Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, April 28, 2011

Permainan laga buah keras

Pahlawan negeri Pahang, Mat Kilau merupakan tukang hencang yang handal untuk permainan laga buah keras.

Permainan laga buah keras dibawa oleh seorang bangsawan Bugis dari daerah Makasar bernama Tok Tuan pada tahun 1720.

Tok Tuan membuka sebuah perkampungan di sebuah tempat yang bernama Makasar di daerah Pekan.

Permainan itu dikatakan popular di negeri Pahang sewaktu pemerintahan Sultan Ahmad (1882-1914), Sultan Mahmud (1914-1917) dan zaman Sultan Abdullah (1917-1932).

Permainan laga buah keras dimainkan sempena menyambut kedatangan pembesar negeri yang berangkat melawat ke kawasan kampung.

Alat yang digunakan untuk bermain permainan itu ialah buah keras, alat pengapitnya dan pengalas atau pelapiknya.

Buah keras betina dan buah gandung (berbentuk telur ayam) merupakan pilihan utama untuk digunakan dalam permainan laga buah keras.

Untuk menjadikan buah keras itu kuat pelbagai cara boleh digunakan antaranya merendam buah keras di dalam air asam gelugur, menggoreng buah tersebut sehingga kekuningan kemudian disapu dengan gula kabung.

Pengapit buah keras diperbuat daripada kayu-kayan yang kuat dan teguh daripada jenis sena, merawah dan meranti.

Pada bahagian yang akan diletakkan buah keras, ia disalutkan dengan tembaga.

Pengalas atau pelapik buah keras diperbuat daripada ijuk (jerami) dan sabut. Fungsi pengalas ini adalah untuk mengimbang buah keras tersebut dan mengelak daripada berlaku pergeseran sewaktu berlaga.

Peserta permainan terdiri daripada dua pasukan yang diwakili oleh dua orang penghencang daripada pasukan masing-masing.

Menghencang atau bermaksud menghentak dengan kaki adalah peringkat yang terakhir ataupun klimaks dalam permainan ini.

Kedua-dua orang penghencang itu akan cuba menghencang buah keras sehingga pecah.

Kemenangan akan berpihak pada pasukan di mana buah keras yang tidak dapat dipecahkan.

sumber: Utusan Malaysia

No comments: