Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, November 29, 2013

Memanfaatkan musim cuti persekolahan


Cuti sekolah bermula

Musim cuti sekolah sudah tiba, yang paling seronok ialah anak-anak kita.

Cuti panjang hadir selepas anak-anak bertungkus lumus menghadapi sesi pengajian, peperiksaan dan kokurikulum yang diwajibkan.

Pastinya ketibaan cuti memang dinanti-nantikan.

Inilah masa untuk melarikan diri buat sementara dari alam persekolahan.

Anak-anak memang mahu bebas daripada belenggu buku-buku sekolah, mereka mahu berseronok setelah penat menelaah pelajaran sepanjang tahun.

Tentunya bercuti merupakan terapi yang paling mujarab untuk menghilangkan segala stress atau tekanan yang dihadapi oleh setiap pelajar.

Sebenarnya, sebagai ibu bapa, seharusnya kita mengajar anak-anak kita supaya menggunakan masa dengan bijak.

Masa cuti sekolah bukan semata-mata untuk berseronok dan melupakan terus pelajaran.

Ibu bapa perlu mengambil peluang ini untuk mengatur program-program yang bermanfaat buat anak-anak.

Jadilah ibu bapa yang prihatin dan mengambil berat terhadap anak-anak.

Rancanglah sesuatu agar dapat memanfaatkan cuti sekolah anak-anak dengan sebaik-baiknya.

Jangan biarkan mereka sendiri yang menguruskan masa cuti tanpa sebarang pemantauan atau panduan daripada ibu bapa kerana dalam usaha kita membina insan yang cemerlang, maka setiap masa itu perlulah dimanfaatkan dengan sebetulnya.

Dalam proses ini kesepaduan peranan pihak pemerintah, pihak sekolah dan ibu bapa mestilah saling bekerjasama dan mengambil tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

Firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."

Percayalah bahawa bimbingan ibu bapa adalah asas kepada menentukan dasar pembinaan akhlak, jati diri dan kecemerlangan anak-anak.

Bila tumpuan ibu bapa terhadap anak-anak berkurangan, maka kadar keciciran anak-anak semakin meningkat.

Anak-anak pada peringkat awal pembesaran dan pendewasaan memerlukan ibu bapa sebagai orang terawal menjadi petunjuk jalan teladan yang baik.

Menurut prinsip pendidikan Islam, saat kritikal dalam proses membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasih sayang dan komunikasi yang mesra sebenarnya bermula dari awal kehidupan anak-anak sehinggalah mereka mencapai usia baligh.

Mengikut kajian, anak-anak dalam usia sebegini sangat mudah terpengaruh untuk meniru dan mengikut apa yang mereka lihat berbanding apa yang mereka dengar.

Secara psikologinya, pengaruh visual akan mendominasi watak dan karakter mereka. Dalam tempoh kritikal ini, awasilah dan pantaulah apa yang mereka lihat serta tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa jua sekalipun dan jadilah role model yang terbaik untuk anak-anak kita.

Jika kita tidak mengambil berat, maka anak-anak akan terdedah dengan pelbagai gejala seperti rosak akidah, hilang kemuliaan akhlak dan maruah juga ketinggalan dalam pendidikan.

Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru, tidak tahu memilih yang baik atau yang buruk dalam kehidupan mereka.

Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qardawi, kesan yang paling menonjol akibat kelemahan kualiti keibubapaan hari ini ialah apabila tercabutnya akhlak mulia anak-anak yang memudahkan mereka terdedah dalam krisis gejala sosial.


KPI untuk anak-anak

Pencapaian prestasi anak-anak kita dalam pelajaran bergantung kepada perancangan dan penilaian bersungguh-sungguh ibu bapa sendiri.

Dalam hal ini ibu bapa perlulah membudayakan ilmu dan akhlak dalam kehidupan seharian anak-anak.

Dalam menjamin keberkesanan fungsi ibu bapa menentukan kejayaan pendidikan anak-anak, ibu bapa sekalian hendaklah menetapkan beberapa petunjuk sebagai ukuran bagi menentukan hala tuju dan tindakan yang mesti dilaksanakan oleh anak-anak kita antaranya seperti berikut:
  1. Memastikan anak-anak menunaikan solat fardhu 5 kali sehari secara konsisten sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud:
    "Latihlah dan didiklah anak kamu menunaikan sembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka ketika mereka berumur sepuluh tahun jika mereka enggan menunaikan sembahyang dan pisahkan tempat tidur mereka."  
    Sebagai bapa, berusahalah untuk berjemaah bersama anak-anak dan jadilah imam ketika bersolat agar terserlah kepimpinan kita sebagai ketua keluarga seterusnya dapat memantau kualiti solat anak-anak dan mengukuhkan ikatan kasih sayang dengan mereka.
  2. Memastikan anak-anak mempelajari dan memahami al-Quran setiap hari.
  3. Memastikan anak-anak mendapat makanan halal, berzat dan memenuhi keperluan vitamin.  Waktu makan juga boleh dimanfaatkan untuk mendidik anak-anak agar berdisiplin, beradab sopan dan berakhlak mulia seperti membaca doa sebelum makan, memberi sebahagian lauk kepada adik beradik yang makan bersama, mengambil makanan sedikit demi sedikit, mengelakkan sifat tamak dan menunggu ibu bapa sebelum makan.
  4. Menyemak buku-buku latihan dan kerja setiap mata pelajaran.
  5. Menetapkan sasaran setiap mata pelajaran anak-anak.
  6. Mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan guru kelas sekurang-kurangnya sekali dalam setiap semester atau penggal bagi mendapat maklumbalas prestasi pembelajaran dan tahap sahsiah anak-anak ketika berada di sekolah.

Sebagai ibu bapa kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila anak-anak telah dihantar ke sekolah.

Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang.

Tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat.

Sebagai ibu bapa kita digalakkan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan anak-anak kerana doa ibu bapa boleh menyebabkan kehidupan anak dirahmati, diberkati dan dilindungi dari segala bencana.

Dalam satu riwayat diceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah membaca doa kepada kedua cucunya Hasan dan Husin yang bermaksud:

"Aku memohon perlindungan dengan kalimah Allah yang sempurna untuk kamu berdua daripada gangguan syaitan, daripada binatang dan daripada mata yang berniat jahat."


Keselamatan

Perlu diingat musim cuti sekolah inilah beberapa peristiwa atau tragedi kerap kali berlaku.

Kita sering kali mendengar kes-kes kejadian seperti mati lemas, kemalangan jalanraya, tersesat di dalam hutan dan sebagainya.

Selain dari itu terdapat juga kes-kes jenayah yang dilakukan oleh remaja yang masih di bangku sekolah.

Oleh itu, sebagai ibu bapa atau penjaga kita hendaklah bertanggungjawab dan amanah bukan hanya setakat memenuhi keperluan fizikal dan pendidikan anak-anak tetapi yang lebih besar dan utama ialah menanamkan benih-benih keimanan kepada mereka selain menjaga dan mengawal mereka dengan baik.

Tanpa kawalan, anak-anak mudah terjebak dengan aktiviti sosial yang merosakkan.

Kita hendaklah mengambil contoh dan pengajaran yang diceritakan Allah SWT bagaimana Luqman al-Hakim mendidik anak-anaknya.

Firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 17 dan 18 yang bermaksud:

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya."Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri."


Kesimpulan

Sebagai ibu bapa atau penjaga kepada anak-anak seharusnya kita sudah mempunyai beberapa perancangan dan aktiviti yang berfaedah untuk memenuhi masa lapang anak-anak pada musim cuti persekolahan ini.

Perancangan dan aktiviti yang dibuat mestilah berpaksikan atas dasar untuk meningkatkan iman, jati diri dan kecemerlangan dunia dan akhirat bukannya hanya untuk berseronok dan menghabiskan masa semata-mata.

Ingatlah, anak-anak adalah aset yang paling penting dan berharga kepada kedua-dua ibu bapa. Mereka merupakan penyeri atau perhiasan dalam sesebuah rumahtangga.

Bayangkanlah, jika anak-anak berkenaan menjadi orang yang soleh dan berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara, sudah tentu kedua ibu bapanya akan mendapat nikmat di dunia dan di akhirat nanti.

Sebaliknya, jika anak-anak yang bergelumang dengan akhlak liar dan melakukan maksiat kepada Allah SWT sudah pasti ianya akan menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Anak-anak yang diterapkan dengan didikan agama yang sempurna sejak dari kecil hinggalah mereka dewasa akan dapat menyelamatkan mereka dari terus lalai dan alpa dengan kehidupan di dunia ini.

Marilah sama-sama kita menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita.

Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan bakal penerus kepada perjuangan Islam.

Budayakanlah kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang boleh memberi manfaat kepada diri mereka.

Manfaatkanlah musim cuti persekolahan ini dengan perkara-perkara yang berfaedah demi masa depan anak-anak.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: