Keamanan dan keselamatan di negara kita adalah berlandaskan kepada konsep Rule of Law dan kedaulatan undang-undang.
Oleh itu, apabila keamanan dan kedaulatan negara diganggu gugat, maka setiap inci tanah air ini perlulah dipertahankan mengikut undang-undang negara.
Peristiwa pencerobohan di Lahad Datu sebenarnya telah memberi satu pengajaran yang amat besar kepada kita semua khususnya kepada umat Islam bahawa kedaulatan dan keamanan negara merupakan satu perkara yang perlu dipertahankan kerana ianya membabitkan maruah tanah air dan merupakan nikmat yang paling besar dari Allah SWT.
Allah SWT menjadikan nikmat ini sebagai medium untuk kita berfikir dan mengambil iktibar agar dengannya dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT.
Keamanan bererti kita bebas dari segala bentuk ancaman yang menggugat keharmonian.
Suasana harmoni ketika ini dapat dikawal dengan sebaiknya walaupun ada sedikit api-api perpecahan yang dilakukan oleh tangan-tangan gatal.
Dengan keamanan, keselamatan akan terus terpelihara, keharmonian terbina dan yang paling utama, agama Islam pasti akan terus dilindungi.
Keamanan adalah asas utama dalam usaha untuk menegakkan agama Islam, memaju dan memakmurkan sesebuah negara.
Kedaulatan agama Islam pasti tercalar jika keamanan negara kita tergugat dan mustahil untuk menegakkan syariat dan syiar Islam jika negara kacau bilau dan huru hara.
Betapa pentingnya keamanan dalam kehidupan manusia, sehingga Nabi Ibrahim AS pernah berdoa kepada Allah SWT agar bumi Mekah dikurniakan dengan keamanan dan kemakmuran.
Peristiwa ini telah berlaku ketika pembukaan kota Mekah sebagai pusat ibadah dan tanah suci dan telah dinyatakan melalui firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 126 yang bermaksud:
"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdo'a dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman: "(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali."
Sejarah ketamadunan manusia menunjukkan kepada kita bahawa nikmat keamanan mampu memberi sumbangan besar ke arah kemakmuran dan kesejahteraan hidup manusia sejagat.
Dengan keamanan kita dapat melakukan urusan kehidupan dunia tanpa merasa takut, gerun dan dengannya juga boleh membawa banyak kebaikan serta rezeki kepada manusia dan negara.
Namun terfikirkah kita, bagaimanakah keamanan ini terus terpelihara sehingga dapat kita kecapi sehingga ke hari ini?
Suasana aman yang dinikmati ketika ini sebahagian besar datang dari penat jerih usaha perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan khususnya Polis DiRaja Malaysia.
Mereka berusaha menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh komited dan bertanggungjawab.
Sejak tahun 1807 hingga sekarang kita mempunyai pasukan polis yang berkemampuan menjaga keselamatan bangsa, agama dan negara daripada segala ancaman musuh yang boleh menggugat kedaulatan negara.
Sejarah telah membuktikan bahawa institusi penting ini telah pun wujud sejak zaman Khulafa' ar-Rashidin lagi.
Sebagai contoh, sewaktu zaman pemerintahan Khalifah Saidina Umar al-Khattab, baginda telah mewujudkan sebuah pasukan keselamatan bagi menjaga keamanan orang awam.
Bahkan baginda sendiri turut serta menjalankan rondaan pada waktu malam melihat keadaan rakyatnya demi semata-mata untuk memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terpelihara.
Fungsi pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara tidak dapat dinafikan apabila ia menjadi tunjang berdasarkan prinsip Maqassid Syar'iah yang lima iaitu:
- Memelihara agama
- Memelihara akal
- Memelihara keturunan
- Memelihara nyawa
- Memelihara harta benda
Peranan pasukan keselamatan di negara kita amat membantu umat Islam untuk mencapai kelima-lima matlamat itu.
Namun, persoalan besar timbul di sini, bagaimanakah cara untuk memastikan keamanan akan terus dipelihara?
Adakah memadai dengan usaha pasukan keselamatan yang mempunyai kuasa di sisi undang-undang sahaja? Atau usaha ini memerlukan kerjasama daripada kita yang bergelar rakyat?
Jawapannya, sebagai masyarakat, kita seharusnya saling bekerjasama dalam membanteras kegiatan jenayah.
Janganlah bersikap lepas tangan dan menyerah bulat-bulat kepada pasukan keselamatan untuk menangani jenayah. Keadaan ini akan menyebabkan gejala jenayah terus berleluasa yang akhirnya akan merugikan kita sendiri.
Mungkin ketika ini perbuatan jenayah tidak berlaku ke atas diri kita, tetapi tidak mustahil suatu hari nanti musibah tersebut terkena pada diri kita atau ahli keluarga kita.
Amalkanlah sikap 'cakna' atau sikap ambil peduli pada keadaan sekeliling kita. Justeru, kita mesti bersatu untuk membolehkan kita hidup dalam keadaan yang aman dan selamat serta sejahtera.
Semua pihak menyedari betapa pentingnya keluhuran undang-undang dipelihara dengan baik. Orang ramai dengan pasukan keselamatan umpama aur dengan tebing, mestilah sentiasa bantu-membantu bersama berganding bahu menjaga keamanan dan menghapuskan jenayah yang membawa padah.
Ini terbukti dengan penurunan indeks kadar jenayah hasil daripada komitmen dan kerjasama masyarakat dengan pasukan polis.
Kita juga mesti menolak apa sahaja unsur yang boleh menghancurkan pemerintahan dan kedaulatan negara kita yang telah terbukti membela agama Islam.
Firman Allah SWT di dalam Surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud:
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya)."
Hal ini juga bertepatan dengan saranan Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayat Imam al-Tabrani Rahimahullah daripada Huzaifah bin al-Yaman RA yang bermaksud:
"Sesiapa yang tidak mengambil tahu tentang urusan orang-orang Islam, maka ia tidak termasuk dari kalangan mereka. Sesiapa yang ada pada pagi dan petangnya tidak ikhlas kepada Allah dan RasulNya dan KitabNya dan pemimpinnya dan kepada umat Islam, maka ia tidak termasuk dari kalangan mereka (umat Islam)." - Hadis Riwayat at-Tabarani.
Dan sabda Rasulullah SAW lagi:
"Apabila orang ramai melihat seorang zalim, tetapi tidak merubah kemungkaran yang dilakukannya, hampir-hampir Allah SWT menimpakan mereka dengan balasan dari sisinya." - Hadis Riwayat al-Tirmizi
Persoalannya, berapa ramaikah antara kita terutamanya golongan muda yang pernah mengucapkan rasa syukur dan berusaha mempertahankan keamanan yang dimiliki sekarang kerana telah ditakdirkan Allah lahir di dalam negara yang telah pun merdeka dan bebas dari penjajahan.
Bayangkan, apakah nasib dan masa depan kita dan keluarga jika saat ini kita berada di bumi yang bergolak dan sentiasa berperang seperti sesetengah negara?
Sudah pasti, setiap hari kita akan berada dalam ketakutan dan kesedihan dan mungkin bermandikan darah dan air mata. Berusahalah untuk mengekalkan keamanan kerana pilihan berada di tangan kita.
Kekuatan pasukan keselamatan dan rakyat merupakan pemangkin kepada benteng keselamatan dan keamanan negara. Tanpa sokongan padu semua pihak, kesejahteraan dan kemakmuran negara tidak akan tercapai.
Sebagai rakyat di negara ini kita hendaklah mengamalkan hidup harmoni, toleransi dan dapat menerima pendekatan konsep from tolerance to acceptance dalam setiap aktiviti kehidupan.
Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 45 yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan satu pasukan maka teguhkanlah hatimu, dan ingatilah Allah banyak-banyak, supaya kamu berjaya."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment