Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, May 29, 2012

Sejarah mampu lahirkan generasi lebih gemilang

Oleh SUHANA MD YUSOP dan NOR IDAYU BOSRO

Sejarah amat penting dalam kehidupan manusia kerana ia menjadi panduan dan iktibar kepada generasi akan datang untuk memperbaiki kesilapan lalu selain membolehkan mereka mencapai kejayaan yang lebih gemilang.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, akibat tidak memahami sejarah, ada sesetengah pihak menafikan banyak perkara termasuk yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, asas perpaduan di negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah memahami, menghayati dan memanfaatkan sejarah.

"Rukun Negara, lagu kebangsaan Negaraku, pengisytiharan kemerdekaan, semuanya adalah dokumen sejarah yang seharusnya dijadikan ejen memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan Kolokium Sejarah Malaysia di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Rais memberitahu, tindakan sesetengah pihak yang menyanjung pimpinan Parti Komunis Malaya (PKM) seperti Chin Peng dan Rashid Maidin sebagai wira yang harus diberi penghormatan dan diberi tempat di dalam masyarakat boleh disanggah dengan kajian serta penyellidikan ahli sejarah tempatan.

Ujarnya, menurut kajian yang dilakukan pensyarah UM, Dr. Ho Hui Ling dalam kertas penyellidikannya bertajuk Suasana Di Tanah Melayu Pada Zaman Darurat 1948-1960 - Satu Tinjauan, ribuan anggota keselamatan dan orang awam telah dibunuh oleh PKM.

"Menurut Hui Ling, seramai 1,865 anggota keselamatan dibunuh dan 2,560 lagi dicederakan. Ini tidak termasuk bilangan besar orang awam yang dibunuh oleh mereka di kampung-kampung tradisional," katanya.

Jelas beliau, kewajaran agar Chin Peng dan rakan-rakannya diberikan pengampunan tidak timbul kerana pimpinannya telah bergelumang dengan keganasan yang mengakibatkan pembunuhan ribuan manusia dan kemusnahan harta benda yang teruk.

"Persoalannya adalah, kenapa masih ada pihak yang merasakan bahawa pimpinan pengganas Komunis Malaya itu harus dimaafkan dan diberi tempat semula di dalam masyarakat?

"Walau apa pun justifikasi yang boleh dikemukakan oleh penyokong Chin Peng dan rakan-rakannya pada hari ini, faktanya tetap bahawa mereka adalah musuh negara dan bangsa Malaysia," katanya.

Cadangan Resolusi Kolokium Sejarah Malaysia
  • Institusi Raja perlu dipertahankan sebagai teras pentadbiran negara.
  • Tunku Abdul Rahman sebagai Bapa Kemerdekaan negara tidak perlu dipertikaikan lagi.
  • Memperkukuhkan patriotisme dan jati diri rakyat Malaysia melalui sejarah atau warisan negara.
  • Menghargai peranan dan sumbangan patriot dan pasukan keselamatan dalam memperjuang serta mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.
  • Mengembalikan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk menyatupadukan rakyat Malaysia sesuai Konsep 1Malaysia.
  • Memperkasakan pengajian sejarah dan warisan dalam kursus wajib universiti di institusi pengajian tinggi awam/institusi pengajian tinggi swasta.
  • Guru bukan opsyen Sejarah mengajar subjek Sejarah menyebabkan pelajar kurang faham dan minat. Bilangan guru Sejarah dicadangkan untuk ditingkatkan selaras dengan dasar kerajaan yang mewajibkan lulus Sejarah peringkat Sijil Pelajaran Malaysia bermula 2013.

Dicuplik dari akhbar Kosmo bertarikh 27 Februari 2012.

No comments: