WASHINGTON: Mereka yang terlalu banyak mengirim Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan e-mel disifatkan mengalami 'ketagihan' dan dianggap sebagai petanda mengalami sejenis masalah mental, dakwa seorang penyelidik dan pakar psikologi Amerika Syarikat. Dr Jerald Block dalam rencana disiarkan edisi terbaru American Journal of Psychiatry melaporkan, antara simptom atau gejala masalah itu adalah membuka komputer sejurus tiba di rumah atau sering kali memeriksa telefon bimbit masing-masing yang turut mencetuskan rasa gelisah.
"Ada empat gejala masalah mental sedemikian iaitu berasa kecewa apabila komputer tidak dapat dihidupkan, sering merungut dan mahukan peralatan lebih canggih, mahukan lebih banyak masa menggunakan komputer serta berdepan perasaan negatif ketagihan itu.
Dr Block berkata, biarpun SMS tidak berkaitan dengan internet, tetapi ia mewakili satu cara pesanan ringkas dan pantas yang layak disenaraikan sebagai 'ketagihan.'
"Faktor utama saya mengaitkannya adalah peranan SMS sebagai penyebab nahas jalan raya apabila individu terbabit sering melihat gajet itu. Ia berlaku apabila ketagihan mereka terhadap cara komunikasi itu mencetuskan masalah.
"Sehubungan itu, sudah sewajarnya masalah sedemikian dianggap sebagai aliran yang membimbangkan kerana membabitkan ramai orang. Ia bukannya satu masalah atau kes terpencil."
Sementara itu, Leanne Battaglia, 21, tidak menganggap dirinya sebagai ketagih kepada komunikasi secara online, tetap mengakui yang masalah itu boleh menjadi ketara.
"Ia sudah menjadi sebahagian cara hidup sekarang, tetapi tidaklah di tahap sedemikian," katanya.
Battaglia yang bertugas sebagai perunding jualan dan berada di depan komputer saban hari, mengakui yang dia lazimnya membuka komputer setibanya di rumah.
"Saya menggunakannya setiap malam dan pada siang hari dengan melayari Facebook, eBay dan laman gosip. Telefon bimbit saya pula ibarat satu alat keselamatan. Saya benar-benar berasa kosong tanpanya."
Dr Robert Kaplan, pakar psikiatri Universiti Wollongong, Australia, berkata dia pertama kali berdepan kes ketagihan internet seawal 1998. Sejak itu, dia mendapati aliran ketagihan komputer semakin ketara di kalangan warga Australia.
Mengikut laporan Media dan Komunikasi Di Kalangan Keluarga Australia 2007, anak kecil negara itu menghabiskan purata 1 jam 17 minit melayari internet setiap hari, remaja berusia 15-17 tahun menghabiskan masa 30 minit menghantar SMS dan 25 minit lain bermain permainan secara online.
"Ia semakin ketara. Kita sekarang hidup dalam dunia internet dan membawa pelbagai masalah lain," kata Dr Kaplan.
- Agensi
No comments:
Post a Comment