Saintis sebelum ini hanya mempunyai bukti bagaimana pendapatan individu mempunyai hubungan dengan kepuasan dalam hidup, tetapi kurang menghubungkan wang dengan kegembiraan.
"Kami menguji teori kami bagaimana seseorang itu menghabiskan wangnya sama penting dengan bagaimana mereka memperolehnya," kata Elizabeth Dunn, seorang ahli psikologi di University of British Columbia, Kanada.
Penemuan tersebut telah diperincikan dalam jurnal Science edisi 21 Mac 2008.
Dunn dan kumpulannya telah melakukan kajian ke atas lebih daripada 630 orang Amerika.
Para peserta itu dipilih dari segi tahap umum kegembiraan, pendapatan tahunan, perbelanjaan bulanan termasuk membayar bil, membeli barang untuk diri sendiri, untuk orang lain dan menderma untuk amal.
Pengkaji turut meletakkan pembayaran bil dalam kategori pembelian persendirian.
Analisis secara statistiknya mendedahkan bahawa menghabiskan wang untuk tujuan persendirian tidak memiliki apa-apa hubungan dengan kegembiraan manusia, sementara menghabiskan wang untuk orang lain dan kebajikan mempunyai hubungan dengan pemangkin kegembiraan secara signifikan.
"Tidak kira bagaimana banyaknya pendapatan seseorang itu, mereka yang menghabiskan banyak wangnya untuk orang lain dilaporkan lebih gembira, sedangkan orang yang menghabiskan kebanyakan wang untuk dirinya tidak sedemikian," kata Dunn.
Dalam satu kajian berasingan melibatkan 13 pekerja di sebuah firma berpangkalan di Boston, para pengkaji mendapati, pekerja yang memperuntukkan lebih banyak bonusnya kepada orang lain dilaporkan amat gembira berbanding mereka yang memperuntukkan wang hanya untuk keperluan sendiri.
Dalam eksperimen yang lain pula, para pengkaji telah memberikan beberapa pelajar sejumlah wang dan diminta untuk membelanjakannya pada sebelah petang.
Sebahagian daripada peserta diarahkan untuk membeli barang untuk diri sendiri sementara yang lainnya diarahkan berbelanja untuk orang lain.
Peserta yang menghabiskan wang untuk orang lain seperti membelikan adik anak patung atau belanja kawan makan dilaporkan lebih berasa gembira pada penghujung hari berbanding mereka yang membeli untuk diri sendiri.
"Manusia selalunya pada tahap tertentu selalu berfikir 'beli ini akan membuatkan saya gembira', tetapi ia hanyalah gembira yang sementara," ujar seorang lagi pengkaji.
-Daripada arkib Kosmo!
No comments:
Post a Comment