Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, May 11, 2011

Lenggong 2

Pemandangan di dalam Gua Gunung Runtuh (imej dari www.asiaexplorers.com)

Daerah kecil Lenggong terbentang dari utara, iaitu dari Kenering yang terletak 25 kilometer dari pekan Lenggong, sehingga ke Pulau Kemiri di selatan, yang juga terletak kira-kira 25 kilometer dari pekan Lenggong. Jarak sejauh 50 kilometer itu adalah mengikut jalan raya yang bengkang bengkok.

Lenggong juga dikelilingi oleh banjaran gunung yang indah pemandangannya. Sesekali kita dapat melihat kabus tebal menutup puncak banjarannya. Jika menaiki kereta dari Kuala Kangsar, satu-satunya jalan raya dari bahagian selatan, akan kelihatan Banjaran Gunung Bintang di sebelah kiri jalan.

Gunung Bintang merupakan puncak tertinggi di banjaran tersebut. Tinggi puncak gunung tersebut melebihi 1,860 meter. Di sebelah kanan, terdapat pula Banjaran Gunung Titiwangsa yang agak jauh ke timur letaknya. Dari banjaran ini mengalir Sungai Perak.

Kerana dilingkungi oleh banjaran gunung itulah daerah kecil ini dinamakan 'Lenggong', yang berasal daripada perkataan 'lengkung'. Lengkung bermakna kawasan yang dilingkungi banjaran gunung. Akhirnya perkataan itu disebut 'Lenggong' oleh orang luar, terutamanya orang Siam yang datang dari utara.

Terdapat juga cerita lisan yang menyatakan perkataan 'Lenggong' disebut oleh orang putih yang masuk ke daerah Lenggong pada zaman awal penjajahan Inggeris di Perak. Orang putih sukar menyebut 'lengkung'.

Kerana pelat, orang putih menyebut 'lengkung' sebagai 'Lenggong'. Inilah cerita tentang asal usul 'Lenggong'.

Ada satu cerita lain pula, kononnya terdapat kayu yang terselit di celah batang sebuah pokok besar.

Kedudukan batang kayu yang terpanggung itulah bermulanya perkataan 'lengkung', kemudian disebut 'Lenggong'. Sebagai mengingati perkara itu, satu replika kedudukan kayu itu dibuat di Taman Rekreasi Kg. Raban dekat Lenggong.

Di daerah kecil Lenggong ini terdapat ratusan kampung Melayu tradisional. Ada kampung yang terletak di sepanjang tebing Sungai Perak. Ada pula di sepanjang jalan raya, bermula dari Kampung Pulau Kemiri di selatan hinggalah ke Kampung Sumputan di sebelah utara.

Beberapa buah kampung yang terletak di sepanjang tebing Sungai Perak, seperti Kampung Bukit Sapi, Chepor, Kampung Beng, Kampung Luat dan Kampung Temelong.

Di sepanjang jalan raya, beberapa kampung yang mempunyai ramai penduduk ialah Kampung Chain, Kampung Kota Tampan, Kampung Changkat Berangan, Kampung Banggul Belimbing, Kampung Gelok, Kampung Sekolah Lama (atau disebut juga Kampung Masjid Lama), Kampung Kubang Jambu, Kampung Senerelai, Kampung Sira, Kampung Telok Batu, Kampung Labit, Kampung Kota, Kampung Bukit Nangka, Kampung Lohor, Kampung Tasik, Kampung Hulu Lenggong, Kampung Hulu Jepai, Kampung Sumpitan dan kampung-kampung lain.

Kampung Masjid mempunyai sejarah yang tersendiri. Di kampung inilah masjid pertama di daerah kecil Lenggong didirikan. Dikatakan masjid itu didirikan pada pertengahan abad ke-19 oleh sekumpulan orang Melayu dari Patani, di Selatan Thailand. Mereka datang ke kampung ini kerana berundur daripada serangan kerajaan Siam.

Kampung Masjid juga dikenali Kampung Sekolah, kerana di kampung inilah juga sekolah Melayu pertama didirikan, iaitu pada tahun 1880.

Ketika Inggeris mula-mula menjajah Perak, Kampung Masjid menjadi pusat pentadbiran daerah kecil Lenggong. Sebab itulah Kampung Masjid Lama Lenggong dipilih bagi didirikan Sekolah Melayu pertama dan masjid pertama. Di kampung ini juga didirikan rumah kadi daerah Lenggong. Kadi Lenggong pada zaman Inggeris, Haji Hashim, pernah tinggal di rumah kadi yang terletak berhadapan Sekolah Melayu Lenggong. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Sufian Hashim, anak Haji Hashim, pernah tinggal di rumah tersebut semasa kecil.

Terdapat dua gunung kecil, iaitu gunung Tasik dan Gunung Gajah. Tidak jauh dari kedua-dua gunung itu, terdapat pula banjaran gunung yang bersambung dengan Banjaran Gunung Bintang.

Tidak jauh dari Gua Tasik, terdapat pula gua Gunung Runtuh. Padanya terdapat dinding batu yang sentiasa retak dan runtuh, lalu orang kampung menamakannya sebagai 'Gunung Runtuh'. Rangka Perak Man telah ditemui di sini oleh ahli arkeologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1991.

Agak jauh sedikit dari Gunung Tasik dan Gunung Gajah, ada beberapa buah gua yang bersejarah. Ahli-ahli sejarah dan kaji purba amat tertarik dengan Gua Gendang, Gua Badak, Gua Puteri, Gua Kajang, Gua harimau, Gua Ular, Gua Tukang dan puluhan gua lagi.

sumber asal: Artikel Lenggong Bandar Kecil Bersejarah tulisan N.A Halim, Utusan Malaysia 1 April 1998

No comments: