Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, June 23, 2014

Persediaan menyambut kedatangan Ramadan


Pada bulan Syaaban, umat Islam digalakkan meningkatkan amalan sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadan.

Malah, kehadiran bulan itu merupakan satu rahmat kerana Allah melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hambaNya.

Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, umat Islam disarankan melakukan amalan-amalan yang diredai terutama membaca al-Quran.

Malahan, berdasarkan hadis Rasulullah SAW pada bulan itu Allah membuka pintu langit seluas-luasnya untuk menurunkan limpahan rahmatNya.

"Jadi, inilah peluang untuk merebut ganjaran kerana terdapat banyak kelebihan," katanya.

Bercakap mengenai jenis amalan pada 15 Syaaban, beliau berkata, tiada sebarang amalan wajib yang perlu dilakukan pada hari itu.

Pendapat Sheikh Abdul Halim turut disokong Imam Muda Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan.

Menurutnya, mengikut sunnah Nabi sebenarnya tiada amalan khusus misalnya bacaan Yassin sebanyak tiga kali.

"Kita boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam Nisfu Syaaban dan dengan bilangan tiga kali."

"Segala-galanya bergantung kepada kemampuan individu itu asalkan ikhlas," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, banyak amalan yang boleh dilakukan seperti solat tahajjud, membaca al-Quran dan banyak lagi.

Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah tidak benar.

"Bulan Syaaban merupakan bulan untuk kita membuat persediaan untuk menyambut Ramadan," jelasnya lagi.

Bagaimanapun, umat Islam disarankan menghidupkan malam Nisfu Syaaban sama ada secara berjemaah atau bersendirian.

Kosmo! 22 Jun 2013

No comments: