Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, August 30, 2012

Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM)

Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) adalah pertubuhan antarabangsa yang beribu pejabat di Paris, Perancis. Sejak ditubuhkan pada 16 November 1946, UNESCO telah dianggotai 193 buah negara. Malaysia yang telah menganggotai UNESCO sejak 16 Jun 1958 turut berperanan aktif dalam beberapa organ subsidiari UNESCO.

Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) berfungsi sebagai penasihat kepada kerajaan Malaysia dalam pelbagai bidang yang melibatkan polisi dan aktiviti UNESCO. Antara lain, ia bertanggungjawab mempromosi dan menggalakkan penyertaan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta orang ramai di Malaysia terhadap program UNESCO.

SKUM turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO negara lain dalam menjalankan aktiviti ke arah mencapai matlamat perkongsian ilmu dan persefahaman antara negara.

Agensi kerajaan termasuk sekolah, institut pengajian tinggi serta swasta boleh memohon sumber kewangan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti berlandaskan kompetensi UNESCO di dalam negara seperti yang disusun oleh SKUM.

Selain bantuan kewangan, SKUM membekalkan maklumat kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk menjayakan program yang berfaedah untuk para pelajar.

Indikator pencapaian program SKUM ini jelas dilihat ketika mula diperkenalkan di peringkat negeri Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang. SKUM menerima lebih banyak permohonan daripada pihak sekolah yang berminat untuk mengikuti program dan aktiviti UNESCO.

sumber: Kosmo!, www.unesco.org.my

No comments: