Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, March 12, 2013

Pintu Keredhaan

Proses fitrah kejadian manusia tidak dapat menafikan peningkatan usia dari hari ke hari. Sama ada suka ataupun tidak, kita seharusnya menerima hakikat dan kenyataan bahawa setiap yang muda akan berubah menjadi tua apabila sampai masa yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Nahl ayat 70 yang bermaksud:

"Dan Allah yang menciptakan kamu; kemudian Ia mewafatkan kamu; dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah sehingga menjadilah ia lupa akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa."

Namun persoalannya bukan usia yang menjadi pertaruhan kita, akan tetapi amalan dan pengorbanan yang kita lakukan selama ini yang menjadi hasil yang harus dinilai oleh setiap manusia lebih-lebih lagi mereka yang bergelar sebagai seorang anak.

Justeru, Islam mendidik umatnya supaya berbakti dan menghormati serta berbuat baik kepada orang tua. Dalam erti kata mentaati mereka, menjaga adab sopan semasa berhadapan dengan mereka, memelihara dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka dengan tulus dan ikhlas, malah tidak sekali-kali cuba menyakiti hati mereka, sama ada secara langsung ataupun tidak.

Rasulullah SAW berpesan dan mengingatkan bahawa orang yang tidak menghormati orang tua bukan golonngan Muslim sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

"Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami." - Hadis riwayat Al-Tabrani

Sehubungan itu, sebagai seorang yang bergelar anak, kita wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada kita dan membalas jasa ibu bapa.

Firman Allah SWT dalam surah al-Israa' ayat 23-24 yang bermaksud:

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Hari ini, banyak kes penderhakaan zaman moden yang dilakukan oleh generasi muda kepada warga tua. Ada di kalangan mereka diabaikan, dibiar melarat di jalanan, mengemis dan didera. Malah, pernah terjadi anak menyaman orang tuanya sendiri sehingga ke mahkamah serta sanggup membunuh disebabkan tamak kepada wang atau harta.

Ramai golongan tua yang terbiar dan tak kurang pula yang dihantar ke rumah-rumah kebajikan, walau pada dasarnya rumah-rumah kebajikan ini hanya disediakan kepada warga tua yang tidak mempunyai waris.

Perlakuan sebegini menandakan semakin ramai anak-anak mengabaikan tanggungjawab dan penghormatan terhadap orang tua mereka. Situasi ini menjelaskan kepada kita bahawa kehilangan nilai murni di kalangan generasi muda semakin meruncing dan membimbangkan bukan sahaja di negara kita malah seluruh dunia.

Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun 2012 seramai 2020 orang penghuni telah ditempatkan di rumah-rumah kebajikan JKM.

Dari jumlah tersebut seramai 982 orang (48%) adalah orang Melayu Islam dan 19% dari jumlah kemasukan ke rumah kebajikan adalah kes-kes pengabaian serta dipinggir oleh keluarga sendiri.

Manakala 26% berkaitan masalah penjagaan dan 3% berkaitan dengan masalah penderaan. Ada di kalangan penghuni rumah kebajikan ini mempunyai anak-anak yang berjawatan tinggi, pensyarah, pegawai-pegawai kerajaan, golongan professional akan tetapi mereka masih sanggup menghantar ibu bapa mereka ke rumah-rumah kebajikan.

Membenci kedua ibu bapa dan mengabaikan kasih sayang kepada mereka akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan merupakan dosa besar. Sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: Seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya." - Hadis riwayat Ad-Dailami.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As R.A. bertanya Rasulullah SAW tentang dosa besar. Sabda Baginda:

"Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya."

Tanyanya lagi:

"Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu-bapanya?"

Jawab Nabi SAW:

"Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya."

Apalah gunanya anak-anak berpangkat besar, berjawatan tinggi, memiliki harta yang banyak sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan dosa disebabkan kedurhakaannya kepada orang tuanya.

Kita harus sedar bahawa amal soleh yang banyak tidak mencukupi untuk kita mengabaikan tanggungjawab menjaga orang tua. Pastinya hati mereka hancur dan air mata sedih akan menitis berderai bila mereka mengenangkan anak-anak yang dimanja dari kecil bagaikan menatang minyak yang penuh, tetapi setelah dewasa dan berjaya, mereka ditinggalkan dan diabaikan. Janganlah kita menjadi seorang anak semasa kecil diberi susu, apabila dewasa membalasnya dengan tuba.

Sumber: E-Khutbah JAKIM

No comments: