Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, January 29, 2013

Rasulullah SAW kekasih Allah


12 Rabiul Awal setiap tahun adalah hari sambutan Maulidur Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam yang disambut meriah di Malaysia.

Walaupun Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan kita, namun kekasih Allah ini tetap berada di dalam sanubari dan hati umatnya yang beriman.

Baginda SAW telah membawa kepada kita risalah Allah dengan dua cara:
  1. Menyampaikan perintah dan panduan Allah SWT melalui wahyu Qurani.
  2. Menghidupkan wahyu-wahyu Allah dengan sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau apa yang dinamakan sebagai sunnah nabawiyah.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Taghaabun ayat 12 yang bermaksud:

"Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata."

Bukti penegasan 'taat kepada Rasulullah' ini terdapat di dalam kalimah Lailahailallah dan Muhammadur Rasulullah yang menunjukkan bahawa Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan dan Nabi kita.

Penggunaan kalimah La adalah suatu bentuk perakuan kewujudan tuhan yang dinamakan Allah dan menafikan tuhan-tuhan selain-Nya.

Dengan itu, seluruh umat Islam wajib bersatu dan menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT.

Ini merupakan syarat mutlak sahnya kepercayaan kita terhadap adanya Tuhan dalam Islam selain mengarah kepada meng-Esakan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4 yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya."

Yakin dan percayalah, antara agenda yang diberi keutamaan dalam misi Rasulullah SAW menyebarkan Islam ialah dengan memperkasakan akidah ummah.


Kalimah Allah

Umat Islam diikat dengan erat melalui konsep tauhid, kiblat yang satu, kitab yang satu dan pemimpin yang satu.

Namun, dalam pada itu, Baginda juga sentiasa diterjah dengan berbagai ancaman musuh Islam yang didalangi oleh kaum Yahudi untuk mengkucar-kacirkan pegangan dan fahaman umat Islam.

Mereka menggunakan pelbagai pendekatan, di antaranya menggunakan isu agama sebagai alat untuk menghancurkan umat Islam.

Mereka menghasut sesetengah umat Islam yang lemah imannya dan hilang integriti untuk melanggari ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Mereka juga memperalatkan sebahagian daripada pemimpin yang beragama Islam yang dikaburi oleh keghairahan untuk mendapatkan kuasa.

Oleh itu, tidak menghairankan ada di kalangan umat Islam pada hari ini yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tetapi pada masa sama telah mentafsir Islam mengikut hawa nafsu.

Mereka sanggup melakukan tindak-tanduk mengikut kemahuan sendiri dan akhirnya perbuatan tersebut kelihatan janggal, pelik di khalayak ramai.

Besarnya pengaruh nafsu dan peranan syaitan dalam kehidupan ini terbukti apabila mereka tanpa segan silu mengutamakan kepentingan diri, mengutamakan kebendaan walaupun nyata bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah.

Inilah masanya untuk umat Islam bersatu bagi memelihara kesucian agama Islam dan mempertahankan akidah umat Islam.

Ternyata sekali lagi, hari ini musuh-musuh Islam cuba memesongkan dan meruntuhkan akidah ummah.

Mereka bersatu sesama mereka dan berusaha dengan pelbagai helah dan cara termasuklah dengan membuat tuntutan penggunaan kalimah Allah di dalam kitab mereka.

Wal hal telah jelas kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam serta satu ketetapan yang begitu nyata bagi mengelakkan umat Islam menjadi keliru, ragu-ragu dan tersilap mengenal identiti Allah SWT.

Berdasarkan kajian ilmiah, kalimah Allah tidak pernah terdapat di dalam Taurat ataupun Bible dan mereka percaya bahawa tuhan wujud dalam konsep Trinity iaitu God Father (Bapa Tuhan), God the Son (Anak Tuhan) dan Holy Spirit (Roh Kudus) dan ketiga elemen ini dirujuk sebagai satu tuhan dengan panggilan umum (The Lord).

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.

Begitu juga dengan pegangan seluruh umat Islam di Indonesia yang bersepakat kalimah Allah hanya diguna pakai oleh orang Islam sahaja.

Sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, maka menjadi kewajipan kita menjaga kesucian kalimah Allah serta mempertahankannya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Umat Islam mesti tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama. Sikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya, kerana matlamat mereka yang utama adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa agama adalah sama.

Ingatlah bahawa semua gejala keruntuhan akidah ini sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat umat Islam sendiri.

Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 72 yang bermaksud:

"Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil!. Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim."

Janganlah ada segelintir umat Islam yang hanya pandai berbicara soal Islam namun dalam masa yang sama sanggup menggadaikan maruah dan agama sendiri.

Lebih menyedihkan lagi ada di kalangan umat Islam hari ini yang langsung tidak sensitif dan sanggup menggadaikan akidah dan masa depan ummah demi kepentingan diri sendiri. Bayangkan akibatnya.

Yakinlah, di tangan kitalah letaknya tanggungjawab dan kuasa untuk mempertahankan kesucian agama Islam.

Dalam hal ini, umat Islam memerlukan penghayatan Islam secara menyeluruh.

Berdasarkan maqasid syariah (objektif yang diletakkan oleh syara' dalam mensyariatkan hukum), maka menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Salah satu prinsip penting yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam bagi memastikan kedaulatan agama kekal terpelihara ialah dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hajj ayat 41 yang bermaksud:

"Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."

Program Maulidur Rasul

Program Maulidur Rasul pada dasarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah.

Ia bertujuan untuk mentarbiyah, membimbing dan memperingatkan umat Islam agar menghargai apa yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Salah satu pengajaran itu ialah memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pesuruh Allah yang paling berjaya menegakkan ajaran Allah, Rasul terakhir, tokoh teragung sepanjang abad di dunia dan akhirat kerana membawa perubahan besar kepada lanskap akidah seluruh juzuk hidup manusia di dunia.

Malah, sehingga ke hari ini, peribadi suci Rasulullah SAW masih dikagumi musuh-musuh Islam.

Justeru, jadikanlah sunnah Rasulullah SAW sebagai amalan hidup dan mengelakkan diri dari perbuatan yang menyimpang dari sifat Rasulullah SAW yang sebenarnya.

Sambutan Maulidur Rasul yang diberi liputan meluas dalam media cetak dan media elektronik memberi peluang kepada rakyat pelbagai agama di negara ini memperingati seorang insan terpilih, memahami gaya kepimpinan, memahami akhlaknya dan memahami dasar politik, ekonomi dan sosial untuk kita teruskan dan hayati.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 31 yang bermaksud:

"Katakanlah: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: