Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, January 20, 2014

Kaitan antara filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan ex-SMGRian


Alhamdulillah, setelah hampir 23 tahun rasanya, baru-baru ini aku dapat bertemu kembali dengan tiga orang ex-SMGRian iaitu Azmi, Faris dan Mudin.

Pertemuan aku dengan Azmi dan Faris bukanlah yang pertama kerana sebelum ini aku pernah bertemu dengan mereka berdua pada Aidilfitri 2012 malahan beberapa kali juga aku pernah terserempak dengan Faris di bandaraya Ipoh.

Namun kali ini, atas pelawaan Azmi dan Faris, dan juga persetujuan Azmi untuk mengambilku di rumah, meskipun dalam keadaan tidak begitu sihat, aku gagahi jua untuk keluar minum meskipun hari telah pun larut malam dan hujan gerimis, demi untuk meraikan persahabatan kami.


Premis yang dipilih dan dipersetujui ialah restoran Nasi Lemak Ayam Kampung yang terletak di Jalan Yang Kalsom, Ipoh berhampiran restoran Nasi Kandar Wanggey yang pernah mencetuskan kontroversi. Namun pada dinihari, Nasi Kandar Wanggey sudah melabuhkan tirainya dan disambung oleh Nasi Lemak Ayam Kampung sehingga pukul empat pagi.

Berbagai cerita yang kami bualkan, pastinya berlegar tentang sekolah yang kami sayangi iaitu Sekolah Menengah Gunung Rapat (SMGR) dan perkembangannya, juga warga-warganya yang masih kami hubungi dan juga yang gagal kami kesan. Pastinya dengan perkembangan teknologi dan media sosial yang memudahkan kami untuk mengesan dan menghubungi bekas-bekas warga SMGR namun ada juga yang gagal kami kesan. Di sini aku terfikir bahawa dengan adanya media sosial, ianya memudahkan seseorang untuk mempamerkan data-data peribadi secara sukarela, dan pastinya menyenangkan kerja-kerja pihak berkuasa serta agensi-agensi perisikan seperti CIA dan FBI.

Kami cuma makan nasi lemak sahaja pada malam tersebut bagaimanapun cuma minuman sahaja yang dipesan berulang-kali. Daripada teh tarik kepada milo panas dan sebagai penutupnya segelas kopi-o panas. Pelbagai jenis cerita, daripada kisah masing-masing sewaktu zaman persekolahan sehinggalah kisah seram membabitkan sebuah kampung berhampiran Sungai Rokam. Dan nama kampung tersebut ada disebutkan di dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid, namun yang pastinya ia bukanlah Kampung Pisang.

Menurut Azmi, ia berlaku pada waktu persekolahan kami di SMGR sekitar penghujung tahun 80'an. Kisah mengenai wanita misteri yang sebenarnya telah pun meninggal dunia, bagaimanapun beberapa orang penghuni kampung tersebut pernah terserempak dengan jelmaannya dan mencetuskan fenomena di kampung tersebut, sehinggakan pasar malam yang sering diadakan pada waktu malam terpaksa ditutup akibat takutkan gangguan wanita itu. Juga terdapat cerita kononnya kubur wanita itu berlubang, seolah-olah wanita itu telah bangkit dari kuburnya dan merayau-rayau di sekitar kampung. Namun kejadian menyeramkan tersebut hanya berlaku beberapa hari dan kemudian ia terhenti secara tiba-tiba dan tiada lagi kisah-kisah seperti itu diceritakan.

Aku pernah mendengar kisah itu sewaktu bersekolah dahulu dan apabila Mamat Khalid mengarahkan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah pada tahun 2010 aku tidak dapat mengesan persamaannya, cuma aku mendengar nama kampung tersebut dituturkan oleh watak Abu lakonan Johan dalam filem itu. Apabila aku membaca entri tullisan Mamat Khalid di blognya, baru aku menyedari bahawa Mamat Khalid mendapat inspirasi daripada kisah yang pernah berlaku di kampung itu.


Setelah hampir tiga pagi dan hujan turun semakin lebat, menjadi tanda supaya kami beredar dan pulang ke rumah masing-masing. Pastinya mini reunion pada malam Sabtu itu sesuatu yang terpahat di dalam ingatan (juga kisah seram itu, huhu).


2 comments:

Anonymous said...

Bila kita jumpa aku cerita lagi hahaha

Zairul Salleh said...

Boley, boley