Pengikut dan Ex-smgrian
Thursday, August 13, 2009
Mercu tanda yang terdapat di Kuala Kangsar
Bukan hanya labu Sayong sebagai tarikan, Kuala Kangsar diwarna dengan pelbagai keunikan tersendiri melalui mercu tanda yang menjadikan bandar ini terkenal. Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) adalah pusat pengajian ternama yang menjadikan bandar ini diangkat sebagai satu bandar berprestij. Mengikut sejarah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang ditubuhkan pada tahun 1905 adalah sekolah menengah berasrama yang pertama untuk pelajar-pelajar Melayu di negara ini. Pengasas sekolah ini terdiri dari Yamtuan Muhamad (1888 - 1933), Sultan Ahmad Al-Nuazanshah (1836 - 1914), Sultan Idris Murshidul Nizan Shah (1849 - 1916) dan Sultan Alauddin Sulaiman Shah (1866 - 1938). Sekolah ini yang asalnya dinamakan Sekolah Asrama Melayu telah diberi nama Kolej Melayu Kuala Kangsar (Malay College Kuala Kangsar) oleh Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris, sewaktu baginda merasmikan bangunan konkrit sekolah terunggul ini pada 11 Disember 1909.
Pada peringkat awal, kemasukan ke MCKK dikhaskan kepada anak-anak raja Melayu dan anak orang-orang bangsawan dari empat negeri iaitu Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan. Menjelang tahun 1947, pihak British telah melonggarkan syarat kemasukan kepada anak-anak orang biasa yang mendapat keputusan cemerlang dalam bidang akademik.
Masjid Ubudiah adalah sebuah masjid di Bukit Chandan yang dianggap sebagai salah satu masjid terindah di Malaysia adalah bukti dari keindahan senibina Islam. Masjid Ubudiah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917.
Dari segi latar belakang sejarahnya Masjid Ubudiah yang terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah ini, adalah merupakan masjid nazar. Ia diasaskan oleh Sultan Idris untuk membayar nazar kerana baginda telah pulih dari penyakitnya. Semasa beristirehat dalam rawatan di Port Dickson, Negeri Sembilan, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I (1887 - 1916) telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan sekiranya kesihatan baginda pulih.
Istana Kenangan atau dikenali dengan nama Istana Kuning juga mercu tanda yang mengaitkannya dengan keistimewaan Bandar DiRaja ini. Pada keseluruhannya istana ini diperbuat daripada kayu dan dikenali juga dengan nama Istana Lembah atau kadangkala disebut juga Istana Tepas. Istana ini terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah. Istana yang berdinding kelarai berbumbung perabot lima dan perabot pisang sesikat ini telah dirancang pembinaannya selepas banjir besar melanda Perak pada tahun 1926.
Tukang yang membuat istana ini ialah Haji Suffian dan anak-anaknya yang berasal dari Seberang Perai. Istana ini telah siap sepenuhnya pada tahun 1931. Sultan Iskandar Shah iaitu Sultan Perak ke-30 (1918 - 1938) telah berpindah bersemayam di istana tersebut kerana Istana Negara, iaitu istana rasmi Sultan Perak di Changkat Negara akan dirobohkan untuk dibina istana yang baru (Istana Iskandariah sekarang).
Dalam tahun 1933, apabila Istana Iskandariah siap dibina, Sultan Iskandar Shah telah berpindah ke istana tersebut. Istana Lembah atau Istana Tepas diduduki pula oleh keluarga DiRaja Perak.
Nama Istana Kenangan hanya bermula pada tahun 1960-an, iaitu selepas istana tersebut diperbaiki semula dengan usaha Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Pada 16 November 1986, setelah dipelihara, Istana Kenangan dengan rasminya dijadikan Muzium DiRaja Perak hingga ke hari ini.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment