Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, July 13, 2009

Sultan Azlan Shah, Bapa Hoki Malaysia

Penglibatan dan sumbangan Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ghafarullahulahu Shah dalam sukan hoki tempatan dan antarabangsa sudah sebati dengan perkembangan sukan ini di mana jua dan sewajarnya baginda digelar 'Bapa Hoki Malaysia'.

Sejak 36 tahun yang lepas, baginda tanpa jemu membangunkan arena hoki negara sehinggalah pasukan hoki kebangsaan mampu berdiri sama tinggi dengan pasukan-pasukan ternama dunia.

Hoki ialah cinta pertama baginda meskipun baginda aktif dalam pelbagai sukan di usia mudanya, menurut cerita beberapa ahli sukan yang ditemui.

Penglibatan baginda sejak zaman persekolahan membawa kepada baginda terpilih mewakili pasukan hoki Perak yang merupakan antara pasukan terbaik ketika itu.

Baginda dilantik menjadi Naib Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) pada tahun 1973. Pada tahun 1980, baginda dilantik menjadi Timbalan Presiden PHM dan lima tahun kemudian Sultan Azlan Shah dilantik sebagai Presiden PHM.

Sultan Azlan Shah memimpin PHM, baginda mengilhamkan satu pertandingan bertaraf antarabangsa dianjurkan oleh Malaysia bagi memberi peluang kepada pemain negara untuk beraksi bersama pasukan handalan lain.

Lahirlah Piala Sultan Azlan Shah pada tahun 1992 di mana lapan pasukan terhandal dunia yang terdiri daripada empat pasukan Asia termasuk Malaysia beraksi di negara ini untuk membuktikan kehebatan masing-masing.

Piala Sultan Azlan Shah bagaikan mini Olimpik kerana mengumpulkan pasukan terhebat dan turut diiktiraf oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Penganjuran pertandingan ini penting kepada pembangunan sukan hoki negara kerana ia memberikan pendedahan kepada pemain tempatan menguji kehandalan mereka dalam kalangan pasukan hebat dunia.

Piala Sultan Azlan Shah juga mempunyai keistimewaan tersendiri apabila menjadi satu-satunya kejohanan hoki bertaraf antarabangsa yang menggunakan nama individu sebagai nama pertandingan.

Sumber: Sinar Harian

No comments: