Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, April 18, 2014

Habbatus sauda

Bunga Nigella sativa yang mengandungi biji Habbatus sauda

Habbatus sauda ialah sejenis tumbuhan yang berbunga secara tahunan.

Habbatus sauda mempunyai pelbagai nama seperti habbatul barakah (bahasa Arab), charnushka (Rusia), siyah daneh (Parsi), neidonkuka (Finland), fennel flower, black caraway, nutmeg flower atau roman coriander (Inggeris), al-Syuniz (Yaman dan Iran), sanuj (Algeria) dan basdas (Maghribi).

Nama saintifik bagi habbatus sauda ialah Nigella sativa.

Ia tumbuh dengan ketinggian sekitar 20 hingga 50 sentimeter dan berdaun halus.

Batangnya berwarna hijau, bulat, berbulu dengan ukuran garis lintang sekitar 2 hingga 5 milimeter sementara jarak di antara dahan adalah sekitar 2 hingga 5 sentimeter.

Dahan bercabang di atas, berbunga lembut di hujung dahan, selalunya berwarna biru muda dan putih.

Setiap bunga mempunyai jumlah kelopak antara lima hingga sepuluh helai.

Tangkai bunga agak panjang dan ia semakin panjang apabila buahnya semakin matang.

Berbuah agak besar dan mengembung yang terdiri antara tiga hingga tujuh pangsa serta mempunyai sejumlah biji.

Biji Habbatus sauda

Bijinya berbentuk segi tiga, berwarna hitam dan berbau kuat. Ia mengandungi nisbah minyak yang banyak.

Asalnya ia tumbuh meliar di negara-negara sekitar Mediterranean. Kemudian ia ditanam secara meluas di utara Afrika terutama Mesir, selatan Eropah, Syria dan Asia Tengah seperti Iran dan India.

Ketinggian khasiat tumbuhan itu diperakui oleh ramai cendikiawan silam, ratusan saintis dan pakar perubatan di seluruh dunia.

Ibnu Sina dalam bukunya The Canon of Medicine menyatakan habbatus sauda mampu merangsang tenaga serta membantu memulihkan kepenatan dan semangat.

Penyelidikan yang dilakukan oleh Universiti Carolina Selatan di Amerika Syarikat pula mendapati ekstrak habbatus sauda memiliki khasiat anti tumor tanpa kesan sampingan.

Antara bahan yang terkandung dalam habbatus sauda ialah minyak tetap(tepu dan tidak tepu), minyak asas (sterol, timokuinon, carvone, limonine, cymene) alkaloids, saponin serta asid amino.

Mengikut catatan sejarah, habbatus sauda pada awalnya ditemui di dalam makam Firaun Tutankhamen.

Penemuan tersebut memberi gambaran bahawa tumbuhan itu amat penting dalam kehidupan orang Mesir purba.

Walaupun kegunaan sebenarnya tidak diketahui secara tepat, ia dipercayai mampu memberi manfaat kepada raja mereka selepas mati.

Bagaimanapun, hakikatnya kegunaan habbatus sauda dalam perubatan tercetus selepas kedatangan Islam.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

"Kekallah kamu dengan habbatus sauda kerana padanya itu ada penawar bagi segala penyakit kecuali mati."

Kajian yang dibuat oleh Prof. Dr. Latifah A. Latiff dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) juga mendapati terdapat lebih 100 bahan aktif yang terkandung dalam habbatus sauda dengan timokuinon mendominasi antara 70 hingga 80 peratus daripada jumlah keseluruhannya.

Bahan timokuinon yang diekstrak daripada habbatus sauda berupaya menurunkan paras kolesterol, glukos dalam darah dan berat badan sekali gus mengurangkan risiko penyakit sindrom metabolik dan penyakit jantung.

Kajian pada haiwan makmal yang diaruh penyakit Alzheimer atau nyanyuk dan diberi makan bahan aktif timokuinon daripada minyak habbatus sauda turut mempunyai kesan tersendiri.

Habbatus sauda telah menurunkan paras beta amiloid iaitu sejenis protein yang terdapat pada otak haiwan yang nyanyuk berbanding haiwan kawalan yang tidak menerima suplemen habbatus sauda.

Kajian pada tisu kultur dan sel kultur pula menunjukkan bahan aktif asid linoleinik daripada ekstrak minyak habbatus sauda mampu mengurangkan pertumbuhan sel kanser payu dara secara signifikan.

Di samping itu, pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan berupaya melambatkan proses penuaan.

Pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan dalam tempoh dua minggu mampu melancarkan sistem penghadaman, melawaskan pembuangan najis terutamanya bagi mereka yang mengalami sembelit, meningkatkan tenaga dan kadar kecekapan seseorang.

Pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie pula memberitahu habbatus sauda merupakan penyembuh atau ubat yang dijamin sendiri oleh Rasulullah SAW melalui hadisnya dan pastilah ada keberkatan terhadap saranan Baginda.

Pengambilan habbatus sauda dipercayai memberi kesan positif terhadap asma, migrain, penyakit kulit yang kronik, rabun mata, luka berdarah dan banyak lagi.

sumber: Artikel Fakta sains sokong saranan Nabi oleh Khadijah Mohamad Nor, Kosmo! 22 Oktober 2012

No comments: