Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, November 18, 2013

Masalah bau badan


Masalah bau badan berpunca daripada kelenjar yang menghasilkan peluh iaitu kelenjar Eccrine dan Apocrine.

Kelenjar Eccrine bertanggungjawab terhadap proses berpeluh yang terus bersambung hingga ke permukaan kulit untuk menghasilkan peluh.

Ia bertujuan mengawal suhu badan selain membuang bahan-bahan buangan seperti urea, sodium, kalsium dan eletrolit.

Punca bau badan boleh disebabkan bahan buangan terkumpul dalam badan akibat proses pencernaan tidak sempurna.

Pengambilan pelbagai jenis makanan ditukar ke dalam bentuk sisa buangan ataupun toksin. Toksin tersebut disingkirkan sekiranya ginjal, hati dan saluran penghadaman usus berfungsi dengan baik.

Sekiranya sistem pencernaan tubuh tidak berfungsi dengan betul, toksin terbabit boleh kekal dalam tubuh.

Individu yang terlalu banyak mengambil pemakanan berasaskan daging, telur, ikan dan kekacang akan mempunyai bau badan yang busuk.

Makanan yang berbau agak kuat seperti bawang dan jenis makanan berempah akan mengeluarkan bau busuk daripada liang roma terutama di celahan ketiak dan belakang badan.

Kekuatan bau yang dihasilkan bergantung jumlah peluh yang dikeluarkan kelenjar dan bilangan bakteria pada kulit.

Mereka yang mengalami masalah bau badan sering kali dikaitkan tidak pandai menjaga kebersihan diri namun pada hakikatnya masalah itu berlaku disebabkan peluh dan tindakan bakteria.

Petua mengurangkan masalah bau badan:
  • Kurangkan pengambilan makanan seperti daging merah, aiskrim, pencuci mulut yang berlemak, makanan pedas dan jeruk.
  • Jangan makan makanan yang terlampau panas atau terlampau sejuk (suhu).
  • Lebihkan pemakanan sayuran hijau dalam diet harian.  Ini supaya sistem pencernaan lebih lancar dan tidak sembelit yang akan mengganggu sistem pencernaan.
  • Elakkan pengambilan makanan berminyak.
  • Minum air dengan cukup seperti disarankan iaitu satu liter air setiap 15 kilogram berat badan.
  • Mandi sekerap yang mungkin terutama sekali selepas melakukan aktiviti yang menyebabkan kita berpeluh.  Badan perlu dikeringkan dengan tuala bagi menggantikan sel yang mati.
  • Sarungkan pakaian yang bersih setiap kali selepas mandi.
  • Kebanyakan bau badan kering dikaitkan dengan bau pada ketiak.  Mencukur bulu ketiak juga amat membantu bagi mengurangkan bau badan.
  • Rebus beberapa batang serai dan buah limau kasturi sehingga mendidih.  Campurkannya di dalam air mandian.  Lakukannya setiap pagi dan petang selama seminggu.
  • Kupas kulit sebiji timun muda.  Sapukannya pada bahagian badan yang mudah berpeluh.  Lakukan berulang kali selama beberapa hari terutama selepas mandi.
  • Sebelum mandi, sapukan limau purut, limau nipis atau limau kasturi ke seluruh badan yang sering berbau seperti ketiak.  Biarkan selama lima minit sebelum dibilas dengan air atau mandi.
  • Gosokkan hampas teh yang telah digunakan pada seluruh badan terutama di ketiak selama 15 minit sebelum mandi.  Amalkannya dua kali seminggu.

sumber: Artikel Pemakanan punca bau badan oleh Aqmar Alladad, Kosmo! 24 April 2013

No comments: