Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, September 4, 2012

Maqasid al-Syariah, teras kemakmuran negara

Kita sepatutnya merasa amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi diberi kesempatan oleh-Nya untuk meraikan ulangtahun kemerdekaan negara kita, Malaysia. Sesungguhnya, kemerdekaan atau kebebasan dari belenggu penjajahan dan cengkaman asing yang kita kecapi ini adalah satu nikmat kurniaan Allah SWT yang amat besar ertinya kepada kita semua.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:

"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya aku tambahi nikmatku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras."

Imam al-Ghazali RA di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin menggariskan bahawa bagi mensyukuri nikmat Allah itu perlulah ada tiga perkara berikut iaitu:
  1. Hendaklah mengiktiraf bahawa nikmat tersebut datangnya daripada Allah SWT walaupun pada zahirnya ia datang melalui pelbagai sebab dan sumber.
  2. Hendaklah tidak mensia-siakan nikmat tersebut dengan mengabaikannya.
  3. Hendaklah menggunakan nikmat tersebut dengan cara yang diredhai Allah.

Persoalan besar di sini adalah bagaimana kemerdekaan dapat dikekalkan di negara ini? Kebijaksanaan pemerintah di dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang berteraskan Maqasid al-Syariah demi kepentingan rakyat adalah teras kepada kemakmuran negara. Secara ringkasnya Maqasid al-Syariah ialah melakukan kebaikan bertujuan untuk menjaga tata susila, kepentingan dan sistem hidup. Dengan kata lain mengurus sesuatu dan menjaganya dengan apa cara yang boleh membawa kepada kebaikan dan merupakan matlamat yang ingin dicapai dalam melaksanakan sesuatu, memberikan petunjuk yang jelas berhubung kaedah berfikir dan bertindak umat Islam terutama dalam kes-kes berkaitan dengan kemaslahatan ummah, iaitu yang menyentuh secara langsung dalam soal kebajikan, kebaikan, manfaat dan faedah umat Islam.

Seorang ulama terkenal iaitu Fathi Uthman mengatakan di dalam kitabnya al-Fikr al-Qanuni al-Islami bahawa Siasah al-Syariah merupakan hal berkaitan dengan undang-undang ketatanegaraan dan pentadbiran yang merangkumi soal-soal kekuasaan pemerintah, khalifah, hak-hak individu dan sebagainya.

Manakala menurut Imam Ghazali di dalam kitabnya al-Mustashfa' bahawa lima perkara pokok yang perlu dipelihara dalam maksud syariah itu sendiri iaitu:
  1. agama
  2. diri
  3. akal
  4. keturunan
  5. harta

Sesungguhnya pemimpin yang baik ialah pemimpin yang berilmu, mempunyai visi dan pandangan jauh untuk membina bangsa dan negara serta sentiasa menjaga kemakmuran dan kepentingan rakyat. Dalam konteks ini, para ulama telah menggariskan lima kepentingan yang wajib dijaga oleh pemerintah yang tiada tolak ansur untuk mengabaikannya agar umat Islam mampu bertahan menghadapi segala cabaran.

Kepentingan tersebut mengikut keutamaan ialah:
  1. Menjaga agama
  2. Menjaga nyawa
  3. Menjaga akal
  4. Menjaga maruah dan keturunan
  5. Menjaga harta

Menjaga agama

Sebagai pemerintah maka menjadi kewajipan untuk meletakkan kepentingan agama di tempat yang teratas. Segala perkara yang merosakkan agama hendaklah dihindarkan. Penyelewengan akidah wajib dibanteras. Pemimpin yang menjaga agama akan menjadi seorang yang adil dan berintegriti, tidak akan membenarkan sesuatu berlaku yang akan merosakkan akhlak dan moral. Mereka yang tidak beragama akan lemah akhlaknya dan hilang semangat patriotik dan jati dirinya serta tidak mustahil akan menggadaikan kepentingan negaranya demi memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Namun perlu diingat, di dalam kita menjaga agama pelbagai cabaran perlu diatasi antaranya aliran pemikiran pluralisme, liberalisme, LGBT dan lain-lain lagi.


Menjaga nyawa

Islam mengharamkan penumpahan darah dengan jalan yang tidak benar. Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara akan musnah, ketenteraman dan keamanan akan hilang. Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Seseorang Islam itu ialah yang menyelamatkan kaum muslimin melalui lidah (bicara) dan tangannya (kuasa dan perlakuan), dan orang yang beriman pula ialah orang yang dipercayai oleh orang lain dalam menjamin nyawa dan harta benda mereka." - Riwayat al-Tirmizi.


Menjaga akal

Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan ilmu. Semua unsur-unsur yang menjurus kepada kehilangan akal seperti arak dan dadah wajib dibenteras dengan segera. Hanya generasi yang berakal mampu mempertahankan kemerdekaan negara.


Menjaga maruah dan keturunan

Keturunan wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat Islam. Apabila keturunan telah rosak dengan sebab menyalahi syariat dan tabii manusia seperti penzinaan, liwat, lesbian, gay, dwiseksual dan sebagainya maka struktur sosial akan menjadi kacau bilau dan akhirnya akan runtuh dengan sendirinya.


Menjaga harta

Dalam menjaga harta, Islam telah menggariskan prinsipnya iaitu al-adl wal ihsan. Pendekatan Islam amat menitik berat soal keadilan dengan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa' ayat 29 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu."

Maqasid al-Syariah menjadi asas utama pemerintah di dalam melaksanakan sesuatu perkara. Dengan Gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan, segala tanggungjawab dan janji dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat melalui kaedah pengukuhan seperti yang dikenali sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Bidang Keberhasilan Utama (NKRA), Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan lain-lain lagi.

Apa yang dilaksanakan oleh pemerintah hari ini adalah demi menjaga agama, nyawa, akal, maruah dan keturunan serta harta semuanya berasaskan kepada kepentingan rakyat dan negara. Justeru sebagai rakyat, kita hendaklah bersyukur di atas segala nikmat ini dan berterima kasih kepada pihak pemerintah. Maka, menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat memberikan taat setia lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisaa' ayat 59 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan taatlah kamu kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya."

Dan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Barangsiapa yang mentaatiku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa yang mengingkariku, maka sesungguhnya dia telah mengingkari Allah. Juga sesiapa mentaati pemerintahku, maka sesungguhnya dia juga mentaatiku, dan sesiapa yang mengingkari pemerintahku, maka sesungguhnya dia telah mengingkariku." - Hadis riwayat al-Bukhari.

Adalah wajar bagi kita untuk mengenang kembali segala pengorbanan dan susah payah para pejuang negara yang telah berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil cetusan pemikiran dan semangat juang yang tinggi daripada tokoh-tokoh politik, para cendikiawan dan para alim ulama. Hasilnya, kita semua dapat hidup dengan aman dan makmur di bumi Malaysia yang bertuah ini. Sesungguhnya perjuangan mereka adalah perjuangan yang sangat mulia di sisi Allah SWT.

Semoga Malaysia yang tercinta ini terus maju, aman dan damai dan menjadi payung serta pelindung kepada Islam dan umatnya. Kita doakan juga agar negara dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, keteguhan ekonomi, dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran negara. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan di kalangan mereka semoga sentiasa hidup dalam kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Araf ayat 96 yang bermaksud:

"Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

sumber: E-Khutbah JAKIM

No comments: