Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, October 11, 2011

Memperkasa akidah umat Islam


Agama Islam tiba ketika penyekutuan terhadap Allah SWT melanda seluruh penjuru alam. Ajaran Islam membawa sinar yang melenyapkan segala penyelewengan fahaman bangsa Arab di zaman Jahililah.

Namun, jika diperhatikan pada masa ini, sinar Islam seakan tenggelam apabila akidah umat Islam semakin lemah. Ramai di kalangan umat Islam yang mengaku sebagai orang Islam, namun realiti kehidupan mereka langsung tidak mencerminkan keperibadian seorang Islam.

Benarlah sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah SAW ketika mana ditanya oleh para sahabata tentang keadaan umat Islam di akhir zaman akan dikerumuni seperti makanan dikerumuni oleh pelahap-pelahap. Lalu ada sahabat bertanya: "Bagaimanakah keadaan umat Islam pada waktu itu?" Baginda menjawab: "Umat Islam ramai tetapi ibarat buih yang berada di lautan. Rapuhnya akidah mereka terhadap Allah SWT."

Kenapa perkara ini berlaku kepada umat Islam? Antara perkara yang menyebabkan berlakunya perkara ini ialah sifat umat Islam sendiri yang terlalu cintakan dunia dan takutkan kematian serta kelemahan iman mereka dan kemiskinan hidup. Kesan daripada kemiskinan ini boleh membawa kualiti hidup yang lemah, mudah terjebak dalam kegiatan sosial dan boleh membawa kekufuran.

Sabda Rasulullah SAW:

"Hampir sahaja kemiskinan itu membawa kepada kekufuran." - (Hadis Riwayat Abu Naim).

Asas segala akidah ialah beriman kepada Allah SWT iaitu kepercayaan kepada keesaan-Nya dan kepercayaan di atas kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW. Islam amat mengambil berat dan menyeru kepada mentauhidkan Allah SWT secara ilmu dan amal serta menjelaskan perkara-perkara yang membawa kepada syirik sama ada secara i'tiqad atau tingkah laku.

Islam adalah satu-satunya agama yang diiktiraf di sisi Allah SWT iaitu agama yang menjamin umat Islam kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 19 yang bermaksud:

"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya."

Dan firman-Nya lagi dalam surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud:

"Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang yang rugi."

Dalam era kemajuan dan globalisasi masa kini telah mendedahkan umat Islam kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah umat Islam. Pelbagai fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, humanisme dan unsur-unsur negatif yang mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya.

Kita juga dikejutkan dengan fahaman liberalisme, pluralisme serta komunisme yang diperkatakan semula pada hari ini. Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam.


Kita dihimpit dengan budaya songsang seperti Black Metal, budaya Punk, gejala gay, seks bebas, panyalahgunaan dadah, kes judi dan sebagainya. Kepincangan hidup berkeluarga juga menyelubingi umat Islam, ada anak-anak kita yang sanggup menghina kedua ibu bapa bahkan lebih malang lagi sanggup menderhaka kepada mereka.

Gejala ini berlaku disebabkan oleh beberapa perkara antaranya kepincangan dan lemahnya keimanan anggota keluarga terutamanya ibu bapa sebagai ketua keluarga sedangkan ibu bapalah yang paling utama dalam mendidik anak-anak kepada penghayatan ajaran dan akidah Islam.

Mutakhir ini juga kita sering mendengar berita penyelewengan akidah umat Islam yang melanda masyarakat. Pelbagai kumpulan ajaran sesat telah wujud dengan tujuan menjauhkan umat Islam dari mengamalkan ajaran al-Quran dan al-Sunnah.

Kelemahan akidah turut mendedahkan mereka kepada pelbagai amalan khurafat seperti bertenung nasib, sihir, ilmu guna-guna dan sebagainya. Semua gejala keruntuhan akidah ini sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat manusia. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 72 yang bermaksud:

"Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil!. Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim."

Sebagai umat Islam kita perlu sedar dan bangkit mempertahankan akidah Islam kerana ia adalah asas kekuatan dalam menghadapi musuh-musuh Islam yang mahu menghancurkan Islam dan umatnya. Dalam hal ini, umat Islam memerlukan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pelaksanaan ibadat umum dan khusus.

Tubuh badan kita diibaratkan seperti botol kosong. Jika kita tidak memenuhi botol itu dengan amal soleh, maka botol itu akan dipenuhi nafsu syaitan yang akan menguasai diri kita dan mendorong kita melupai ketetapan Allah SWT. Pengaruh syaitan dalam diri manusia inilah menyebabkan manusia mengalami penyakit keruntuhan akhlak serta akidah.

Di samping itu, umat Islam perlulah juga membina kekuatan dari sudut ilmu, teknologi, politik dan sebagainya. Kita juga mestilah sentiasa mengikuti perkembangan semasa agar maklumat yang diperolehi adalah benar dan tepat.

Sebagai ibu bapa kita juga hendaklah berperanan dalam mendidik anak-anak dengan ajaran Islam yang sebenar agar menjadi generasi yang diredhai oleh Allah SWT dan berusaha menjauhkan keluarga dari neraka Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."

Marilah sama-sama kita mendokong segala usaha demi memperkasa kedudukan umat Islam sama ada dari segi perpaduan, ekonomi dan akidah. Marilah sama-sama kita meletakkan perhambaan kita kepada Allah SWT dalam segenap kehidupan dengan mengembalikan diri kita kepada Allah SWT dan menjaga akidah kita daripada terpesong jauh dari landasan yang digariskan oleh Allah SWT.

Sebagai penutup, renungilah firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 136 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kepada Kitab yang diturunkan kepada Rasul-Nya, dan Kitab-kitab Suci yang diturunkan sebelumnya. Dan sesiapa yang kufur kepada Allah, dan Malaikat-Malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: