Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, September 17, 2013

Kampung Mogah

Pemandangan di Kampung Mogah, Tanjung Malim (imej dari Kosmo!)

Kampung Mogah terletak di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.

Nama Mogah diletakkan sempena sebuah daerah yang terletak di Moga, Punjab, India.

Kampung Mogah seluas 0.8 hektar dan terdapat 13 buah rumah.

Kesemua rumah di Kampung Mogah diperbuat daripada papan.

Kampung Mogah mempunyai sebuah surau yang baru didirikan pada tahun 2006.

Peta menunjukkan kedudukan Moga di Punjab, India.

Rata-rata penduduk Kampung Mogah berketurunan Pakistan dan beragama Islam. Mereka menggunakan bahasa Punjabi sebagai bahasa perantara. Kesemua penduduk Kampung Mogah mempunyai tali persaudaraan.

Kewujudan Kampung Mogah bermula apabila beberapa orang daripada Moga, Punjab di India berhijrah ke Tanah Melayu sekitar tahun 1920 dan membuka penempatan di Tanjung Malim, Perak.

Mereka keluar daripada kampung halaman mereka di India disebabkan tercetusnya Perang Dunia Kedua. Dengan menaiki kapal mereka berlabuh di Kuala Besut, Kuala Terengganu.

Mereka menetap di Kuala Besut, Terengganu selama beberapa tahun sebelum berhijrah ke Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak.

Mereka kemudian membeli sebidang tanah berkeluasan 0.8 hektar di Behrang Ulu yang bernilai RM6,429. Tanah itu dibeli secara beramai-ramai tetapi di atas satu geran.

Pada tahun 1948, mereka mula meneroka tanah berkenaan untuk mendirikan rumah. Mereka menamakan kampung tersebut sebagai Kampung Mogah bersempena nama tempat asal mereka iaitu Moga di daerah Punjab, India.

Kebanyakan masyarakat di Kampung Mogah berkecimpung dalam bidang pertanian dan industri ternakan selain pemandu lori dan mengusahakan syarikat bas.

Syarikat bas itu dikenali sebagai Bas Mogah. Syarikat bas tersebut beroperasi pada tahun 1959 dan merupakan satu-satunya pengangkutan yang digunakan dari Tanjung Malim, Slim River dan Sungkai.

Tambang yang dikenakan serendah 20 sen sehingga RM1.10 bergantung kepada lokasi. Syarikat Bas Mogah memiliki lebih 40 buah bas dan menjadi pilihan penumpang yang tinggal di ketiga-tiga kawasan berhampiran untuk ke sekolah, ke tempat kerja dan ke bandar.

Syarikat Bas Mogah hanya dapat bertahan sehingga tahun 2000 apabila pemilik syarikat tersebut yang juga penduduk Kampung Mogah membuat keputusan untuk menjual syarikat terbabit.

Kini Kampung Mogah hanya didiami kira-kira 50 orang penduduk tetap sahaja. Kebanyakan anak gadis kampung berkenaan telah berkahwin dengan lelaki yang berasal dari luar manakala golongan lelaki pula mencari rezeki di bandar.

sumber asal: artikel Mogah Kampung Benggali oleh Suhana Veru, Kosmo! 8 November 2012.

No comments: