Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, August 14, 2013

Aidilfitri lambang kesatuan ummah dan nikmat Ramadan berkati Aidilfitri


Firman Allah SWT di dalam surah al-Hasyr ayat 20 yang bermaksud:

Tidaklah sama ahli Neraka dan ahli Syurga. Ahli Syurga merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.

Dengan kedatangan 1 Syawal umat Islam di seluruh dunia, pelbagai bangsa dan peringkat umur sama-sama melafazkan takbir, tahmid dan tasbih sebagai tanda mengagungkan kebesaran Allah SWT, tanda kejayaan mendidik nafsu dan menginsafi bulan Ramadan yang berkat.

Selama sebulan di bulan Ramadan, kita dilatih untuk melaksanakan ibadah-ibadah fardhu dan sunat seperti solat sunat Tarawih, tadarus al-Quran, berqiamullail, bersahur, memperbanyakkan sedekah dan sebagainya.

Semuanya itu merupakan hasil daripada tarbiah Ramadan yang boleh mendorong kita ke arah menjadi umat yang bertaqwa.

Perjuangan untuk mewujudkan masyarakat bertaqwa ini menjadi tanggungjawab bersama sebagai umat Islam.

Seluruh umat Islam tanpa mengira latar belakang, kedudukan, fahaman politik, warna kulit, bangsa dan pangkat serta darjat seseorang itu perlulah bergerak dan berjuang memperkukuhkan kesatuan umat Islam.

Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kita untuk bersatu dan berpegang teguh dengan agama Allah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud:

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."

Islam memberikan perhatian yang amat penting terhadap kesatuan ummah dengan menggesa umatnya agar sentiasa menjaga dan memelihara ukhwah yang merupakan asas kekuatan bagi umat Islam.

Sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa membajai hati kita dengan sifat-sifat berkasih sayang terhadap sesama manusia dan semua makhluk ciptaan Allah SWT.

Umat Islam yang memiliki sifat seperti ini mampu mewujudkan masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan saling bekerjasama serta sanggup berkorban, melupakan soal kepentingan diri sendiri demi membina kemajuan dan melahirkan kesatuan ummah yang cemerlang terutama dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap sesama manusia dan juga tanggungjawab terhadap Allah.

Justeru, umat Islam di Malaysia perlulah bersyukur di atas nikmat keamanan dan perpaduan yang dinikmati berbanding di sesetengah negara lain yang sentiasa hidup dalam ketakutan, peperangan dan kelaparan.

Dalam Islam, persaudaraan adalah teras bagi pembentukan negara dan perkembangan masyarakat yang maju lagi bertamadun.

Sabda Rasulullah SAW:

"Sesiapa yang memiliki tiga perkara nescaya ia akan dapat merasakan kemanisan iman, iaitu bahawa ia mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada yang lain dan ia mengasihi seseorang hanya semata-mata kerana Allah serta ia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas ia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam api neraka." - Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Sebenarnya keutuhan ummah tidak akan terhasil, kecuali dengan terlaksananya beberapa prinsip asas antaranya sikap tolong menolong dalam menggalakkan kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta sanggup berlapang dada dalam menerima apa jua keputusan.

Sebagai manusia kita memerlukan antara satu sama lain, konsep tolong-menolong perlu wujud dalam menghasilkan suatu kehidupan yang dapat memenuhi keperluan individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Oleh itu, sayugianya harus diingat bahawa kita harus mengenepikan ego diri, menyahkan kepentingan peribadi berbanding kepentingan dan maslahah umum yang lebih besar demi membina kesatuan ummah dalam menjamin kelangsungan dan peranan mereka dalam masyarakat.

Umat Islam pada hakikatnya telah pun bersatu dalam satu akidah. Mereka percaya dan mengamalkan rukun Islam dan iman.

Mereka melafazkan dua kalimah syahadah, melaksanakan ibadah solat, zakat, puasa, haji yang sama.

Umat Islam seharusnya menjadikan junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai contoh tauladan yang terbaik.

Kejayaan Baginda SAW dalam menyatukan bangsa Arab yang bersifat asabiyah melalui ajaran Islam yang mantap telah melahirkan bangsa yang hebat dan kuat dalam sejarah tamadun dunia.

Hubungan antara umat Islam yang terjalin di atas nama persaudaraan seharusnya mampu melahirkan umat yang bersatu-padu dan bukannya umat yang berpecah-belah.

Renungilah pesanan Saidina Abu Bakar al-Siddiq, sahabat paling akrab di sisi Rasulullah SAW yang telah memberi amaran kepada umat Islam agar tidak mencetuskan permusuhan sesama ummah, antara pesanannya:

Bahawa mereka yang menganjurkan permusuhan ialah mereka yang berdiri ditepi jurang neraka yang hanya menunggu saat kehancurannya. Oleh itu bersatulah di dalam jamaah sebagaimana bersatunya Muhajirin dan Ansar.

Begitu juga Saidina Uthman al-Affan yang bersungguh-sungguh menasihati umat Islam agar mengelakkan tragedi mengaibkan melalui tindakan melampau sehingga mencetuskan konflik.

Beliau berkata dengan penuh harapan bahawa:

Setiap orang Islam keatas orang Islam yang lain diharamkan darahnya, hartanya dan kehormatannya.

Dalam hal yang sama Saidina Umar al-Khattab pernah berkata:

Suatu yang paling cepat mendatangkan kebaikan adalah pahala orang yang berbuat kebaikan dan menghubung silaturrahim, sedangkan paling cepat mendatangkan keburukan ialah seksaan bagi orang berbuat jahat dan memutuskan tali persaudaraan.

Persoalan besar timbul ialah apakah proses utama kepada kesatuan ummah ini?

Sikap bersederhana dalam semua perkara berdasarkan konsep al-wasatiyyah adalah dasar utama yang hakikatnya berperanan dalam menangani isu kesatuan dalam sesebuah negara.


Menurut pandangan Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi menjelaskan bahawa al-wasatiyyah adalah 'pertengahan' atau 'berimbang' (al-tawazun), maksudnya ajaran agama ini bersifat 'pertengahan' atau 'berimbang' antara dua perkara yang bertentangan.

Islam sentiasa memberi perhatian yang adil antara keperluan rohani, jasmani, intelektual dan emosi bagi setiap individu dan anggota masyarakat.

Dalam aspek kehidupan, sentiasa ada unsur keseimbangan antara realiti dan idealistik, antara yang tetap dan berubah.

Oleh itu, agama Islam tidak bersifat berat sebelah (bias) dan tidak keterlaluan atau terlalu kurang (taqsir).

Berdasarkan kepada perkara ini umat Islam yang benar-benar patuh dan menurut tabi'i ajaran Islam kehidupan mereka akan menjadi baik dan berkualiti.

Inilah yang dikatakan sebagai keindahan dan kemanisan Islam.

Firman Allah SWT ayat 143 surah al-Baqarah yang bermaksud:

"Dan demikianlah (sebagai mana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu."

Konsep ummatan wasatan sebagaimana pentafsirannya membawa maksud 'umat yang pilihan lagi adil' dan juga bermakna 'umat yang pertengahan' iaitu pertengahan segala pembawaannya.

Mengikut pandangan Syed Qutb:

"Umat Islam adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya yang fizikal, iaitu berada di tengah-tengah."

Justeru, umat Islam dituntut untuk menyeimbangkan antara tuntutan rohani dan jasmani dan antara tuntutan dunia dan akhirat.

Sifat kesederhanaan dan keseimbangan ini sangat penting bagi orang yang beriman kerana perbuatan yang lebih dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap melampau, begitu juga perbuatan yang kurang dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap suatu kecuaian.


Umat Islam juga tidak boleh terlalu lepas bebas tanpa sempadan kerana kita pada hakikatnya diikat dengan peraturan undang-undang.

Sememangnya ajaran Islam mengajar umatnya bersederhana dalam semua perkara, berimbang dan syumul dalam segenap bidang kehidupan individu dan masyarakat dengan memfokuskan kepada mempertingkatkan kualiti kehidupan ummah sama ada dari segi ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, pertahanan, perpaduan dan sebagainya.

Pada hari ini pelbagai cara dan strategi dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk melemahkan kesatuan ummah serta keamanan negara.

Mereka melakukan dengan tersusun lagi licik melalui pencemaran budaya, penyebaran fitnah perpaduan sama ada melalui media massa dan alam siber, melanggari undang-undang negara, mempertikai kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan menghina kedudukan Raja-Raja Melayu.

Kebelakangan ini juga isu-isu berkaitan dengan hal ehwal agama Islam dan perlaksanaan undang-undang Syariah sering kali dipertikaikan.

Pelbagai isu yang menyentuh Islam diperdebat secara terbuka tanpa memberi penghormatan yang selayaknya kepada Islam sebagai agama persekutuan sepertimana yang telah termaktub dalam perlembagaan.

Mereka juga mengadakan pelbagai helah termasuklah atas dasar hak kebebasan berfikir dan bersuara, mereka juga mencetuskan perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan serta menjadikan rakyat sebagai perisai untuk menghuru-harakan negara, cuba membuat provokasi untuk melemahkan pemerintah dan menggugat kesatuan ummah yang akhirnya membawa tanggapan di mata dunia bahawa negara ini tidak lagi berada dalam keamanan.

Musuh Islam juga melancarkan penjajahan pemikiran (ghazwatul-fikr).

Pelbagai aliran barat dan doktrin untuk menghancurkan Islam telah diketengahkan seperti sekularisme, pluralisme, sosialisme, feminisme, positivisme dan sebagainya.

Mereka merancang semua ini dengan penuh teliti dan bijak.

Mereka telah melancarkan peperangan saraf secara terbuka dan berani untuk memanipulasi minda dan kepercayaan di kalangan di kala umat Islam dilanda krisis keyakinan diri dan hilangnya kekuatan dan kesatuan di kalangan umat Islam di seluruh dunia.

Bayangkanlah, jika umat Islam hilang pegangan hidup, hilang maruah, berada dalam ketaksuban kepada pihak-pihak tertentu dan mengutamakan kemaslahatan peribadi serta diperalatkan pihak lain, maka akhirnya umat Islam pasti menerima nasib yang malang lagi hina di negara sendiri.


Lihat sajalah apa yang berlaku di beberapa negara Islam di Asia Barat, apabila rakyat tidak bersatu, pemimpin dipengaruhi pemikiran dan tindakan oleh musuh-musuh Islam untuk mendapat apa yang diingini, maka negara berada dalam huru-hara dan kehancuran.

Sebagai umat Islam, kita perlu bijak mengenal pasti musuh yang sedang dihadapi sama ada yang kelihatan secara zahir ataupun terselindung di sebalik pelbagai bentuk wadah dan wajah.

Janganlah umat Islam asyik dengan pertelingkahan sesama sendiri sedangkan musuh yang menabur racun bersorak kegembiraan.

Berwaspadalah dengan golongan munafik dan pengkhianat di kalangan umat Islam yang telah menjadikan agama sebagai barang dagangan dan perjuangan menuntut keadilan sebagai modal politik sehinggakan sanggup bersekongkol dengan pihak musuh untuk menumpaskan pemerintah Islam hanya demi mendapatkan kuasa.

Untuk itu sebagai umat Islam kita hendaklah mengatur langkah yang bijak dengan menyatukan hati sesama kita dan memperkasakan keupayaan agar kita dapat bergerak dengan sederap langkah.

Dengan saf yang kukuh inilah membolehkan kita menghadapi musuh dengan tabah dan gagahnya.

Perkukuhkan kesatuan ummah dan bertoleransi dalam semua perkara serta berlapang dada atas keputusan yang telah dipersetujui.

Semangat melampau sebenarnya akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara.

Manhaj Islam adalah memelihara keutuhan ummah sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi:

"Hendaklah kamu berada bersama sama jamaah, dan janganlah kamu berpecah belah."

Ketika kita sedang bergembira menyambut Aidilfitri, kita perlu insaf dan sedar bahawa terdapat umat manusia yang sedang menderita terutama mereka yang berada di negara yang sedang bergolak dan insan-insan yang kesempitan hidup seperti fakir miskin, orang-orang tua, anak-anak terbiar dan sebagainya.


Hidupkan suasana Aidilfitri dengan amalan ziarah-menziarahi, kunjung-mengunjungi dan menghubungkan silaturahim terutama sekali terhadap kedua ibu bapa kita dengan memohon kemaafan atas kesalahan yang telah dilakukan sama ada yang disedari ataupun yang tidak disedari.

Dengan demikian, jiwa kita pasti dapat merasai ketenangan, kebahagiaan yang sejati.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah RA. katanya Sabda Rasullullah SAW:

"demi diriku dalam kekuasaan-Nya, kamu tidak akan dapat masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak dikatakan beriman dengan sempurna sehinggalah kamu berkasih sayang, sukakah kamu jika aku tunjukkan sesuatu apabila kamu melakukannya nescaya kamu akan berkasih sayang? sebarkanlah ucapan salam di kalangan kami." - Hadis Riwayat Muslim.

Selari dengan keberkatan Ramadan dan takbir keinsafan, pulihkan dan kukuhkan hubungan sesama kita dengan saling hormat menghormati, bertimbang rasa, mengamalkan sikap bersederhana dalam apa jua tindakan, tidak melampau, saling bermaafan, mendoakan dan mengeratkan hubungan silaturahim.

Buanglah yang keruh ambillah yang jernih.

Amal ibadah kita tidak akan diterima oleh Allah SWT sekiranya kita hanya mementingkan diri sendiri dan tidak menghormati hak-hak orang lain.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujuraat ayat 9 yang bermaksud:

"Dan jika dua puak dari orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah keduanya dengan adil, dan berlaku adillah kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil."

Lafaz takbir yang kita ucapkan pada hari raya Aidilfitri merupakan kalimah agung yang diucapkan oleh Rasulullah SAW sewaktu pembukaan kota Mekah.

Lafaz takbir ini adalah kerana kita juga merasai kemenangan yang gemilang dalam menunaikan ibadah puasa dan berjaya menundukkan musuh-musuh kita yang bernama hawa nafsu.


Bahkan menurut Rasulullah SAW musuh yang bernama hawa nafsu inilah jauh lebih berat untuk dikalahkan berbanding dengan musuh-musuh yang nyata.

Justeru, jihad melawan hawa nafsu perlu diteruskan di bulan Syawal dengan melakukan puasa enam yang mana pahalanya menyamai dengan puasa sepanjang tahun.

Puasa ini boleh dilakukan berturut-turut atau berselang hari.

Sabda Rasulullah SAW di dalam hadisnya:

"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, dan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun." - Hadis Riwayat Muslim.

Aidilfitri juga hari perdamaian kerana pada hari ini dinyatakan perdamaian hidup dalam rumah tangga, hubungan kaum kerabat dan sanak saudara.

Seluruh umat Islam sama ada dalam lingkungan desa mahupun kota, wajah berseri-seri, hati riang-ria, tangan bersalam-salaman mengucapkan salam Aidilfitri serta ampun dan maaf sebagai tanda keakraban dan silaturahim.

Keutuhan ummah asas keutuhan Aidilfitri.

Melalui zakat fitrah dan zakat harta yang telah dibayar di bulan Ramadan telah memberi keceriaan dan keriangan kepada golongan fakir miskin untuk sama-sama menyambut hari kemenangan ini.

Keberkatan Ramadan juga mengingatkan kita bahawa cahaya Aidilfitri melangkaui sempadan negara dan benua.

Umat Islam di mana mereka berada adalah sama, kita sama dari segi makan minum, kita sama dari segi peraturan, halal dan haram dan kita juga sama dari sudut akidah.

Namun kehidupan umat Islam hanya teristimewa dengan iman kepada Allah SWT.


Kita perlu insaf terdapat saudara-saudara kita di luar negara hidup dalam keadaan sukar sepanjang hayat, membesar dalam keadaan perang, generasi silih berganti terus hidup menderita terutama saudara kita di Palestin, pelarian Muslim Rohingya dan lain-lain umat Islam yang sedang mengalami musibah.

Cubalah kita rasakan segala keperitan yang sedang mereka rasakan supaya boleh kita jadikan iktibar dan pengajaran.

Tariklah nafas kesyukuran dan kenangkanlah segala nikmat yang sedang kita kecapi di tanah air kita.

Ingatlah, jika sudah tergadainya agama dan negara, walaupun kita menangis air mata darah sekalipun, ianya pasti sudah terlambat.

Terdapat umat Islam yang menjadi penduduk minoriti di beberapa buah negara terutama di rantau ini juga menghadapi keperitan hidup.

Cuba bayangkan bagaimana umat Islam di negara yang mengalami peperangan dan kehidupan yang sukar menjalani puasa dan sambutan Aidilfitri.

Bantulah saudara seagama yang hidup daif dan menderita.

Keberkatan Ramadan mengingatkan kita supaya menghulurkan bantuan yang diadakan dari semasa ke semasa melalui masjid-masjid, media massa dan sebagainya, mudah-mudahan rezeki kita ditambah, umur dipanjangkan Allah SWT dan kasih sayang di kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.


Didikan Ramadan yang mendisiplinkan diri kita sepanjang hari, memberikan suatu pengisian yang sangat bermakna dalam menjalani kehidupan yang berkualiti.

Ramadan yang dipenuhi dengan tuntutan fardhu mahupun sunat seperti solat fardhu berjemaah di masjid-masjid atau surau-surau, bermurah hati dengan sedekah dan amal jariah, istiqamah dalam tilawah al-Quran dengan menyertai majlis-majlis tadarus, rajin berqiamullail dan menjaga segala bentuk maksiat seperti memelihara mata, telinga, mulut, nafsu agar tidak merosakkan ibadah puasa.

Umat Islam digalakkan meneruskan kesinambungan ini dengan melaksanakan amalan puasa enam di bulan Syawal sebagai tambah nilai untuk mengukuhkan dan menguatkan keberkatan Ramadan al-Mubarak.

Puasa enam ini hukumnya sunat.

Abu Ayub RA meriwayatkan dalam sebuah hadis sahih dengan sabda Rasulullah SAW:

"Barangsiapa berpuasa Ramadhan, kemudian ia mengiringinya dengan puasa enam hari dari bulan Shawal, adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang masa." - Hadis Riwayat Muslim.

Mereka yang berjaya melaksanakan segala tuntutan ini akan merasa nikmatnya dengan menerima anugerah iaitu Aidilfitri yang disyariatkan oleh Allah SWT untuk umat Islam merayakannya dengan penuh kesyukuran.

Kenikmatan ini merupakan kemenangan bagi orang yang berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya:

"Bagi orang yang berpuasa itu, dua kegembiraan, pertama kegembiraan ketika berbuka dan kedua kegembiraan mereka ketika bertemu Allah SWT."

Bagi menzahirkannya kita melafazkan takbir, tahmid dan tasbih serta melaksanakan segala amal bakti yang diredai Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

"Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur."

Sesungguhnya pengertian Aidilfitri membawa makna yang mendalam iaitu aid' bererti kembali, perayaan atau ulangtahun.

Manakala fitri bermaksud berbuka atau makan minum, di mana seluruh umat Islam pada hari Aidilfitri diwajibkan berbuka dan diharamkan berpuasa.

Ia juga membawa maksud fitrah atau tabiat asal kejadian manusia yang suci bersih, di mana setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan.

Lazimnya kemeriahan Aidilfitri dapat dirasakan dengan rumah-rumah kita dibersihkan dan dihiasi dengan lampu-lampu, sanak saudara berkumpul beramai-ramai, anak-anak kita dengan pakaian baru serta juadah makanan tersedia.

Hakikat sebenar, kita berkumpul di masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri dan mendengar khutbah.

Kita bersalam-salaman untuk memohon kemaafan semoga semua salah silap dimaafkan, perselisihan atau perbalahan dilupakan, mana yang kusut kembali dirungkaikan.

Kita digalakkan mengambil kesempatan untuk menziarahi pusara orang tua serta mengadakan rumah terbuka, menjemput sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan serta saling berkunjung-kunjungan.

Amalan ziarah-menziarahi ini bertepatan dengan usaha-usaha murni menghidupkan sunnah Rasulullah SAW.

Jika pada waktu atau bulan-bulan yang lain, kita tiada kesempatan kerana kesibukan dengan tugas mengurus rutin harian, maka di kesempatan inilah kita dapat menjalin semula keakraban dengan jiran tetangga, sahabat handai dan rakan taulan.

Sesungguhnya inilah masa yang paling sesuai untuk kita menghubungkan kembali silaturahim.

Islam mengajar kita melakukan sesuatu perkara secara bersederhana.

Dalam keghairahan meraikan Aidilfitri, janganlah sampai kita melakukan pembaziran kerana ia dibenci oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Israk ayat 27 yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

Dalam suasana meraikan kegembiraan ini, janganlah sekali-kali ianya menggadai diri sehingga lupa kepada tuntutan dan tujuan sebenar hari raya.

Segala keperitan, kepahitan, kesusahan, keseksaan yang sedang dialami oleh saudara seagama kita yang berada di mana sahaja di bumi Allah SWT hendaklah dijadikan iktibar.

Hiburkanlah hati dan kehidupan mereka, marilah kita tanamkan rasa kasih sayang dengan menyemarakkan semula semangat cinta seagama yang sudah kian malap.

Kita suntikkan kenangan Ramadan agar dapat melahirkan rasa kesyukuran dan kebersamaan antara kita sesama insan.

Sesungguhnya nikmat kurniaan Allah SWT untuk mengangkat martabat kita menjadi insan rabbani dan Aidilfitri juga merupakan satu lagi nikmat tanda tercapainya kejayaan kita melalui ujian Allah.

Bulan Ramadan telah menyediakan tema persekitaran yang terbaik sekiranya dihayati untuk membentuk iklim kehidupan seorang insan yang bergelar mukmin.

Kita dilatih satu pengurusan hidup yang terbaik.

Sepanjang bulan Ramadan juga mendidik kita agar sentiasa berkhidmat kepada orang lain.

Kita digalakkan bersedekah dan diperintahkan mengeluarkan zakat fitrah.

Ia adalah simbol bagi membentuk sikap mengambil berat terhadap orang lain dan berusaha membantu sesama kita.

Justeru, terapkanlah segala amalan kita di bulan Ramadan dalam kehidupan terutamanya pada bulan Syawal yang mulia ini.

Bulan anugerah Allah SWT kepada mereka yang beriman sebagai hari kemenangan untuk mengembalikan diri kita kepada kejadian asal dalam suasana fitrah.

Insafilah amalan di bulan Ramadan sebagai asas perjalanan kehidupan.

Bagi kita yang diberikan kesempatan untuk melalui Ramadan al-Mubarak dan Syawal yang penuh keberkatan ini, perbanyakkan bekalan dengan menjadikan detik-detik kehidupan kita selanjutnya diwarnai oleh amal-amal soleh sebagai kesinambungan dari amalan sepanjang Ramadan yang baru berlalu, moga-moga ianya diterima oleh Allah SWT sebagai amalan yang diredhai-Nya.


Raikanlah Aidilfitri ini dengan rasa penuh tawaduk dan merendah diri kepada Allah SWT dan ambillah kesempatan ini untuk kita menjalinkan hubungan silaturrahim sesama kita, buanglah yang keruh dan ambillah yang jernih semoga sambutan kali ini diwarnai dengan penuh kegembiraan di bawah keredhaan Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujuraat ayat 10 yang bermaksud:

"Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: