Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, February 23, 2012

Rapuh perpaduan runtuh keamanan


Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana masyarakat dan rakyat jelata dapat hidup dengan sejahtera dan harmoni di negara ini. Salah satu aspek terpenting yang menyumbang keadaan ini adalah wujudnya perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Perpaduan merupakan satu kunci kejayaan. Dengan perpaduan kita dapat bersatu tenaga dan fikiran bagi melaksanakan sesuatu untuk kebajikan bersama. Tenaga seseorang individu dengan sendirinya tidak mampu mengatasi berbagai tugas hidup. Sebaliknya tenaga ramai yang disatupadukan boleh menghasilkan kejayaan yang luar biasa. Disebabkan itu maka apabila terdapat umat yang bersatu padu, maka kejayaan yang cemerlang akan dicapai. Sebaliknya apabila perpecahan berlaku di kalangan umat, maka buruklah akibatnya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hasyr ayat 14 yang bermaksud:

"Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu-padu, melainkan dikampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok. Permusuhan di antara mereka amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu-padu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami."

Perpecahan dan permusuhan di kalangan rakyat akan membawa kesengsaraan hidup, kemusnahan harta benda, kemunduran ekonomi dan merosakkan sistem pengurusan negara, keluarga dan masyarakat.

Kita dapat menyaksikan sendiri di televisyen, akhbar dan majalah tentang kesan rapuhnya perpaduan dan perpecahan yang berlaku. Malah apa yang paling malang sekali sekiranya perpecahan dan perbalahan ini terjadi di kalangan sesama umat Islam sebagaimana yang berlaku di beberapa buah negara Islam di Asia Barat.

Negara yang kaya-raya dan aman damai suatu ketika dahulu tetapi akibat daripada perpecahan dan perbalahan di kalangan rakyat menyebabkan kuasa luar mengambil kesempatan dan akhirnya negara itu runtuh serta ekonominya hancur.

Sedarlah kita bahawa untuk membangunkan semula hubungan antara kaum yang berpecah belah dan membangunkan ekonomi atau negara mungkin akan memakan masa berpuluh-puluh tahun lamanya.

Kita semua maklum bahawa di antara agenda yang diberi keutamaan dalam misi Rasulullah SAW menyebarkan Islam ialah dengan mewujudkan perpaduan di kalangan penganmut-penganut Islam. Umat Islam diikat dengan erat melalui konsep tauhid, kiblat yang satu, kitab yang satu, pemimpin yang satu. Namun, dalam pada itu, Baginda dan para sahabat juga sentiasa diterjah dengan berbagai ancaman musuh Islam yang didalangi oleh orang-orang Yahudi untuk mengkucar-kacirkan ikatan persaudaraan Islam.

Pihak musuh menggunakan pelbagai pendekatan dan helah, diantaranya menggunakan agama sebagai alat perpecahan seperti menghasut supaya dibina masjid bagi menyaingi masjid Kuba' yang sangat berjaya diimarahkan.

Musuh Islam juga menggunakan taktik menunjuk perasaan sebagaimana yang berlaku dalam peperangan Uhud. Mereka membantah melalui penarikan diri kira-kira 300 orang tentera daripada menyertai angkatan bersenjata Islam. Namun Rasulullah SAW dan para sahabat dapat menangani dan mengekalkan semangat perpaduan kerana mereka mengetahui siapakah sebenarnya yang menjadi dalang kepada kekacauan ini.

Perpaduan dan keharmonian hidup di Malaysia dikagumi banyak pihak. Apa yang pasti dan menjadi satu hakikat, perpaduan yang kita nikmati hari ini tidak datang bergolek. Ia adalah hasil daripada kebijaksanaan pasukan kepimpinan negara dan kesetiaan rakyat kepada pemerintah.

Berdasarkan maqasid syariyah maka menjadi tanggungjawab pemerintah kepada rakyat untuk menjaga lima perkara iaitu:
  1. Agama
  2. Nyawa
  3. Akal
  4. Keturunan
  5. Harta

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah al-Hujuraat ayat 9 yang bermaksud:

"Dan jika dua puak dari orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah keduanya dengan adil, dan berlaku adillah kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: