Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, May 7, 2009

Panorama Perak - Bandar raya Ipoh



Ipoh ialah sebuah bandar raya yang terletak dalam daerah Kinta dan adalah ibu negeri dan pusat pentadbiran Perak Darul Ridzuan.

Bandar raya ini yang terletak kira-kira 200 kilometer ke utara Kuala Lumpur merupakan bandar raya keempat terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur, Georgetown dan Johor Bahru. Datuk Bandar Ipoh sekarang ialah Haji Roshidi Hashim.

Nama Ipoh diambil daripada pohon epu atau lebih dikenali sebagai pokok ipoh dengan getahnya yang beracun dan digunakan oleh Orang Asli untuk panahan sumpitan mereka.

Secara sejarahnya, 'Ipoh' terbahagi kepada Pekan Lama dan Pekan Baru yang dipecahkan oleh Sungai Kinta di tengah-tengah bandarnya.

Pada tahun 1880 bandar Ipoh dikenali dengan nama Epu, Sir Hugh Low merujuk sebagai Ipoh sebagai satu perkampungan di tebing Sungai Kinta. Ipoh diisytiharkan sebagai bandaraya pada tahun 1988 dan dikenali sebagai Bandaraya Bougainvilla (pokok bunga kertas).

Pada tahun 1889, hospital telah mula dibina di Ipoh dan hospital baru pula dibina di antara kawasan stesen keretapi dan Balai Polis Pusat pada tahun 1889 - 1890.

Pada tahun 1893, lebih separuh rumah-rumah atap telah dirobohkan dan diganti dengan bangunan-bangunan jenis batu. Dalam tahun ini juga, 'Ipoh Sanitary Board' telah diwujudkan dan ia bertanggungjawab tentang kebersihan Ipoh.

Dalam bidang pelajaran, Sekolah Menengah Rendah Inggeris yang pertama di daerah Kinta telah dibina pada tahun 1895 dan dikenali sebagai Anglo Chinese School, Ipoh.

Ipoh telah menjadi bandar yang terbesar di negeri Perak dan kedua besarnya di Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1895. Pada masa itu perhubungan jalan raya antara Ipoh dengan tempat-tempat lain di Lembah Kinta diperbaiki.

Pada 27 Mei 1988, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak telah mengisytiharkan taraf bandar raya kepada Ipoh, ibu negeri Perak Darul Ridzuan. Majlis Perbandaran Ipoh dikenali sebagai Majlis Bandaraya Ipoh dan ketua eksekutifnya bergelar Datuk Bandar.

Sebagai ibu negeri Perak Darul Ridzuan, Ipoh merupakan pusat pentadbiran, perdagangan, sukan, kebudayaan, kewangan, politik, keagamaan dan juga pendidikan.

Bandaraya Ipoh masyhur dengan gua-gua batu kapur, bijih timah, buah limau bali dan kacang putih. Sekeliling bandaraya Ipoh terdapat juga bukit-bukit batu kapur.

Kini Ipoh telah berada di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh atau Dewan Bandaraya Ipoh, di mana ia telah pun menyerap masuk pekan kecil yang berada di sekitar bandar seperti Chemor, Jelapang, Falim, Menglembu, Tambun dan Tanjong Rambutan ke dalam wilayah Bandaraya Ipoh.

Di bawah pimpinan Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Ipoh terus berusaha untuk menjadikan Bandaraya Ipoh sebagai sebuah bandar yang dinamik dan unggul.

Pembangunan di Ipoh

Terdapat beberapa kawasan sedang membangun dalam pesat seperti di Greentown Business Centre yang melibatkan pembangunan bercampur iaitu institusi pengajian tinggi swasta, agensi kerajaan, pusat membeli belah dan kawasan riadah. Projek terkini adalah pembinaan kedai pejabat berhampiran Dataran Bandaraya Ipoh dan Greentown Suria yang meliputi komponen pembangunan Pusat Rawatan Islam dan bangunan pentadbiran setinggi 8 tingkat berserta unit-unit apartment dan kedai pejabat 3 tingkat. Kawasan-kawasan lain adalah di sekitar Kinta City dan TESCO, Tambun dengan adanya Sunway City dan juga di Lahat dengan pembangunan Bandar Sri Botani.

Kawasan Chemor Selatan akan dibangunkan sebagai hub-halal manakala kawasan pembangunan Meru pula akan dibangunkan sebagai suatu kawasan satelit kepada pusat Bandar Raya Ipoh. Kelulusan pembangunan di kawasan Buntong atas tapak seluas 37 ekar di tapak yang kini menjadi lokasi setinggan, kuarters MBI, bengkel, depoh dan Pejabat Perkhidmatan Bandar adalah sejajar dengan dasar kerajaan negeri untuk menghapuskan setinggan (setinggan sifar) menjelang tahun 2015.

Tapak ini akan dibina supaya mereka sama-sama dapat menikmati nikmat pembangunan seperti mana kawasan sekitarnya. Penduduk setinggan akan ditempatkan ke lokasi baru yang lebih sesuai dan selesa untuk didiami. Peralihan lokasi tol dari Jalan Jelapang ke Jalan Kuala Kangsar juga merupakan satu rahmat kepada bandar raya ini yang mana ianya lebih hampir dengan pusat bandar raya.

Populasi di Ipoh

Penduduk di Ipoh adalah terdiri daripada majoriti kaum Cina. Dialek Cina Kantonis adalah bahasa pengantar orang-orang Cina di sini walaupun terdiri daripada kebanyakan kumpulan dialek Cina Hakka dan Cina Kantonis. Kebanyakan penduduk di Ipoh bertumpu di Menglembu, Buntong, Tasek, Ampang, Bercham serta Pasir Puteh menjadikan keluasan bandar raya Ipoh menjadi semakin besar jika diambil kira pekan-pekan yang terdapat di sekitar pinggir bandar raya Ipoh.

Ipoh masih menjadi salah satu bandar raya terbesar di Malaysia, walaupun status bandar raya kedua terbesar di Malaysia telah diambil alih oleh Penang dan Johor Bahru disebabkan kepesatan pembangunan di bandar-bandar tersebut. Statistik populasi adalah seperti berikut:

Populasi = 710,798 (2007)

Populasi sekitar bandar = 1,022,240 (2007)

Tangga keempat terbesar bandar-bandar di sekitar Malaysia.

Kumpulan etnik di Ipoh

Etnik: Cina
Populasi: 451,361
Peratus: 70.0%

Etnik: Melayu
Populasi: 109,616
Peratus: 17.0%

Etnik: India
Populasi: 80,600
Peratus: 12.5%

Etnik: Lain-lain
Populasi: 3225
Peratus: 0.5%

Keistimewaan Ipoh

Penduduk tempatan mendakwa bahawa air yang terdapat di sekitar kawasan Ipoh mempunyai kandungan alkali yang tinggi disebabkan lokasinya yang terletak di atas pembentukan kaustik yang besar yang boleh membuatkan makanan yang dimasak menjadi lazat. Ipoh terkenal dengan masakan Melayu, Cina dan India.

Kebanyakan penduduk Ipoh, terutamanya generasi tua gemar menikmati hidangan 'dim sum' yang terdiri daripada pelbagai jenis hidangan ala Hong Kong termasuklah kuih muih tradisional masyarakat Cina yang biasanya dihidangkan bersama teh Cina. Ipoh juga terkenal di serata Malaysia kerana kopinya yang dikenali sebagai 'Kopi Putih Ipoh'.

Kopi Putih Old Town (imej dari toosuperheroes.blogspot.com)

Menurut sumber-sumber, perkembangan bandar Ipoh bermula dari Pekan Lama (Old Town) dan terhasillah jenama kopi yang dikenali sebagai 'Old Town White Coffee'.

Pekan Lama dan Pekan Baru Ipoh adalah dua bahagian yang berlainan yang dipisahkan oleh Sungai Kinta. Sebelum Perang Dunia Kedua rumah-rumah kedai, bangunan-bangunan warisan dan beberapa buah bangunan kerajaan bertempat di Old Town.

Pemandangan di sekitar Pekan Baru Ipoh

Manakala Pekan Baru dan kawasan sekitarnya pada mulanya dibangunkan oleh Yau Tet Shin, iaitu bermula dari Sungai Kinta sehinggalah ke Greentown.

Pusat Kesihatan Ipoh

Hospital Besar Ipoh merupakan salah satu hak milik penuh kerajaan dan merupakan hospital yang terbesar di Ipoh dan negeri Perak amnya. Ia terletak berdekatan dengan kawasan Fair Park dan Pusat Perdagangan Greentown. Tidak jauh dari kawasan hospital itu, terdapat Klinik Kesihatan Greentown (juga milik penuh kerajaan).

Selain dari hospital kerajaan, terdapat juga pusat perubatan swasta yang terletak di sekitar bandar Ipoh.

*Hospital Pakar Ipoh - dikenali juga sebagai Pusat Perubatan Pakar Ipoh.

*Pusat Perubatan Kinta

*Hospital Pakar Komuniti Perak - dikenali juga sebagai Perak Chinese Maternity Hospital, terletak di Jalan Kampar.

* Terdapat dua lagi hospital swasta yang terletak di Ipoh Garden South iaitu Hospital Fatimah dan Hospital Pantai Puteri.

Kawasan tarikan di Ipoh

Taman tema air yang pertama di Ipoh iaitu Lost World of Tambun dijangka dapat mengubah keadaan di bandaraya Ipoh serta merupakan Sunway City versi Ipoh (dikaitkan dengan Sunway City yang sebenarnya yang terletak lebih kurang 15 kilometer ke arah barat Kuala Lumpur).

Di dalam Lost World of Tambun terdapat juga kolam air panas semula jadi, di mana sangat popular pada tahun 1960-an dan 1970-an.

Pemandangan di sekitar Gerbang Malam (imej dari syawalnet.blogspot.com)

Malangnya, kepesatan pergerakan di dalam pusat bandar semakin berkurangan dari tahun ke tahun. Disebabkan itu, Dewan Bandaraya Ipoh telah memperkenalkan satu aktiviti malam yang dikenali sebagai Gerbang Malam di tengah bandar, di Jalan Dato' Tahwil Azar, juga dikenali sebagai Night Lane. Ia adalah pasar malam yang biasanya dikunjungi oleh orang ramai, tetapi lebih besar dan masa operasi lebih panjang.

Ipoh sebagai lokasi perfileman.

Lust, Caution, filem yang penuh kontroversi ini turut menggunakan bandaraya Ipoh sebagai lokasi penggambaran

Ipoh telah dilabelkan oleh para seniman dan penerbit sebagai salah satu lokasi sesuai untuk penggambaran melihatkan kepada kecantikan alam semula jadinya. Filem-filem yang diterbitkan dan dijalankan penggambaran di Ipoh antaranya ialah:

1999 - Anna and the King, dibintangi oleh Chow Yun-Fat dan Jodie Foster, diarahkan oleh Andy Tennant.

2002 - Embun, diarahkan oleh Erma Fatima.

2003 - Paloh, diarahkan oleh Adman Salleh.

2005 - Sepet, dibintangi Sharifah Amani, diarahkan oleh Yasmin Ahmad.

2005 - Gubra, dibintangi Sharifah Amani, diarahkan oleh Yasmin Ahmad.

2006 - After This Our Exile, lakonan Aaron Kwok dan Charlie Young, diarahkan oleh Patrick Tam.

2006 - Goodbye Boys, diarahkan oleh Bernard Chauly.

2006 - Lust, Caution, dibintangi oleh Tony Leung Chiu Wai dan Lee Hom Wang, diarahkan oleh pemenang Oscar dari Taiwan, Ang Lee.

2007 - Mualaf, dibintangi Sharifah Amani, diarahkan oleh Yasmin Ahmad.

Pengangkutan di Ipoh

Sehingga tahun 1880-an, Sungai Kinta menjadi perhubungan utama di antara Ipoh dengan kawasan-kawasan lain dalam atau luar negeri Perak. Selepas tahun 1874, perkembangan daerah Kinta amat lembap terutama masalah perhubungan melalui Sungai Kinta.

Dalam tahun 1884, jalan raya wujud menghubungi kawasan perkampungan Gopeng dan pelabuhannya di Kota Bharu dan seterusnya menghubungkan kawasan perlombongan Papan dengan Batu Gajah.

Dengan terbinanya Lebuh Raya Utara Selatan, kenderaan dapat bergerak dengan pantas serta lebih efisien berbanding jalan umum. Pemandu yang menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan boleh memilih keluar ke Ipoh dari mana-mana 4 jalan keluar - Simpang Pulai, Ipoh Selatan, Ipoh Utara dan Jelapang.

Ipoh's Railway Station dioperasikan oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan ianya terletak di Pekan Lama.

Terminal bas antara bandar terletak di Silveritage Galleria dekat Jalan Gopeng, berdekatan dengannya ialah Gunung Rapat, selatan Ipoh (dahulunya terletak di Medan Kidd, Pekan Lama).

Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah merupakan satu-satunya lapangan terbang di Ipoh. Ia terletak berdekatan dengan Gunung Rapat. Bagaimanapun, lapangan terbang ini hanya memberi perkhidmatan penerbangan domestik dan satu untuk antarabangsa.

Sumber: Sinar Harian.

No comments: