Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, May 24, 2011

Akidah benteng kekuatan ummah


Berdasarkan Rukun Islam yang pertama umat Islam wajib melafazkan perakuan keimanan mereka kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW secara tepat dan betul. Lafaz Lailahailallah dan Muhammadur Rasulullah menunjukkan bahawa Allah SWT adalah tuhan dan Nabi Muhammad SAW adalah Nabi kita. Penggunaan lafaz Lailahailallah adalah suatu bentuk perakuan kewujudan tuhan yang dinamakan Allah dan menafikan tuhan-tuhan selain-Nya.

Dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW, dasar utama perjuangan Baginda adalah menguatkan akidah yang mengambil masa selama 13 tahun di Mekah. Perjuangan menegakkan akidah yang berasaskan tiada tuhan melainkan Allah ini bukan perkara mudah. Baginda terpaksa menjelaskan kepada masyarakat Musyrikin tentang konsep Tuhan Yang Maha Esa itu. Persoalan besar timbul di sini ialah siapakah Tuhan Yang Maha Esa itu?

Firman Allah SWT dalam surah al-Ikhlas ayat 1 - 4 yang bermaksud:

"Katakanlah wahai Muhammad, tuhanku ialah Allah Yang maha Esa, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, ia tidak beranak, dan ia pula tidak diperanakkan, dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya".

Berdasarkan penjelasan surah al-Ikhlas ini maka mimbar ingin mengulangi sebagai orang Islam kita mesti yakin bahawa Allah mempunyai sifat-sifat Yang Maha Esa. Allah tidak beranak dan tidak pula diperanakkan serta tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya. Oleh itu, umat Islam wajib menolak segala bentuk atau konsep Tuhan yang lain daripada Allah SWT. Ini merupakan syarat mutlak sahnya kepercayaan kita terhadap wujudnya Tuhan dalam Islam.

Namun sejarah membuktikan bahawa manusia pada asalnya mentauhidkan Allah SWT tetapi terdapat di kalangan manusia telah terpesong menjadi sesat kerana terpengaruh da'yah yang sentiasa dibayangi musuh Allah yakni syaitan dan hawa nafsu bahkan mereka mencipta pula pelbagai ajaran sehinggalah muncul agama yang pelbagai.

Mereka terpesong sehingga menukar sifat Allah Yang Maha Esa itu sesuka hati mereka seperti mewujudkan tuhan yang pelbagai jantina, pokok besar sebagai tuhan, tuhan boleh makan dan minum dan manusia juga boleh menjadi tuhan. Malah mereka menyempitkan bidang kuasa tuhan itu. Berdasarkan identiti tuhan boleh bertukar ganti, maka konsep Allah Yang Maha Esa inilah yang membezakan akidah Islam dengan agama yang lain.

Ajaran Nabi dan Rasul misalnya sejak Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa a.s. dan Nabi Muhammad SAW telah berusaha meluruskan akidah manusia agar berterusan menyembah Allah Yang Maha Esa. Islam melalui pesuruh-Nya Nabi Muhammad SAW hadir untuk meluruskan kembali kesesatan agar kembali mengesakan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa' ayat 171 yang bermaksud:

"Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya al-Masih Isa ibni Maryam itu hanya Pesuruh Allah, dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam, dan roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya, dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah, supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya)".

Diakui bahawa terdapat kalimah Allah di dalam kitab suci yang diterjemah ke bahasa Arab. Kalimah ini wujud kerana sesetengah penganut samawi termasuk Kristian Arab seperti di Lubnan, Mesir dan lain-lain yang muncul sebelum kedatangan Islam meyakini konsep keesaan Allah. Ia berbeza sama sekali dengan konsep tiga dalam satu (iaitu tiga tuhan dalam satu) seperti mana pegangan doktrin kebanyakan penganut pada hari ini.

Kita perlu melihat apa yang berlaku di sebalik penggunaan lafaz Allah yang diperjuangkan oleh pihak tertentu. Jika kita melihat dengan teliti isu ini ternyata terdapat perkaitan kuat dengan isu pluralisme iaitu konsep perjuangan semua agama adalah sama. Malah segelintir umat Islam menyokong perjuangan ini yang menubuhkan fahaman Islam Liberal. Para penda'yah Islam Liberal berusaha kuat untuk memperlekehkan dan melonggarkan nama-nama khas Islam atau istilah-istilah yang menjadi tunjang kekuatan Islam agar akidah umat Islam mudah goyah dan rapuh.

Selain itu, dalam usaha mengelirukan umat Islam, musuh-musuh Islam telah menterjemahkan Kitab Bible sebagai Al-Kitab, al-Quran diterjemahkan sebagai Bacaan dan mencipta Quran baru Furqaanul Haq yang diterbitkan di Amerika Syarikat. Semuanya ini adalah agenda penda'yah-penda'yah dalam usaha mengelirukan dan melupuskan akidah umat Islam di dunia.

Islam adalah agama suci yang mempunyai standard piawaian hukum-hakam atau peraturan tertentu dalam menjaga kesucian nama Allah dan kitab suci al-Quran. Orang-orang Islam sendiri pun tertakluk kepada standard piawaian penjagaan kesucian nama Allah dan al-Quran. Kita amat bimbang pihak lain menyalahgunakan kalimah suci itu. Kita pernah mendengar dan membaca laporan media cetak dan media elektronik bagaimana pihak-pihak tertentu memijak-mijak al-Quran, helaian al-Quran dimasukkan dalam lubang tandas, helaian al-Quran menjadi kertas pembungkus dan nama-nama Allah ditulis di alas-alas selipar dan kasut serta dipijak-pijak.

Amat dibimbangi sekiranya pihak-pihak terlibat menyalahgunakan penggunaan lafaz Allah dan mengambil kesempatan menghina agama lain, maka dikhuatiri akan menimbulkan pertikaian agama dan mengancam keselamatan negara. Bagi mengekalkan suasana aman dan kehidupan harmoni yang telah wujud di negara ini, maka umat Islam dan rakyat di negara ini hendaklah mengelak daripada menimbulkan isu-isu sensitif dan kemarahan sesuatu agama dan kaum. Apatah lagi, penggunaan lafaz Allah telah digunakan beratus-ratus tahun oleh masyarakat Islam yang menjadi akar umbi di negara ini.

Dalam usaha memartabatkan Islam di negara ini, umat Islam hendaklah berpendirian selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-82 yang telah bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008. Kandungan keputusan itu yang berbunyi:

"Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unusr-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan".

Umat Islam harus sedar bahawa cabaran yang dihadapi bukan sahaja penggunaan lafaz Allah, mungkin selepas ini akan timbul banyak lagi cabaran yang berniat menggugat akidah, maka umat Islam diseru agar mendalami dan memperkuatkan akidah dalam keluarga sendiri agar dapat mengenalpasti siapakah Allah dan sifat-sifat sebenar Allah Yang Maha Esa. Oleh itu para penegak Islam dan ibu bapa perlu lebih peka, lebih prihatin dan lebih berusaha menanamkan ilmu tauhid dan akidah kepada anak-anak dan masyarakat Islam agar tidak terjebak dengan da'yah sesat dalam pemahaman tentang Allah SWT.

Kesimpulannya, akidah menjadi benteng kekuatan ummah. Untuk mengelakkan daripada akidah kita terpesong atau sesat beberapa perkara perlu diberi penekanan iaitu:
  1. Kalimah tauhid atau kalimah syahadah adalah ikrar pengesaan Tuhan Yang Maha Esa, tidak memadai dengan hanya menyatakan perakuan tetapi kita mesti membuktikan perbuatan dengan tindak tanduk seharian selari dengan hukum Allah.  Kita akan marah apabila pihak lain menghina Islam tetapi terdapat di kalangan kita yang tidak beramal dengan akidah dan syariat Islam.
  2. Kalimah syahadah yang dijadikan asas akidah adalah kalimah paling selamat untuk mengelakkan dan memelihara kita dari terlibat dengan syirik.
  3. al-Quran dan as-Sunnah dijadikan bahan rujukan mutlak untuk mengetahui dan memahami akan sifat-sifat Allah kerana maklumat-maklumatnya yang lebih lengkap, lebih konsisten dalam mempertahankan ciri-ciri kesejagatan Allah itu.
  4. Mempertahankan konsep ketuhanan bermaksud mempertahankan pengertian mengesakan Allah yang sebenar oleh mereka yang mengaku beriman kepada Allah SWT.

"Katakanlah: Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatupun; dan jangan sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain dari Allah. Kemudian jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah bahawa kami adalah orang Islam". - Surah Ali Imran ayat 64.

Sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: