Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, July 8, 2013

Ramadan yang dinanti


Detik akhir bulan Syaaban adalah proses pecutan terakhir untuk menghadapi bulan Ramadan.

Bulan yang mulia ini merupakan peluang bagi umat Islam untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan juga sebagai ruang yang besar bagi memohon maghfirah yang diluaskan oleh Allah SWT ketika Ramadan.

Rasulullah SAW telah mengajar umatnya untuk menantikan kehadiran bulan Ramadan dan mengharapkan ketibaannya dengan penuh kegembiraan.

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, apabila tiba bulan Rejab Rasulullah SAW akan berdoa
Dan Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Apabila masuknya bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga, tertutuplah pintu-pintu neraka, dan dirantailah syaitan-syaitan." - Hadis Riwayat al-Bukhari.

Begitu juga, Rasulullah SAW memberi galakan kepada para sahabat untuk menanti dan mengharapkan kehadiran Ramadan.

Baginda menyebut-nyebutkan kelebihan bulan Ramadan yang menimbulkan kerinduan para sahabat terhadap bulan yang mulia itu.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

"Di dalam syurga mempunyai sebuah pintu yang digelar ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat. Tidak akan masuk kedalamnya seorang pun melainkan mereka sahaja. Dipanggil: ‘Siapakah orang yang berpuasa?’ Lalu orang yang berpuasa pun bangun. Tidak ada yang memasuki syurga melaluinya selain dari mereka. Apabila mereka semua telah masuk, ia ditutup. Maka tidak ada lagi yang akan masuk melaluinya walaupun seorang." - Hadis Riwayat al-Bukhari

Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW menunjukkan bahawa bulan Ramadan mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan bulan-bulan yang lain, antaranya kerana difardhu padanya ibadah puasa.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."

Persoalan besar timbul di sini bagaimanakah caranya untuk kita menyambut kedatangan bulan yang mulia ini dan melakukan ibadah puasa?

Antara persediaan yang patut dilakukan menjelang Ramadan ialah:
  1. Memantapkan ilmu agama.
  2. Menjaga dan memelihara kesihatan
  3. Kewangan yang cukup
  4. Senantiasa berdoa
  5. Memperbanyak menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadan.


Memantapkan ilmu agama.

Ramai orang yang berpuasa tanpa ilmu di dada, dikhuatiri ibadah yang diharapkan mendapat pahala sebaliknya tidak diterima.

Menjelang Ramadan, kita diseru meluangkan masa menuntut ilmu agama sama ada dengan membaca hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihan bulan Ramadan dan menghadiri kuliah-kuliah agama.

Perkara yang perlu diberi keutamaan ialah berkaitan dengan ibadah puasa seperti rukun, syarat sah, perkara yang membatalkan puasa, adab dan juga akhlak orang berpuasa. Hal ini begitu penting untuk mendapatkan kesempurnaan ibadah puasa.


Menjaga dan memelihara kesihatan.

Kesihatan tubuh badan yang sempurna menjamin kesempurnaan ibadah puasa.

Kecerdasan seluruh anggota badan diperlukan kerana pada bulan Ramadanlah tubuh badan memerlukan tenaga bagi melaksanakan amalan seperti solat sunat tarawih, qiamullail, membaca al-Quran, iktikaf dan sebagainya.


Kewangan yang cukup.

Pada bulan Ramadan digalakkan bagi umat Islam untuk banyak bersedekah. Rasulullah SAW merupakan seorang yang paling suka bersedekah dan dermawan serta Baginda lebih dermawan di dalam bulan Ramadan.

Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas R.A.:

"Rasulullah SAW ialah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan di saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al- Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus." - Hadis Riwayat al-Bukhari.


Senantiasa berdoa.

Di dalam bulan Ramadan kita dituntut memperbanyakkan berdoa. Para Salaf as-Soleh berdoa selama enam bulan sebelum ketibaan bulan Ramadan.

Mereka berdoa untuk menyatakan kerinduan mereka terhadap Ramadan.

Antara doa mereka adalah:

"Ya Allah, benarkanlah aku sampai ke bulan Ramadhan, dan benarkanlah kepadaku Ramadhan, dan benarkanlah ia bertemu denganku."


Memperbanyak menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadan.

Umat Islam juga dituntut memperbanyakkan bercerita tentang kemuliaan bulan Ramadan.

Perkara ini bertujuan memberi rangsangan dan semangat kepada kita bagi membuat persediaan bertemu Ramadan.


Bukankah sesuatu perkara itu akan menjadi lebih meriah dan suasananya dapat dirasai jika sentiasa diwar-warkan. Apatah lagi bulan yang begitu mulia ini sepatutnya lebih layak disebut-sebut kemuliaan dan ganjarannya oleh media massa, media elektronik dan seluruh umat Islam.

Kita adalah makhluk ciptaan Allah yang tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan sama ada dosa besar atau kecil.

Sebagai makhluk ciptaanNya, maka Allah SWT Maha Mengetahui cara dan kaedah yang sesuai untuk membaiki, membaik pulih dan mempertingkatkan iman dan akhlak manusia.

Selari dengan kelemahan makhlukNya itu, maka Allah menawarkan kepada umat Islam bulan Ramadan dengan keampunan dan pahala yang berganda serta mengembalikan fitrah akhlak manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu." - Hadis Riwayat Bukhari.

Menjelang Ramadan, umat Islam diseru oleh para ulama untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada tawaran daripada Allah SWT dan bukannya terpengaruh dengan promosi-promosi komersil yang mengaitkan nama Ramadan.

Ibadah puasa yang dilakukan dengan sempurna pasti mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa kita menjadi lebih tenang dan membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Ketika berpuasa kita bukan sahaja menahan diri dari keinginan makan dan minum malahan anggota tubuh badan yang lain juga hendaklah berpuasa seperti:
  • Mata - menahan daripada melihat perkara yang diharamkan
  • Telinga - menahan daripada mendengar umpatan
  • Lidah - menahan daripada menuturkan fitnah dan cacian
  • Tangan - menahan daripada melakukan dosa dan permusuhan
  • Kemaluan - menahan daripada melakukan kemaksiatan
  • Kaki - menahan daripada melangkah ke arah kejahatan dan kemungkaran

Adakah selama ini anggota tubuh yang dimiliki digunakan untuk beribadah dan memberi manfaat kepada masyarakat, agama dan negara ataupun hanya digunakan untuk melakukan kerosakan, kehancuran dan memecah belahkan ummah.

Muhasabahlah jika selama ini kita terlanjur perbuatan, kembalilah ke pangkal jalan.

Umat Islam juga dituntut memperbanyakkan amal ibadah dan bertaubat di atas dosa-dosa yang dilakukan dengan mengisi ruang-ruang yang ada bagi meningkatkan keimanan kepada Allah SWT di dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud:

"Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

Ambillah kesempatan apa yang telah Allah SWT janjikan sepanjang bulan Ramadan dengan menjana kekuatan jati diri untuk beribadat kepadaNya.

Bulan barakah ini merupakan anugerah Allah SWT kepada hambaNya yang hanya datang setahun sekali.

Penuhilah ruang dan masa dengan melakukan perkara-perkara kebaikan kerana mungkin bagi tahun yang mendatang kita tidak merasainya lagi.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97 yang bermaksud:

"Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: