Susur galur Abu Bakar Al-Baqir berasal dari daerah Kendal, Jawa Tengah. Datuknya, Haji Abdul Jabar merantau ke Tanah Melayu dan menetap di Gunung Semanggol pada pertengahan abad ke-19. Sebelum ke Gunung Semanggol, Haji Abdul Jabar pernah tinggal di Klang, Selangor kemudian berhijrah ke Kuala Kurau, Perak. Hasil usahanya, beliau meninggalkan tanah pusaka yang luas kepada anaknya, Mohd. Said iaitu bapa Ustaz Abu Bakar Baqir.
Mohd. Said cukup mementingkan pendidikan agama. Beliau mengasuh anak-anaknya, Muhaiyuddin, Abu Bakar, Abdullah, Aishah, Saodah dan Hafshah dalam suasana didikan Islam yang amat mendalam dan menerapkan Islam sebagai ad-deen.
Ustaz Abu Bakar Al-Baqir lahir di Gunung Semanggol, Perak pada tahun 1907. Ketika usianya enam tahun, anak kelima dari enam beradik ini belajar hingga darjah lima (tertinggi) di Sekolah Melayu Semanggol serta mempelajari fardhu ain dan al-Qur'an. Kemudian, beliau menuntut di Madrasah Al-Rahmaniah, Semanggol yang diasaskan oleh Haji Abdul Rahman Mahmud, bekas penuntut Jame' Al-Azhar Mesir dan Masjid Al-Haram Mekah selama 15 tahun. Kira-kira enam tahun Ustaz Abu Bakar di pondok itu (1919 - 1924) mengaji fiqh, tauhid, tafsir, al-Qur'an dan hadis serta tatabahasa Arab.
Di pondok ini, Ustaz Abu Bakar dilantik sebagai kepala telaah (mengikut tradisi, jawatan itu tidak mampu disandang kecuali mereka yang mencapai tahap kelayakan akademik tertentu). Sebenarnya, perlantikan itu menunjukkan pengiktirafan Tuan Guru Haji Abdullah Pak Yim kepadanya. Dan pengiktirafan inilah yang mendorong Ustaz Abu Bakar menjadi pendidik di samping menubuhkan unit pengajian Kanzul Maarif di pondok itu. Menerusi unit ini Ustaz Abu Bakar bersama rakan-rakannya berlatih berdebat pada setiap malam Jumaat.
Minatnya untuk mendalami politik Islam kian bercambah apabila beberapa rakan, antaranya Ustaz Abdul Halim Haji Ahmad Maliki dan Ustaz Ahmad Score (kerana dia pemain bola sepak) sering berdebat mengkaji kemurnian Islam berbanding komunisme, kapitalisme dan fahaman politik yang lain.
Minat itu sentiasa dipupuk dan kian melebar ke arah menyemaikan semangat cintakan watan apabila beliau mengadakan hubungan dengan penuntut-penuntut Melayu di sekolah-sekolah agama di seluruh Tanah Melayu dan Singapura. Perhubungan dua hala itu bertujuan menubuhkan sekolah-sekolah agama Islam dan mencari ikhtiar menggembleng tenaga untuk membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah.
Antara yang berhubung rapat dengannya, Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan Fadhullah Shuhaimi (Singapura), Ahmad Mahir (Kelantan), Ahmad Fuad Hassan (Kuala Kangsar), Ismail Hamzah (kemudian Mufti -Kuala Kangsar), Haji Arshad (Bagan Datoh), Abdul Hadi Kamil (Sabak Bernam) dan Haji Hassan Yunus (bekas Menteri Besar Johor 1959 - 1967).
Pada tahun 1931 apabila Tuan Guru Haji Abdullah Pak Yim berpindah ke Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar kerana menunaikan jemputan Almarhum Sultan Iskandar Shah (1918 - 1938) menjadi guru, beliau ikut serta sebagai pelajar pula.
Di Madrasah Idrisiah beliau sempat menuntut selama tiga tahun (1931 - 1933). Beliau cukup disayangi gurunya, Haji Abdullah Pak Yim. Justeru, beliau ditauliahkan sebagai guru sambil belajar iaitu pada separuh masa pertama setiap hari menjadi murid, separuh masa lagi menjadi pendidik dengan gaji RM30.00 sebulan.
Pada tahun 1934, Ustaz Abu Bakar Baqir meletakkan jawatan dan pulang ke Gunung Semanggol. Kepulangan ini kerana dijemput oleh gurunya yang pertama iaitu pengasas Madrasah Al-Rahmaniah, Haji Abdul Rahman Mahmud yang juga bakal bapa mertuanya. Setelah setahun kembali menetap di bumi kelahirannya, pada tahun 1935 beliau berkahwin dengan Fatimah Abdul Rahman dan dikurniakan tujuh orang anak.
Kegiatan Ustaz Abu Bakar Baqir tidak hanya tertumpu kepada politik tetapi melebar ke arena ekonomi, kebajikan dan pendidikan. Namun begitu, bidang pendidikanlah yang paling menonjol. Beliau bukan sekadar ulama tetapi dikenali sebagai tokoh pendidik yang berkaliber. Perlantikannya sebagai pengerusi badan kebajikan dan pendidikan Majlis Agama Tertinggi SeMalaya (MATA) serta pernah merangka dasar pendidikan nasional membuktikan keupayaan beliau di bidang tersebut.
Dalam persidangan di Ma'had Al Ehya' Al Shariff (MAEAS) pada 15 November 1947, beliau dibantu oleh Abdul Al-Rabb Al Tamimi, berjaya membentuk Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) bertujuan menyeragamkan sukatan pelajaran sekolah agama rakyat di Tanah Melayu.
Bagi mencapai matlamat itu, sebuah pusat pendidikan sekolah rakyat ditubuhkan dan ia dikelolakan oleh Syeikh Zubir Haji Ahmad yang kemudiannya digantikan oleh Abdul Al-Rabb Al Tamimi, MAEAS telah dijadikan contoh kepada sekolah agama rakyat di tanah air ketika itu.
Dalam bidang ekonomi dan kebajikan pula, Ustaz Abu Bakar mengetuai Persatuan Al-Ehya Al-Syariff sehingga akhir hayatnya (didaftarkan di bawah Undang-undang Kompeni dan Syarikat pada tahun 1940) mengusahakan tiga projek; kilang padi, stesen pam minyak dan stesen janakuasa elektrik.
Stesen janakuasa elektrik yang dibina pada tahun 1956 itu menawarkan perkhidmatan kepada penduduk kawasan Gunung Semanggol, Bukit Putus, Bukit Gunung Semanggol, Kubu Gajah dengan bayaran RM1 sebulan bagi sebuah rumah selama satu dekad. Stesen ini kini telah diambil alih oleh Tenaga Nasional Berhad.
Dalam menggerakkan ekonomi, beliau pernah menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air untuk menarik minat orang Melayu mengusahakan dan menggunakan barang buatan sendiri yang terjamin bersih dari segi syarak. Usaha beliau berhasil apabila beberapa kilang serbuk kopi, kicap dan taucu didirikan di Taiping, Tanjong Malim, Kuala Kangsar dan Ipoh sebagai tapak permulaan penceburan bangsa Melayu dalam dunia perniagaan.
Dalam bidang politik pula, beliau akrab dengan pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) seperti Ibrahim Yaakub dan Dr. Burhanuddin Al-Helmi. Dia cukup serasi dengan Dr. Burhanuddin. Ini dapat dillihat beberapa agenda penting MAEAS, Dr. Burhanuddin turut sama sebagai penggerak utama. Umpamanya, Persidangan Ekonomi-Agama SeMalaya yang berlansung pada 22 - 24 Mac 1947, sekali gus mencetuskan penubuhan Pusat Perekonomian Melayu (PEPPERMAS) dan MATA.
Seperti Dr. Burhanuddin, Ustaz Abu Bakar Baqir turut menerima padah kerana menentang penjajah Inggeris. Dia dipenjara pada 29 Julai 1948 dan dibebaskan empat tahun kemudian (1952). Seiring itu, HAMIM (Parti Hizbul Muslimin yang diketuai oleh Ustaz Abu Bakar Baqir) turut menerima nasib yang sama-berkubur apabila Ketua Umumnya terpenjara.
Setelah dibebaskan, Ustaz Abu Bakar tidak lagi bergiat dalam politik sebaliknya menumpukan perhatian memajukan MAEAS di samping berkhidmat sebagai ahli Majlis Mesyuarat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak serta menganggotai Jawatankuasa Syariah atas sifatnya sebagai seorang ulama.
Beliau juga pernah dilantik berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara Perak dan dianugerahkan sebagai Tokoh Guru pada tahun 1975 setelah meninggal dunia.
Sesungguhnya, 'Ulama dari Gunung' ini telah meninggalkan selaut jasa, segunung intan untuk bangsanya, sudahpun kembali ke alam baqa ketika berusia 67 tahun kerana sakit tua pada tanggal 14 Julai 1974 dan disemadikan di tanah perkuburan Islam Gunung Semanggol.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment