dalam Kursus Kepimpinan Belia di Pusat Belia Negara, Kuala Kubu Baru awal 70-an telah menemukannya dengan isterinya, Datin Tengku Azizah Tengku Ismail, 62.
  • Sangat suka bercakap mengenai kepimpinan dan jati diri khasnya kepada anak-anak muda malah dia akan menceritakan kegagalannya dalam LCE dalam setiap ceramahnya.
  • Selepas menduduki peperiksaan separa SPTM, beliau memohon untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kewartawanan di Institut Teknologi Mara (ITM - kini UiTM) tetapi tidak diterima kerana ketika itu penguasaan bahasa Inggerisnya lemah.
Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 6 Julai 2010.

Imej daripada http://moonfestcharity.uum.edu.my/OrganizationChart-E.html

No comments: