Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, September 25, 2012

Angkatan Tentera Malaysia: Komitmen Kami Keyakinan Anda

ANGKATAN TENTERA MALAYSIA: KOMITMEN KAMI KEYAKINAN ANDA adalah merupakan satu perlambangan bagi membuktikan bahawa Angkatan Tentera Malaysia akan sentiasa menentukan keamanan dan kedaulatan negara tercinta ini akan tetap terpelihara dan dijaga dengan penuh tanggungjawab.

Menangkis segala bentuk pencerobohan dengan segala kekuatan yang ada biarpun sampai ke titisan darah yang terakhir. Oleh itu, Angkatan Tentera Malaysia akan memastikan aspek kesiapsiagaan sentiasa berada di tahap yang maksimum, ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud:

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya."

Keberkesanan Angkatan Tentera Malaysia tidak hanya diukur dari sudut kecanggihan persenjataan semata-mata, tetapi ia juga bergantung kepada tahap penerimaan masyarakat terhadap perkhidmatan yang diberi.

Penerimaan masyarakat adalah amat penting, yang antara lain mampu mengekalkan kesinambungan perlaksanaan operasi ketenteraan.

Dengan sokongan, kerjasama serta pengorbanan semua masyarakat, Angkatan Tentera Malaysia akan berupaya untuk menempa kejayaan yang berterusan ke arah memartabatkan integriti pertahanan demi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan strategik negara.

Pertahanan menyeluruh merupakan dasar kerajaan yang bertujuan untuk mempertahankan negara dari musuh sama ada musuh luaran mahupun dalaman dengan melibatkan seluruh anggota masyarakat.

Semua anggota masyarakat bertanggungjawab untuk mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman yang boleh menggugat keselamatan negara.

Pada masa yang sama, Angkatan Tentera Malaysia dan pihak keselamatan yang lain akan bekerjasama dengan masyarakat untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran yang dinikmati pada masa sekarang akan terus dikecapi.

Kesepakatan ini amat penting berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah as-Soff ayat 4 yang bermaksud:

"Sesungguhnya allah swt amat suka orang-orang yang berperang untuk membela agamanya dalam barisan yang teratur rapi seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh."

Imej angkatan tentera sebagai benteng pertahanan negara dan pelindung masyarakat harus dipupuk melalui ketrampilan yang meyakinkan dengan tingkah laku yang terpuji.

Ketelusan serta integriti dalam setiap pengurusan perlu diterapkan di dalam setiap diri. Transformasi yang dilalui oleh Angkatan Tentera Malaysia antaranya adalah melalui kepimpinan yang berwibawa bagi menentukan sebarang perubahan yang berlaku menjana impak yang positif.

Kepimpinan berwibawa dalam pengurusan akan dapat menentukan pencapaian yang tinggi dan sistematik. Malah pendekatan kepimpinan yang berkesan akan mampu memberikan kepuasan serta memperkasa semangat juang warga Angkatan Tentera Malaysia untuk berkorban demi agama dan negara.

Sejarah Islam telah membuktikan, generasi terdahulu, walaupun daripada kumpulan minoriti, turut berjaya menghancurkan dua kuasa gergasi iaitu empayar Rom dan Parsi. Kesemuanya bertunjangkan kekuatan rohani atau spiritual melebih dan mendasari persiapan fizikal dan teknologi.

Walaupun tentera Islam tidak punya kekuatan material yang menggerunkan berbanding musuh, namun, di medan Badar tentera Islam beroleh kemenangan besar, lantaran mereka mempunyai kekuatan rohani yang sarat dengan iman dan taqwa yang memangkin semangat juang yang tinggi dan tulus kerana Allah SWT.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran melalui surah al-Anfal ayat 9 yang bermaksud:

"(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmannya): "sesungguhnya aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut."

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh leka dengan suasana hari ini, malah kita hendaklah sentiasa bersedia pada sebarang masa untuk menghadapi apa jua cabaran yang mungkin berlaku.

Ini kerana, isu-isu semasa yang sedia wujud, walaupun sekecil mana sekalipun, boleh meledak jika tidak ditangani dengan baik berdasarkan senario semasa yang melanda dunia melalui pelbagai perancangan halus para musuh untuk memperkotak-katikkan umat dan negara-negara Islam, seluruh masyarakat khususnya Angkatan Tentera Malaysia sentiasa berwaspada untuk menghadapinya.

Cabaran-cabaran ini sama ada berbentuk fizikal mahupun mental jika tidak dibendung boleh melemahkan dan menggoyahkan kredibiliti Angkatan Tentera Malaysia dalam menggalas tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: