Beting Beras Basah (imej dari www.cikgusejarah.com)
Beting Beras Basah begitu sinonim dengan Bagan Datoh, namun tidak ramai yang mengetahui sejarah dan misteri tempat yang dikatakan sebagai 'Kerajaan Jin Islam' itu.
Terletak di Kampung Sungai Ular, kira-kira 7 kilometer dari pekan Bagan Datoh, Beting Beras Basah ini telah menyimpan pelbagai sejarah misteri khususnya tentang sejarah Kesultanan Melayu di Perak.
Beting Beras Basah merupakan salah satu tempat yang perlu dijejakkan kaki oleh Sultan Perak yang hendak ditabalkan disebabkan ia mempunyai sejarah tersendiri.
Uniknya Beting Beras Basah ini, apabila air laut surut ia akan kelihatan seolah-olah sebuah pulau pasir yang dikelilingi air timbul.
Menurut seorang penduduk, Abdullah Jantan, 60, Beting Beras Basah ini terbentuk berdasarkan satu peristiwa di mana salah seorang Sultan Perak terawal sedang melalui kawasan itu untuk ke Melaka terpaksa menghadapi ribut taufan yang amat dahsyat.
Peristiwa itu hampir menyebabkan kapal yang dinaiki Tuanku Sultan karam dan kemudiannya Baginda terdengar laungan misteri yang meminta Tuanku mencampakkan segala barang-barang yang ada di atas kapal supaya mereka selamat.
Tuanku Sultan yang tidak mempunyai pilihan lain menuruti permintaan itu dan akhirnya perjalanan mereka selamat dan segala ribut taufan yang melanda berhenti.
Abdullah berkata, tidak lama selepas itu, Tuanku berhasrat untuk kembali semula ke tempat Baginda mencampakkan barang-barangnya itu kerana ingin mengambil semula barang-barang berkenaan.
Baginda kemudiannya meminta nasihat Pawang Istana untuk mendapatkan barang-barang berkenaan dan Baginda akhirnya ke tempat berkenaan untuk tujuan itu.
Bagi menimbul barang-barang yang telah tenggelam di dasar laut itu, Pawang Istana telah menyediakan tiga beras berlainan warna iaitu warna putih, kuning dan hitam seperti mana warna yang ada pada bendera negeri Perak sekarang.
Beras yang dinamakan 'Beras Basuh' itu kemudian ditabur di sekeliling kapal Baginda, maka sejurus selepas itu satu beting pasir kelihatan timbul dengan barang-barang milik Baginda.
Beting Beras Basuh nama asal tempat itu kemudiannya ditukarkan menjadi Beting Beras Basah oleh Sultan Perak ketika itu memandangkan nama berkenaan lebih baik.
Beting Beras Basah merupakan tempat yang paling penting setiap kali pertabalan Sultan Perak dan tradisi itu masih kekal hingga ke hari ini bagi mengenang peristiwa bersejarah Kesultanan Melayu Perak.
Bagan Datoh cukup istimewa dalam sejarah pertabalan Sultan Perak memandangkan peristiwa Beting Beras Basah berlaku di kawasan itu dan kini tempat berkenaan dijadikan salah satu tempat tarikan pelancong.
Bagi mereka yang mengikuti program Inap Desa atau Homestay Bagan Datoh, tidak sah kiranya jika mereka tidak melawat tempat yang cukup bersejarah itu.
Jika masa lawatan sesuai, mereka pasti dapat melihat beting itu timbul seolah-olah pulau dan ianya begitu mengagumkan dan sukar ditemui di tempat lain di negeri ini.
Beting Beras Basah itu akan kelihatan timbul sewaktu air pasang besar surut memandang dalam tempoh itu, air laut benar-benar surut sepenuhnya dan kawasan dataran pasir itu akan jelas kelihatan.
Dicuplik dari akhbar Sinar Harian.
No comments:
Post a Comment