Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, October 18, 2011

Memakmurkan negara satu tanggungjawab


Panduan al-Quran dan al-Hadis serta syariat Islam banyak memandu kita dalam mengurus hal dunia yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT kepada manusia untuk memakmurkan dan membangunkan muka bumi ini secara komprehensif atau menyeluruh.

Usaha pemakmuran itu merangkumi tanggungjawab membangunkan masyarakat manusia yang sejahtera serta memperkuatkan tamadun manusia.

Di antara panduan-panduan al-Quran yang menyebutkan peranan yang dipertanggungjawabkan kepada manusia, seperti mana Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 61 yang bermaksud:

"Dialah ( Allah ) yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid . Sesumngguhnya tuhanku sentiasa dekat lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya"

dan Allah mentaklifkan atau mewajibkan kita supaya memakmurkan muka bumi sebagaimana Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud:

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat sesungguhnya aku hendak menjadikan seseorang khalifah di bumi."

Ayat tersebut menjelaskan, manusia sebagai pentadbir bertanggungjawab mengurus dan memakmurkan bumi Allah untuk kesejahteraan manusia sejagat meliputi aspek material, ilmu, ekonomi dan sosial. Oleh itu, sebagai umat pilihan di dunia ini kita perlu bijak mengimbangi antara dua keperluan hidup iaitu selesa di dunia dan sejahtera di akhirat.


Justeru itu, kita berperanan merancang dan melakukan sesuatu yang terbaik untuk faedah diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. Kita juga perlu membuat perubahan terhadap kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri kita.

Seperti mana yang disarankan oleh Allah SWT dalam surah ar-Ra'du ayat 11 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."

dan Allah SWT berfirman dalam surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu ) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu . ( dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah )."

Berdasarkan ayat tersebut, kita hendaklah sedar bahawa kehidupan di dunia ini adalah untuk memperolehi keredhaan Allah SWT. Kita digalakkan supaya menceburi apa saja bidang yang boleh membangun dan memberi kebaikan kepada diri manusia seperti menceburi bidang pendidikan saintifik, pengembangan industri asas tani, penyelidikan perubatan dan sebagainya yang telah dirintis dan dipelopori oleh sarjana dan pemimpin negara Islam suatu ketika dahulu. Namun demikian kita sama sekali tidak boleh mengabaikan ciri-ciri sebagai Muslim yang teguh iman, sempurna amal ibadah dan berakhlak mulia serta menjauhi sifat-sifat negatif.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Mulk ayat 15 yang bermaksud:

"Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah dimerata-rata ceruk rantau serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah dan ingatlah kepada Allah jualah ( tempat kembali kamu sesudah ) dibangkitkan semula (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)."

Al-Qur'an menjelaskan bahawa ilmu sebagai faktor yang penting membezakan seseorang individu. Hal ini jelas kerana dengan memiliki dan menguasai pelbagai bidang ilmu mampu mengangkat darjat ummah, bangsa dan negara menjadi lebih baik, mulia, dihormati dan disegani.

Sebaliknya jika umat Islam mundur dan tidak menguasainya sudah tentu seluruh umat Islam akan berdosa kerana menuntut ilmu difardhukan kepada semua orang Islam.


Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu ( untuk orang lain ) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya, supaya Allah melapangkan untuk kamu . Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman diantara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama ( dari kalangan kamu ) beberapa darjat dan ingatlah Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu kerjakan."

Walau bagaimanapun pada hari ini kita dapati sebilangan umat Islam kurang menghayati ajaran Islam bahkan ada yang mengabai nilai-nilai murni Islam dalam kehidupan malahan nilai-nilai murni ini telah diamalkan oleh bangsa lain yang menyedari ianya penting untuk kesempurnaan dan kemajuan hidup.

Fenomena ini suatu ketika dahulu pernah disebut oleh seorang ulama terkenal Sheikh Muhammad Abduh dengan katanya:

"Sesunggunhya telah pergi ke negeri barat dan aku lihat Islam padanya dan aku telah pergi ke dunia Islam dan aku lihat barat padanya."

Kata-kata ini menunjukkan betapa terhakisnya nilai amalan dan ajaran Islam di kalangan umat Islam.

Umat yang berkualiti adalah umat yang mempunyai siasah yang mantap, menepati janji, menepati waktu, berdisiplin dan sentiasa membantu serta bekerja dengan tekun untuk mencapai wawasan negara.

Hanya umat yang berkualiti dan berkemahiran serta mempunyai pegangan agama yang kukuh sahaja boleh merealisasikan wawasan negara walau bagaimanapun bagi umat yang berkemahiran tetapi rapuh nilai-nilai kerohanian tidak akan mampu membina kemajuan sebenar.

Marilah kita sama-sama menjadi umat yang berkualiti dan berguna kepada negara, di antaranya kita hendaklah:
  1. Berjuang membebaskan diri dari belenggu kemiskinan, kejahatan dan kejahilan
  2. Berusaha untuk kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan
  3. Sentiasa membina peradaban dan kemajuan
  4. Sentiasa meningkat dan mengekalkan kesejahteraan rohani dan jasmani
  5. Sentiasa mengerat dan mengekalkan hubungan silaturahim di kalangan umat Islam
  6. Sentiasa mengukuh ekonomi diri dan keluarga melalui kaedah perbelanjaan berhemah, tidak membazir dengan merancang perbelanjaan

Foto oleh Jain Mahmud

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: