Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, November 17, 2009

Ibu bapa punca pelajar ganas



Perbuatan manja anak menyebabkan guru gagal kawal disiplin di sekolah: Kajian


LONDON: Sikap ibu bapa yang terlalu memanjakan anak dan tidak sanggup berkata 'tidak' kepada kemahuan mereka menjadi punca golongan berkenaan berkelakuan buruk di sekolah. Penyelidikan baru mendapati, guru terpaksa berdepan dengan sebilangan pelajar yang mengamuk dalam kelas jika tidak dapat apa yang dikehendaki, muncul dalam keadaan letih kerana berjaga sehingga lewat malam serta peningkatan ibu bapa yang menyebelahi anak mereka.

"Ibu bapa yang dilanda tekanan sosial selalunya tidak mampu menangani tindak tanduk anak mereka sendiri, kadang-kadang bertindak ganas dalam melindungi kepentingan anak masing-masing.

"Guru menggambarkan 'kadar tinggi' ibu bapa yang mengaku terlalu mengikut kehendak anak, selalunya kerana tidak mahu perbalahan berpanjangan atau kerana tidak mempunyai insentif alternatif atau sekatan," menurut kajian oleh Universiti Cambridge yang diselia oleh Kesatuan Guru Kebangsaan (NUT).

Setiausaha Agung NUT, Steve Sinnott, berkata ibu bapa berada dalam tekanan memuncak kerana zaman kanak-kanak yang komersial.

"Sebahagian ibu bapa bergelut untuk berurusan dengan anak mereka. Ibu bapa cuba menanganinya dengan menurut kemahuan anak dan mungkin lebih tepat terlalu memanjakan mereka," katanya.

Kajian universiti itu melawat semula sekolah rendah yang terbabit dalam kajian lima tahun lalu. Pada 2002, sekolah melaporkan masalah terbesar mereka ialah cuba mengawal kelas yang membosankan disebabkan kurikulum tidak mencabar. Tahun lalu, sekolah sama memberitahu penyelidik mereka semakin baik dalam mengemudikan kurikulum untuk membabitkan pelajar tetapi kini berdepan masalah tindak tanduk berikutan 'paparan perubahan sosial pantas.'

"Berdepan dengan tahap tindak tanduk yang semakin teruk dan pendirian bersifat permusuhan dari sesetengah ibu bapa, sekolah rendah kini semakin menjadi seperti sekolah menengah, yang kerap melaporkan kejadian seumpama itu dan tindak tanduk pelajar diperhatikan," menurut kajian.

Temubual dengan 200 guru dan beratus-ratus pelajar serta ibu bapa mendedahkan keluarga bergelut untuk mengawal anak mereka.

Seorang ibu berkata beliau menganggap hakikat anak lelakinya tidur pada jam 1 pagi satu kejayaan kerana sebelum ini dia enggan tidur sebelum jam 3 pagi, manakala seorang budak berusia enam tahun memberitahu gurunya cara membunuh 'bapa ayam dan pelacur' selepas mahir dalam permainan komputer.

- Agensi

No comments: