Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, July 21, 2014

Multivitamin lebih baik daripada makanan segar?


Penjualan pelbagai jenis pil multivitamin kini giat dipromosikan dan telah membanjiri pasaran tempatan dan antarabangsa.

Kerapkali kita lihat pelbagai jenis produk kesihatan daripada jurujual di pasaran mudah untuk didapati.

Antara yang popular ialah multivitamin boleh mengurangkan risiko kanser, memulihkan penyakit, meningkatkan metabolisma badan dan sebagainya.


Sebenarnya, apakah yang dimaksudkan dengan multivitamin?

Multivitamin adalah pil yang mengandungi vitamin dan zat makanan yang diekstrak daripada buah-buahan atau sayur-sayuran.

Oleh yang demikian, kandungan vitamin dan zat makanan dalam pil multivitamin adalah berbentuk tulen dan pekat.

Multivitamin sesuai diambil oleh mereka yang kurang nutrisi dalam badan disebabkan oleh keadaan kesihatannya seperti mereka yang lemah tubuh badan atau yang menghidap penyakit kronik.

Ia hanya berfungsi sebagai tambahan kepada makanan yang diambil.

Ini bermakna multivitamin berfungsi sebagai 'insurans' kepada orang yang mempunyai tabiat pemakanan yang kurang sihat.

Pengambilan multivitamin ini bukanlah sesuatu yang semula jadi.

Kini ramai orang lebih suka mengambil pil multivitamin dan menjadikannya sebahagian dari diet pemakanan mereka.

Mereka memberikan alasan bahawa mereka terlalu sibuk untuk memastikan mereka mendapat diet yang seimbang dan menjalani hidup yang sihat.

Maka, multivitamin dianggap sebagai jalan singkat untuk melengkapkan keperluan zat makanan dalam badan mereka.

Makanan tambahan (suplemen) yang diambil juga tidak semestinya membawa kebaikan kepada tubuh badan kita.

Ini adalah kerana kandungan vitamin dalam pil tersebut berbentuk tulen, maka ia adalah lebih banyak daripada yang terkandung dalam makanan secara semula jadi.

Oleh itu, sebaik-baiknya dapatkan khidmat nasihat doktor sebelum mengambil sebarang jenis suplemen untuk mengelakkan daripada pengambilan dos yang berlebihan.

Kandungan vitamin dan mineral dalam badan yang berlebihan akan menjadi toksik (hypervitaminosis) dan membawa kepada kesan sampingan yang serius seperti keracunan.

Selain itu, terdapat juga makanan yang harus dielakkan sekiranya anda mengambil pil multivitamin.

Dalam satu laporan kajian yang diterbitkan pada bulan Februari 2009 di Amerika Syarikat oleh Women's Health Initiative (WHI), didapati bahawa risiko untuk mendapat kanser adalah sama sahaja tidak kira sama ada anda mengambil multivitamin ataupun tidak.

Ini terbukti untuk semua jenis kanser terutamanya kanser payu dara, kolon, renal, perut, paru-paru dan ovari.

Multivitamin juga tidak mengurangkan risiko penyakit jantung.

Kajian yang sama turut membuktikan bahawa kadar kematian disebabkan kanser, strok dan penyakit jantung bagi orang yang mengambil multivitamin dan tidak mengambil multivitamin adalah sama.

Namun kadar ini adalah rendah dalam kalangan orang yang mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan segar dalam diet pemakanan mereka.

Walaupun pil multivitamin mengandungi ekstrak vitamin dan zat makanan daripada sayur-sayuran dan buah-buahan, namun ia bukanlah sebagai pengganti kepada khasiat yang diperolehi daripada diet pemakanan kita.

Ini kerana pil-pil ini perlu melalui pelbagai proses serta penambahan bahan kimia.

Oleh itu kesannya adalah tidak sama.

Tambahan pula, multivitamin dalam pasaran adalah mahal dan kualiti suplemen juga biasanya tidak bergantung kepada harganya.

Sebagai pengguna, kita mempunyai pilihan sama ada menggunakan wang kita untuk membeli multivitamin atau membeli makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar.

Semua jenis vitamin yang diperlukan oleh badan boleh diperolehi daripada diet pemakanan kita.

Di bawah adalah 13 jenis vitamin penting yang diperlukan oleh badan kita dan sumber semula jadinya.


Jenis-jenis vitamin dan sumbernya

Vitamin A boleh diperolehi daripada susu, hati, buah dan sayur berwarna oren seperti lobak merah dan buah oren dan juga sayur berdaun hijau tua seperti bayam dan sawi.

Kumpulan vitamin B iaitu vitamin B1, B2, B6, B12, niasin, asid folik, biotin dan asid pantotenik boleh diperolehi daripada bijirin seperti gandum dan oat, ikan, daging putih, telur, susu, sayuran hijau, kacang panjang dan kacang hijau.

Vitamin C boleh diperolehi daripada buah-buahan seperti oren, limau, strawberi dan kiwi, brokoli dan kubis.

Vitamin D boleh diperolehi daripada susu, ikan, kuning telur, hati dan bijirin.

Vitamin E boleh diperolehi daripada bijirin seperti gandum, sayur berdaun, ikan sardin dan kuning telur.

Vitamin K boleh diperolehi daripada sayur hijau, susu dan minyak soya.

- BH, Consumer Research and Resource Centre (CRRC).

No comments: