Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, June 17, 2014

Senaman untuk cergaskan otak


Pelbagai jenis senaman boleh dilakukan dengan mudah tanpa mengira waktu untuk bukan sahaja meningkatkan kecergasan tubuh, bahkan merangsang otak.

Satu kajian pembangunan perubatan penyakit nyanyuk di Jepun mendapati individu yang aktif dalam sukan kurang berkemungkinan mengalami pengecutan otak.

Senaman yang dilakukan secara berkala bukan saja menghindari penurunan fungsi otak disebabkan peningkatan usia, tetapi membantu mengembalikan kecergasan otak.

Berikut merupakan aktiviti yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian anda:


1. Naik dan turun tangga

Bagi yang sukar untuk memulakan senaman, dengan memanjat tangga ia dapat membantu mengepam darah ke otak. Senaman yang mudah ini boleh dilakukan di rumah sahaja.


2. Meletakkan kenderaan di tempat jauh

Kebanyakan orang gemar mencari kawasan tempat letak kereta yang hampir dengan kawasan yang ingin dituju. Apabila anda telah mendapat tempat itu, anda berasa seolah-olah menang loteri. Bagaimanapun, tindakan itu hanya merugikan individu berkenaan. Justeru, orang ramai disarankan meletakkan kenderaan mereka lebih jauh dari tempat biasa. Dengan berjalan ia bukan sahaja memperbaiki sistem jantung, malah menawarkan banyak manfaat kepada kesihatan.


3. Aktif

Bagi individu yang berasa diri mereka kurang aktif dalam aktiviti sukan, mereka masih boleh melakukan aktiviti yang ringkas seperti berjalan bersama rakan-rakan. Sambil berbual dengan rakan, anda bukan sahaja dapat meluangkan masa bersama-sama, tetapi juga boleh mengeluarkan peluh. Walau bagaimanapun, penyelidik berkata, masih banyak persoalan yang belum dijawab mengenai kesan senaman terhadap otak. Namun demikian, mereka percaya mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti senaman yang sederhana akan meningkatkan fungsi otak. Selain itu, senaman sedemikian dilihat dapat mengurangkan penurunan keupayaan saraf yang biasa dilihat pada orang tua.

-Kosmo!, www.myhealthnewsdaily.com

No comments: