Tarikh hari ini, empat tahun yang lalu, pagi-pagi lagi aku telah bergegas keluar dari rumah. Ketika itu hujan lebat, namun ia tidak menghalang aku untuk pergi ke hospital.
Aku tiba di Hospital Besar Ipoh lebih kurang pukul 7 pagi. Aku terus pergi ke wad bersalin. Setelah mengisi borang dan mendengar taklimat daripada jururawat yang bertugas, aku dibenarkan masuk untuk berjumpa dengan isteri aku.
Isteriku berkata sudah ada pergerakan dan kemungkinan dia akan bersalin bila-bila masa. Dia meminta aku berada bersama menemaninya.
Aku melihat jam tangan, sudah pukul 10 pagi. Anakku masih belum dilahirkan. Tiba-tiba aku merasakan perutku pedih. Baru aku teringat, aku tidak bersarapan pagi tadi.
Isteriku bertanya, adakah aku berasa lapar. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Suhu dalam bilik itu begitu sejuk menambahkan lagi laparku. Aku dapat bayangkan kesejukan yang dialami oleh isteriku yang hanya memakai selapis gaun pesakit, sedangkan aku yang memakai tiga lapis baju pun masih terasa kesejukannya.
Apabila tengah hari, seorang jururawat berbangsa Cina memanggilku mengatakan ibu mertuaku datang dan mahu berjumpa denganku. Aku memandang isteriku dan dia memberikan isyarat membenarkan aku keluar. Di luar, ibu mertuaku sedang menunggu sambil memegang tupperware berisi nasi dan lauk. Aku makan di luar sementara ibu mertuaku menggantikan tempat aku menemani isteriku.
Setelah menunaikan solat Zohor, ibu mertuaku keluar dari labour room dan giliran aku pula masuk ke dalam. Aku melihat isteriku sudah agak lemah. Aku bertanya jururawat bila agaknya anakku akan dilahirkan. Jururawat memberitahu perlu sedikit masa lagi kerana buat masa ini bukaannya terlalu kecil.
Aku teringatkan pesan ibu mertuaku tadi yang merupakan bekas seorang jururawat. Katanya sekiranya isteriku menghadapi masalah untuk bersalin aku boleh memohon agar dilakukan pembedahan. Aku bertanya jururawat bolehkah dilakukan pembedahan. Jururawat itu meminta aku berbincang dengan doktor apabila doktor tiba nanti.
Waktu semakin berlalu pergi. Anak aku masih belum dilahirkan. Aku sudah mula gelisah namun aku cuba menyembunyikan kegelisahan itu. Isteri aku sudah semakin tidak bermaya setelah beberapa kali berusaha. Berbagai sedatif telah diberikan namun masih tidak berjaya.
Seorang doktor masuk untuk memeriksa keadaan isteri aku. Aku berbincang dengannya dan meminta agar diadakan pembedahan. Doktor tersebut meminta aku bertenang. Katanya seboleh-bolehnya dia tidak mahu melakukan pembedahan dan mahukan bayi tersebut dilahirkan secara normal.
Aku melihat jam sudah pukul 7.30 malam. Rupanya sudah hampir 12 jam aku berada di dalam bilik ini menemani isteri aku namun anak aku masih belum dilahirkan. Aku berkata pada isteri aku hendak keluar sebentar untuk menunaikan sembahyang Maghrib.
Di luar aku melihat ayah dan ibuku sudah tiba. Mereka bertanya sudah selesaikah semuanya. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Aku mengajak ayahku ke surau untuk menunaikan Maghrib secara berjemaah. Sewaktu bersujud aku memohon kepada Allah SWT agar isteriku dan anakku selamat.
Setelah selesai menunaikan solat Maghrib kami kembali ke wad dan ibu mertuaku memberitahu bahawa isteriku telah selamat melahirkan seorang anak lelaki. Alhamdulillah, ketika itu hanya Allah sahaja yang mengetahui betapa gembiranya hati aku.
Aku diminta untuk pergi ke wad bayi yang baru dilahirkan untuk mengazankan anakku. Sesuatu yang luar biasa diberitahu oleh jururawat yang bertugas kepadaku. Sewaktu anakku dilahirkan dia tidak menangis. Mula timbul kerisauan di hati aku, kenapa pula dia tidak menangis?
Apabila sampai di wad aku melihat anakku buat kali pertama. Memang anakku agak berlainan daripada bayi-bayi lain yang pernah aku lihat. Lazimnya bayi yang baru dilahirkan biasanya diam dengan mata tertutup sebaliknya aku lihat anak aku merupakan seorang bayi yang aktif. Dengan tangan yang tak mahu diam manakala matanya melilau melihat sekeliling seolah-olah telah faham apa yang berada di sekitarnya. Sewaktu aku mengazakannya satu lagi perkara yang mencuit hati aku. Dia menoleh kepadaku tatkala aku melafazkan "Allahuakbar".
Apabila jururawat bertugas hendak membendung anakku sekali lagi menimbulkan kelucuan. Setiap kali jururawat tersebut membendung anakku dengan kain, anakku akan mengeluarkan tangannya dan menghisap ibu jarinya. Situasi ini berlaku sebanyak tiga kali. "Hai, lapar kot", kata jururawat tersebut dan aku tertawa kecil.
Sewaktu hendak pulang, ayahku bertanya siapa nama anakku. Aku menjawab "Zul Azhari".
"Macam mana dapat nama tu?"
"Anagram of my name".
Hari ini 12 Ogos 2009 Zul Azhari telah pun genap empat tahun. Selamat hari jadi Zul Azhari.
No comments:
Post a Comment