Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, April 25, 2014

Maqasid al-Syariah Teras Pemerintahan Negara


Maqasid al-Syariah

Dalam fiqh Islam, Ketua Negara atau pemimpin umat Islam disebut dengan beberapa nama antaranya seperti Khalifah, Imamatul Kubra (pemimpin utama atau tertinggi), al-Imam, Waliyyul Amr, Imaratul Mukminin atau Amirul Mukminin, Imam al-Muslimin, Sultan dan al-Malik (Raja).

Maka menjadi beberapa dasar yang wajib dipikul dan dilaksanakan oleh setiap yang bernama pemimpin sesuai dengan kedudukan masing-masing sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam As-Sultaniah wawilayatu ad-Diniyah antaranya:
  1. Memelihara Din al-Islam, mengenai asasnya yang tetap dan juga tentang perkara-perkara yang telah disepakati oleh ulama.
  2. Melaksanakan hukum di antara pihak-pihak yang bertelagah serta menyelesaikan setiap perselisihan yang timbul.
  3. Menjalankan setiap hukum dan perintah yang Allah SWT amanahkan kepada manusia agar hak Allah tidak diabaikan dan dapat pula melindungi hak manusia dari kerosakan dan kemusnahan.

Sabda Rasulullah SAW:

"Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan ditanya berkenaan kepimpinannya. Seseorang amir (pemimpin) yang menguruskan hal ehwal masyarakat adalah pemimpin, dan ia akan disoal berkenaan urusan kepimpinannya." - Hadis Riwayat al-Tirmizi.

Namun, persoalan besar timbul di sini apakah teras kepada seseorang pemimpin itu di dalam melaksanakan pemerintahan sesebuah negara?

Maqasid al-Syariah menjadi teras di dalam melaksanakan tanggungjawab kepada pemerintahan negara.

Secara ringkasnya, Maqasid al-Syariah ialah melakukan kebaikan dan kebajikan bertujuan untuk menjaga tatasusila, kepentingan dan sistem hidup.

Allah SWT menjelaskan di dalam al-Quran bahawa perutusan Nabi Muhammad SAW adalah untuk kebaikan dan rahmat bagi sekalian alam.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Anbiya ayat 107 yang bermaksud:

"Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."

Maqasid al-Syariah yang ingin dicapai ini perlulah menjadi tonggak dan hala tuju di dalam pensyariatan hukum-hakam dan ajaran Islam.

Imam Ibn Taimiyah pernah menyebut bahawa:

"Maqasid yang wajib bagi pemerintah ialah memastikan kebaikan agama bagi manusia, jika hilang agama, mereka akan menjadi orang yang sangat rugi dan nikmat dunia yang diperolehi tidak akan memberi manfaat kepadanya."

Fakta ini disokong oleh Imam al-Mawardi di dalam kitabnya Al-Ahkam As-Sultaniah wawilayatu ad-Diniyah bahawa:

"Perlantikan pemerintah disyariatkan bertujuan menggantikan tugas kenabian dalam menjaga agama dan mentadbir dunia."

Manakala menurut Imam al-Ghazali di dalam kitabnya al-Mustashfa' bahawa lima perkara pokok yang perlu dipelihara dalam maksud syariah itu sendiri iaitu:
  1. Agama
  2. Diri
  3. Akal
  4. Keturunan
  5. Harta

Firman Allah SWT di dalam surah al-Haj ayat 41 yang bermaksud:

"Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."


Lima kepentingan

Para ulama telah membuat kajian secara terperinci tentang tatacara hidup manusia. Justeru, agama Islam telah menggariskan dasar segala peraturan terutamanya sistem yang sangat diperlukan oleh kehidupan manusia bagi menjamin survival yang akan mendatangkan manfaat dan menjauhkan mudarat.

Dalam konteks ini, para ulama Islam telah menggariskan lima kepentingan yang wajib dijaga oleh pemerintah yang tiada tolak ansur untuk mengabaikannya agar umat Islam mampu bertahan menghadapi segala cabaran.

Kepentingan tersebut mengikut keutamaan ialah:
  1. Menjaga agama
  2. Menjaga nyawa
  3. Menjaga akal
  4. Menjaga maruah dan keturunan
  5. Menjaga harta


Menjaga agama.

Sebagai pemerintah maka menjadi kewajipan untuk meletakkan kepentingan agama di tempat yang teratas. Menurut Imam al-Juwaini bahawa antara tanggungjawab pemerintah ialah:

"memelihara akidah dan amalan umat Islam sejauh yang boleh dilakukan, menghapus kekeliruan yang dibawa oleh penyeleweng agama, membenteras amalan bidaah serta penganjur-penganjurnya."

Justeru segala perkara yang merosakkan agama hendaklah dihindarkan. Penyelewengan akidah wajib dibanteras. Dengan menjaga agama akan menjadi seorang yang adil dan berintegriti, tidak akan membenarkan sesuatu berlaku yang akan merosakkan akhlak dan moral.

Mereka yang tidak beragama akan lemah akhlaknya dan hilang semangat patriotik dan jati dirinya, dan tidak mustahil akan menggadaikan kepentingan negaranya demi memenuhi tuntutan hawa nafsunya.

Namun, perlu diingat di dalam kita menjaga agama, pelbagai cabaran yang perlu diatasi antaranya gejala ajaran sesat, Syiah, aliran pemikiran pluralisme, sekularisme, liberalisme, LGBT dan lain-lain lagi.

Amat menyedihkan kerana saat ini wujud segelintir mereka yang keliru sehingga sanggup memusnahkan ummah dan menjatuhkan sinar agama Allah SWT seperti mempermainkan isu kalimah Allah, memusuhi sesama umat Islam dan tidak mahu bersatu dalam membela agama Allah sebaliknya hanya mementingkan peribadi dan keuntungan dunia semata-mata.


Menjaga nyawa

Islam mengharamkan penumpahan darah dengan jalan yang tidak benar.

Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara akan musnah, ketenteraman dan keamanan akan hilang.

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Seseorang Islam itu ialah yang menyelamatkan kaum muslimin melalui lidah (bicara) dan tangannya (kuasa dan perlakuan), dan orang yang beriman pula ialah orang yang dipercayai oleh orang lain dalam menjamin nyawa dan harta benda mereka." - Hadis Riwayat al-Tirmizi.


Menjaga akal

Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan ilmu.

Semua unsur-unsur yang menjurus kepada kehilangan akal seperti arak, dadah dan filem yang berunsurkan kongsi gelap, gangsterisme, pluralisme yang pastinya merosakkan pemikiran wajib dibanteras dengan segera.

Sesungguhnya filem mempunyai kesan psikologi yang sangat kuat untuk mempengaruhi manusia dan sepatutnya isu ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak yang berwajib.


Menjaga maruah dan keturunan

Keturunan wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat Islam.

Bayangkan, apabila keturunan telah rosak dengan sebab menyalahi syariat dan tabii manusia seperti penzinaan, liwat, lesbian, gay, dwiseksual dan sebagainya maka struktur sosial pasti akan menjadi kacau bilau dan akhirnya akan runtuh dengan sendirinya.


Menjaga harta

Dalam menjaga harta Islam telah menggariskan prinsipnya iaitu al-adl wal ihsan.

Pendekatan Islam amat menitik berat soal keadilan dengan mengharamkan segala bentuk penindasan, peras ugut, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, cetak rompak, menipu hak intelek, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak lain.


Kesimpulan

Maqasid al-Syariah menjadi teras pemerintahan di negara kita. Maka menjadi tanggungjawab bagi pemerintah untuk menjaga segala kepentingan-kepentingan yang berkaitan dengan kehidupan dunia dan agama seperti keamanan negara, keselamatan nyawa dan harta benda, kebajikan rakyat, keselamatan akidah serta kemudahan menunaikan perintah agama.

Kesemua inilah yang diusahakan oleh pemerintah melalui Kementerian, Jabatan dan Agensi di bawahnya adalah berlandaskan Maqasid al-Syariah demi kepentingan rakyat dan negara.

Kita juga dapat melihat bagaimana kesungguhan pihak pemerintah dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara terutama dalam membendung jenayah kongsi gelap, gangsterisme pada akhir-akhir ini.

Justeru, sebagai rakyat kita hendaklah bersyukur di atas segala nikmat yang dikecapi selama ini dan mesti menyokong usaha pemerintah supaya segala ancaman ini berjaya dihapuskan.

Maka, menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat memberikan taat setia lebih-lebih lagi kita sebagai rakyat memberikan taat setia lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah selagi tidak bercanggah dengan syariat.

Sebagai contoh Lembaga Urusan Tabung Haji yang telah ditubuhkan pada tanggal 30 September 1963 menjadi pengurus kepada hal ehwal pemergian umat Islam menunaikan ibadah haji, bahkan menjadi salah satu milik umat Islam terkemuka yang terbukti berjaya menguruskan pelaburan yang cekap bagi meningkatkan modal umat Islam menerusi pelaburan patuh syariah yang menguntungkan.

Inilah sebahagian daripada Maqasid al-Syariah yang dilaksanakan demi kepentingan umat Islam.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah al-Isra' ayat 7 yang bermaksud:

"Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji kali kedua, Kami datangkan musuh-musuh kamu untuk memuramkan muka kamu; dan untuk memasuki masjid sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: