Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, April 29, 2013

Tip tidak dibelenggu hutang


Allah SWT berfirman di dalam surah Luqman ayat 18 yang bermaksud:

"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri."

Buang sikap tamak dan menyombong diri. Sebenarnya ia adalah penyebab utama peningkatan hutang. Tingkatkan rasa qana'ah iaitu merasa cukup dan syukur dengan nikmat Allah SWT. Tidak perlu ada pertandingan siapa lebih kaya atau lebih mewah. Oleh kerana itu, Nabi SAW selalu memanjatkan doa kepada Allah SWT yang bermaksud:

"Ya Allah, aku meminta pada-Mu petunjuk, ketakwaan, serta diberikan sifat 'afaf dan ghina." - Hadis Riwayat Muslim.

Yang dimaksudkan dengan al-'afaf ialah menjauhkan dan menahan diri daripada perkara yang ditegah. Manakala al-ghina adalah hati yang selalu merasa cukup dengan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT.

Membuat perancangan kewangan. Umat Islam tidak boleh menyerahkan kepada takdir semata-mata. Mereka perlu bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan dan membuat persediaan sebelum menghadapi kesusahan.

Sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku kepada diri, ahli keluarga, harta benda dan kenderaan, pastinya kita memerlukan kewangan yang kukuh untuk berhadapan dengan situasi tersebut.

Sebagai contohnya, apabila berlaku kerosakan kepada kenderaan akibat kemalangan, pemiliknya akan membaiki kerosakan tersebut dan tentunya ia akan menjejaskan pendapatan dan harta benda.

Di sinilah wujudnya situasi di mana pemilik akan berhutang untuk menyelesaikannya. Sebaliknya, sekiranya pemilik kenderaan tersebut sudah membuat persediaan seperti mendapatkan perlindungan Takaful, maka musibah yang berlaku akan dapat diuruskan dengan baik tanpa memberikan kesan negatif.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya." - Hadis Riwayat al-Bukhari.

Sekiranya kita pernah berhutang, maka jangan kita bertangguh untuk membayar hutang. Kita bertanggungjawab untuk menyelesaikan tanggungan hutang walaupun ia tidak dituntut.

Jangan kumpulkan hutang untuk dibayar di kemudian hari kerana ia akan menjadi suatu bebanan besar yang sukar ditanggung lagi.

Sekiranya tidak mampu untuk menyelesaikan kesemuanya sekali gus, maka ia boleh dibayar secara beransur-ansur, bergantung kepada perjanjian yang dibuat.

Ingat, membayar hutang adalah wajib. Maka, sekiranya kita mempunyai kemampuan, namun tidak membayar hutang, ia adalah dosa di sisi Allah SWT.

Bahkan, Allah SWT juga tidak akan mengampunkan dosa orang yang berhutang walaupun dia mati dalam syahid. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)." - Hadis Riwayat Muslim.

Perbanyakkan doa agar terhindar daripada bebanan hutang. Nabi SAW mendidik umatnya untuk bermohon kepada Allah SWT. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya: "Mengapa engkau sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Jika seseorang berhutang, bila berbicara dia dusta, bila berjanji dia mengingkari." - Hadis Riwayat al-Bukhari.

-Utusan Malaysia

No comments: