Maklumat yang diberikan ini hanyalah untuk makluman sahaja. Maklumat yang diberikan tidak sepatutnya digunakan untuk mengenal-pasti atau mengubati sebarang jenis penyakit. Sila rujuk kepada doktor atau ahli perubatan yang terlatih untuk tujuan mengenalpasti jenis penyakit dan rawatan yang bersesuaian.
Penyakit jantung merupakan penyakit pembunuh nombor satu di Malaysia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporannya Mortality Country Fact Sheet 2006, penyakit kardiovaskular menyumbang kepada 11% daripada jumlah kematian di Malaysia.
Bagaimana caranya untuk mengelak daripada serangan jantung? Berikut adalah beberapa petua-petua utama untuk melindungi jantung anda:
Tingkatkan kolesterol baik (HDL) anda dan turunkan tahap trigliserida (lemak).
Kebanyakan orang berusaha untuk menurunkan tahap kolesterol mereka tetapi tahap HDL yang tinggi didapati melindungi jantung anda dari penyakit. Sementara itu, trigliserida yang tinggi adalah faktor utama bagi penyakit jantung. Jikalau digabungkan, trigliserida yang tinggi dengan HDL yang rendah membawa lebih risiko daripada nisbah HDL dengan LDL. Tahap HDL boleh ditingkatkan dengan senaman dan lemak Omega-3. Trigliserida pula boleh dikurangkan dengan melakukan senaman dengan kerap.
Memeriksa tahap zat besi.
Besi merupakan agen pengkarat semulajadi. Oleh itu, jikalau terdapat tahap melampau dalam badan anda akan menghadapi risiko pengoksidaan yang tinggi yang akan membawa kepada penuaan awal. Besi berlebihan juga meningkatkan risiko penyakit jantung. Anda sebaiknya perlu memeriksa tahap zat besi anda dan jikalau terlalu tinggi, cara yang paling senang untuk mengurangkannya ialah dengan menderma darah. Jika anda tidak boleh menderma darah, terdapat juga prosedur therapeutic phlebotomy iaitu pengeluaran darah dari vena.
Mengimbangi tahap insulin.
Tahap insulin yang tinggi boleh membawa kepada masalah rintangan insulin, salah satu faktor utama penyakit jantung. Untuk mengimbangi tahap insulin anda, buat senaman dengan kerap dan juga elak dari makanan bergula.
Pastikan mulut anda sihat.
Penyakit gusi juga boleh mengakibatkan serangan penyakit jantung disebabkan bakteria seperti Streptococcus sanguis (S. sanguis) dan Porphyromonas gingivalis (P. gingivalis) yang boleh mengakibatkan penggumpalan platlet darah. Oleh itu, pastikan anda sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan gigi, gusi dan mulut anda.
Perubahan gaya hidup yang senang untuk kesihatan jantung anda.
Bersama dengan panduan di atas, tiga cadangan di bawah juga boleh membantu meningkatkan kesihatan jantung anda:
* Lebihkan bersenam. Ia lebih berkesan daripada segala jenis ubat untuk merawat penyakit jantung dan seharusnya dijadikan pertahanan pertama anda terhadap serangan penyakit jantung.
* Kurangkan pengambilan makanan berkarbohidrat tinggi seperti makanan berasaskan jagung (minuman berasaskan sirap jagung seperti minuman ringan/bergas), ubi dan makanan bergula tinggi.
* Kawal tahap stres (tekanan) anda dengan aktiviti-aktiviti rekreasi, mendengar muzik dan sebagainya.
Sumber: Buletin Pengguna Edisi Januari 2009
No comments:
Post a Comment