Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, November 16, 2009

PerakTV, medium terbaik untuk rakyat

IPOH – PerakTV satu lagi mercu kepada Kerajaan Negeri dalam usaha menjadikan negeri Perak sebagai pusat utama dalam bidang teknologi maklumat serta pengembangan ilmu kepada seluruh rakyat negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perlaksanaan insiatif PerakTV ini bakal memberi input dan akses secara langsung kepada rakyat apa sahaja maklumat yang relevan serta sesuai untuk mereka.

Menurutnya, PerakTV juga akan berperanan sebagai penyebaran sumber maklumat yang sebenar selain dari internet, media cetak dan elektronik yang sedia ada.

“Pengisian program dalam PerakTV merangkumi politik, sosial, ekonomi, pendidikan dan bidang-bidang lain yang bersangkutan dengan negeri untuk dipromosikan kepada rakyat.

“Buat permulaan sebanyak 300 paparan LCD dan papan digital akan dipasang dalam masa terdekat ini di kawasan strategik di seluruh pelosok negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pra Pelancaran PerakTV di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi, Mohd Zahir Abdul Khalid; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif K Perak, Datuk Yaacob Nordin dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Simfoni Maya Sdn Bhd, Latt Sharizan Abdullah.

Dr Zambry berkata, adanya PerakTV, kerajaan negeri dapat menyampaikan dan menyebarkan segala aktiviti yang dianjurkan bagi memberi gambaran jelas kepada rakyat apa yang dilaksanakan pada peringkat Menteri Besar sehingga ke pemimpin akar umbi.

Katanya, K Perak sebagai agensi kerajaan akan dipertanggungjawabkan untuk menyedia serta memuat turun bahan berita secara langsung kepada rakyat, manakala Simfoni Maya pula berperanan menyediakan infrastruktur lengkap bagi pelaksanaan PerakTV ini.

“PerakTV tidak akan berhasil tanpa kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta, sebaliknya kedua-dua pihak perlu memainkan peranan sama penting dalam usaha memberikan yang terbaik kepada rakyat.

“Paling penting PerakTV ini tidak sama sekali berperanan sebagai medium propaganda, tapi berfungsi sebagai sumber maklumat yang jelas, benar dan relevan bersesuaian dengan penerimaan rakyat negeri ini,” katanya.

Sinar Harian 16 November 2009

No comments: