Hakikat sebenar penyalahgunaan dadah bukanlah isu baru untuk dibincangkan. Sudah lebih tiga dekad berlalu dan kerajaan bertungkus lumus untuk membasmi masalah penyalahgunaan dadah di negara ini dan ia tetap menjadi musuh nombor satu negara.
Dalam Islam, hukum mengenai penyalahgunaan dadah adalah jelas haram sebagaimana haramnya arak, judi, riba' dan lain-lain perbuatan yang perlu dijauhi.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 90-91 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semuanya kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hedaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil".
Bahaya kesan penyalahgunaan dadah adalah sangat dahsyat, begitu juga kesan ketagihan dadah. Ia boleh membawa ke tahap yang tidak terkawal sehingga penagih bertindak melakukan apa sahaja serta di luar kawalan bukan sahaja sanggup mencuri, merompak dan mencederakan seseorang malahan mereka sanggup membunuh bagi tujuan mendapat bekalan dadah.
Dalam hal ini, mengapa Islam mengharamkan penyalahgunaan dadah di antaranya:
- Menyebabkan akal fikiran menjadi rosak.
- Menyebabkan tubuh badan menjadi binasa.
- Menyebabkan institusi kekeluargaan menjadi porak peranda.
- Menyebabkan harta benda menjadi binasa.
- Menyebabkan tamadun ummah menjadi hancur dan lemah.
Jelaslah, kepada kita bahawa individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah akan menjadi lupa diri, lupa tanggungjawab, lupa keluarga, lupa agama kerana setiap saat fikirannya dipengaruhi dadah, kasih sayang dan tanggungjawab terhadap keluarga entah ke mana, meragut, mencuri, merompak menjadi rutin harian. Akhirnya institusi keluarga porak peranda dan tamadun kegemilangan ummah akan musnah.
Berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebanyak 20,092 orang penagih dadah dikesan sepanjang Januari hingga Oktober 2010 dengan 14,730 orang adalah penagih baru dan 5,562 orang penagih berulang. Daripada jumlah tersebut 15,987 orang penagih dadah yang dikesan adalah berketurunan Melayu manakala golongan belia merupakan golongan penagih yang tertinggi iaitu seramai 14,354 orang.
Seramai 17,772 orang penagih yang dikesan sepanjang Januari - Oktober 2010 adalah daripada mereka yang bekerja, penagih dari sektor buruh am mencatatkan bilangan yang tertinggi iaitu seramai 5,364 orang, diikuti dengan sektor pertanian/perikanan sebanyak 2,167 orang manakala penagih yang tidak bekerja iaitu golongan penganggur mencatatkan bilangan seramai 2,280 orang. Untuk maklumat lanjut tentang statistik penagih dadah di Malaysia anda boleh klik sini.
Daripada data tersebut kita harus sedar bahawa golongan belia yang berketurunan Melayu dan pastinya beragama Islam memegang rekod yang tertinggi. Inilah yang amat menyedihkan kerana sepatutnya mereka menjadi harapan dan aset negara di masa hadapan tetapi menjadi sebaliknya, bahkan mereka menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Marilah sama-sama berganding bahu, bekerjasama dalam menangani isu penyalahgunaan dadah. Terutama soal pendidikan hendaklah bermula dari rumah, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mendidik anak-anak, mengambil tahu pergaulan dan aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak di luar rumah. Kebebasan yang diberikan perlu ada batas sempadan terutama soal keagamaan dan pergaulan seharian perlu dititik beratkan.
Firman Allah SWT di dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".
Selain daripada penekanan terhadap mendidik anak sendiri, kita juga hendaklah mengambil tahu mengenai anak-anak jiran tetangga dan masyarakat di sekitar kawasan tempat tinggal kita agar mereka bebas dari terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Berikut adalah tanda-tanda yang dikenalpasti apabila seseorang telah terlibat dengan penyalahgunaan dadah di antaranya:
- Selalu ponteng sekolah, tidak hadir bekerja, mutu kerja menurun, hasil kerja merosot, kebersihan dan kesihatan diri tidak terurus.
- Tidak bermaya, selalu menguap, mengantuk, mudah marah, meradang tanpa sebab dan sembunyi-sembunyi bila melakukan sesuatu perkara.
- Lari dari tanggungjawab sehingga keluarga terbiar.
- Suka menjauhkan diri dari keluarga dan kawan rapat serta meninggalkan kegemaran sebelumnya.
- Selalu mengasingkan diri dari kelompok masyarakat dan suka bersendirian.
- Meminta wang berlebihan dan mengambil wang tanpa izin.
- Hilang selera makan.
Jika diteliti tanda-tanda tersebut, maka perhatian dan tindakan sewajarnya perlu diambil segera sebelum ianya merebak ke tahap yang lebih kritikal. Agensi Antidadah Kebangsaan sebagai agensi utama yang berperanan untuk menangani penyalahgunaan dadah sentiasa bersedia untuk membantu jika diperlukan. Selain itu, kita mesti yakin bahawa setiap penyakit itu pasti ada ubatnya.
Sabda Rasulullah SAW:
"Dari Jabir RA daripada Rasulullah SAW Baginda bersabda: Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya, maka apabila ubat serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah Azza Wajalla". (Hadis Riwayat Muslim).
Di samping aspek pencegahan kita juga hendaklah memberi tumpuan kepada aspek rawatan dam bimbingan yang berterusan kepada penagih. Di antara bantuan yang boleh diberikan adalah seperti berikut:
- Mengadakan program bimbingan keagamaan dan sesi kaunseling secara individu dan berkumpulan.
- Penglibatan bekas penagih dalam aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, pengurusan jenazah, pengimarahan masjid dan aktiviti-aktiviti yang membolehkan mereka berinteraksi dengan masyarakat.
- Membantu bekas penagih mendapatkan rawatan yang sesuai serta membantu mendapatkan pekerjaan yang sesuai untuk membina kehidupan baru.
- Saling menasihati mereka agar berusaha kembali ke jalan yang diredhai Allah dengan sentiasa melakukan perkara-perkara yang diperintah dan dijauhi perkara-perkara yang dilarang agama.
Sebagai masyarakat, kita hendaklah sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada bekas-bekas penagih untuk memulakan penghidupan baru, bukannya dengan tindakan mencemuh dan memulau mereka. Pandangan negatif yang diberikan kepada bekas-bekas penagih perlu diubah kepada yang positif bahawa mereka adalah insan yang terlanjur dan diuji oleh Allah SWT.
Oleh itu, mereka perlu diberi peluang untuk membaiki kelemahan diri. Sokongan dan bimbingan amat diperlukan oleh mereka, jika ditanya kepada penagih-penagih dadah atau bekas penagih tidak ada seorang pun dari mereka mengatakan bahawa mereka hidup sihat dan tenang di bawah pengaruh dadah, mereka menyesal dan mengakui hidup mereka hancur setelah terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Insya Allah, perkara seumpama ini dapat dielak dari berlaku seandainya kita menghargai diri kita dan mensyukuri dengan nikmat kehidupan ini.
Hayati dan renungi firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 135 yang bermaksud:
"Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohan ampun akan dosa mereka, dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)".
sumber: e-khutbah JAKIM, www.adk.gov.my
No comments:
Post a Comment