Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, July 1, 2013

Rentetan peristiwa penubuhan Malaysia


31 Ogos 1957: Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

27 Mei 1961: Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman semasa Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura telah menjelaskan tentang perlunya mewujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo, Brunei dan Sarawak di bawah satu bentuk kerjasama politik.

23 Julai 1961: Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura telah bersetuju menubuhkan jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dipengerusikan oleh Donald Stephen.

17 Januari 1962: Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak. Suruhanjaya dianggotai oleh lima orang ahli iaitu Lord Cobbold, Datuk Wong Pow Nee, Mohd. Ghazali Shafie, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston.

3-4 Februari 1962: Mesyuarat keempat Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia.

21 Jun 1962: Laporan Suruhanjaya Cobbold telah disiapkan dan dikemukakan kepada kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Julai 1962: Kata sepakat dicapai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Harold MacMillan Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan.

9 Julai 1963: Perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

16 September 1963: Upacara pengisytiharan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Pengisytiharan penubuhan Malaysia dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia.

Ketika Sarawak diperintah keluarga Rajah Brooke lima dekad lalu rakyat negeri itu ditindas dari segi ekonomi dan aspek pendidikan.

Sepanjang pemerintahan Brooke, mereka sentiasa menghadapi tentangan daripada masyarakat pribumi Sarawak di bawah pimpinan Sharip Shahap, Sharip Masahor, Rentap, Rosly Dhoby, Morshidi Sidek, Bujang Suntong, Awang Ramli, Bantin dan lain-lain.

Bagaimanapun, tentangan mereka dapat dipatahkan melalui kekerasan dan dasar pecah dan perintah.

Pada Februari 1962, suruhanjaya yang diketuai oleh Lord Cobbold melawat Sarawak dan Sabah untuk meninjau pandangan umum berikutan cadangan penubuhan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman ketika itu.

Pada 22 Julai 1963, Gabenor Sir Alexander Wadell menyerahkan segala urusan kerajaan kepada Ketua Menteri Sarawak yang pertama, Stephen Kalong Ningkan (Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi, Kosmo! 26 September 2012).

Pada mulanya pembentukan persekutuan Malaysia dirancangkan pada 1 Jun 1963, namun ditangguhkan pada 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang ke-6.

Tetapi beberapa isu berkaitan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia melambatkan pengisytiharan hingga ke tarikh 16 September pada tahun yang sama.

Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Perisitiwa bersejarah itu telah dicatatkan apabila Persekutuan Melayu, Sarawak dan Sabah menjadi satu negara yang disokong oleh rakyat ketiga-tiga wilayah kira-kira 49 tahun lalu.

Keputusan itu telah membawa perubahan yang amat besar dan pada hari ini kedua-dua negeri ini lebih makmur dan selamat di bawah naungan negara Malaysia.


Sumber: Artikel Menjiwai Sebuah Negara, Kosmo!, 26 September 2012

No comments: