Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, September 14, 2011

Fakta tentang Malaysia


1. Di manakah upacara penurunan bendera Union Jack dan penyerahan kuasa kerajaan British kepada Tanah Melayu telah dilakukan?

Jawapan: Padang Kelab Diraja Selangor (Royal Selangor Club Field)

Upacara penyerahan kuasa daripada kerajaan British kepada Tanah Melayu telah diadakan di Padang Kelab Diraja Selangor di mana Almarhum Tunku Abdul Rahman telah tiba pada pukul 11.58 malam dan menyaksikan bendera Union Jack diturunkan kemudian digantikan dengan bendera Malaya yang kini dikenali sebagai Jalur Gemilang.


2. Siapakah yang dikenali sebagai 'Bapa Kemerdekaan'?

Jawapan: Tunku Abdul Rahman

Almarhum Tunku Abdul Rahman dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan, dikenali juga sebagai Bapa Malaysia untuk sumbangan beliau yang telah membawa kepada perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu. Dalam tahun 1955, beliau telah mengetuai suatu rombongan bersama-sama Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambanthan ke London untuk merundingkan tentang kemerdekaan Tanah Melayu ataupun Malaya.


3. Berapa kalikah Tunku Abdul Rahman melaungkan perkataan 'Merdeka!' sewaktu upacara perisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka?

Jawapan: Tujuh kali

Almarhum Tunku Abdul Rahman telah membaca watikah kemerdekaan daripada kerajaan British di hadapan 20,000 orang yang berkumpul di Stadium Merdeka kemudian Almarhum Tunku Abdul Rahman melaungkan laungan 'Merdeka!' sebanyak tujuh kali sambil disaksikan oleh Duke of Gloucester yang mewakili Ratu England bersama pembesar-pembesar British dan juga tempatan.


4. Bilakah Persekutuan Tanah Melayu secara rasminya menjadi Malaysia?

Jawapan: 1963

Pada tahun 1961, Almarhum Tunku Abdul Rahman telah melahirkan ilham membentuk negara 'Malaysia' yang terdiri daripada negeri-negeri di Tanah Melayu yang pernah diperintah oleh British sewaktu zaman penjajahan. Bagaimanapun, penggabungan itu hanya dapat dibentuk pada bulan September 1963 setelah disertai oleh Sabah dan Sarawak dan secara rasminya Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya dikenali sebagai Malaysia.


5. Pada tahun berapakah Singapura keluar daripada Malaysia?

Jawapan: 1965

Pada asalnya Singapura merupakan sebahagian daripada Malaysia bagaimanapun Singapura telah keluar daripada Malaysia pada bulan Ogos 1965 setelah dua tahun Malaysia dibentuk.


6. Siapakah yang paling lama memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia?

Jawapan: Tun Dr. Mahathir Mohamad

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat pada 16 Julai 1981 dan menamatkan perkhidmatan pada 31 Oktober 2003. Dengan kerjaya politiknya hampir 40 tahun, termasuk 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ialah Perdana Menteri paling lama memegang jawatan tersebut di Malaysia. Perdana Menteri kedua paling lama memegang jawatan tersebut ialah Almarhum Tunku Abdul Rahman (13 tahun) diikuti oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi (6 tahun), Tun Abdul Razak (6 tahun) dan Tun Hussein Onn (5 tahun).


7. Bilakah Hari Malaysia disambut setiap tahun?

Jawapan: 16 September

Pembentukan Malaysia telah dirancang pada 1 Jun 1963 bagaimanapun ditangguh ke 31 Ogos untuk bersama dengan sambutan Hari Kemerdekaan keenam. Namun, disebabkan bantahan keras daripada Indonesia dan Filipina, Persekutuan Tanah Melayu yang ketika itu disertai oleh negeri-negeri Melayu, Borneo Utara (kemudian dinamakan sebagai Sabah), Sarawak dan Singapura hanya dapat dibentuk dan secara rasmi menjadi Malaysia pada 16 September 1963.


8. Lagu kebangsaan 'Negaraku' pada asalnya digunakan sebagai lagu kebangsaan negeri mana?

Jawapan: Perak

Lagu Negaraku pada asalnya adalah lagu kebangsaan negeri Perak. Negaraku telah terpilih sebagai lagu kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya selepas kemerdekaan Tanah Melayu daripada Britain pada tahun 1957. Lagu ini telah digubah semula daripada sebuah lagu Perancis yang popular berjudul 'La Rosalie' yang telah dicipta oleh Pierre Jean de Béranger.


9. Berapakah jalur yang terdapat dalam bendera kebangsaan?

Jawapan: 14

Bendera Malaya yang asal telah direka bentuk oleh seorang arkitek berumur 29 tahun bernama Mohamed Hamzah pada tahun 1947 dalam sebuah pertandingan mereka bendera kebangsaan. Bendera tersebut diubahsuai mengikut pembentukan Malaysia pada tahun 1963 dan ia terdiri daripada 14 jalur merah dan putih yang melambangkan 14 buah negeri di Malaysia.


10. Bendera kebangsaan Malaysia dikenali juga sebagai....

Jawapan: Jalur Gemilang

Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memilih nama Jalur Gemilang setelah orang awam dijemput untuk memberikan nama kepada bendera kebangsaan pada tahun 1997. Nama tersebut dipilih sebagai melambangkan 'negara maju yang menuju ke arah pertumbuhan terus-menerus dan kejayaan.'

sumber: source: news.malaysia.msn.com

No comments: