Ibu bapa perlu memperuntukkan masa yang tetap untuk membaca bersama keluarga umpamanya pada cuti hujung minggu. Peruntukan masa ini amat perlu untuk membolehkan ahli keluarga berkumpul bagi menyertai aktiviti membaca bersama dengan membaca bahan bacaan yang digemari sama ada buku, majalah, novel, kitab agama atau lain-lain bahan bacaan. Waktu membaca bersama ini boleh dimanfaatkan oleh ahli keluarga untuk berkongsi bahan bacaan di samping mendalami ilmu pengetahuan. Ibu bapa boleh berkongsi maklumat daripada bahan yang dibaca kepada anak-anak dan anak-anak pula boleh berkongsi bahan bacaan yang dibaca sesama ahli keluarga. Bagi menggalakkan suasana pembacaan, wujudkan ruang membaca yang selesa dan terang.
Jadikan sesi bercerita sebagai amalan sekeluarga
Ahli keluarga perlu terlibat sama dalam sesi bercerita bersama keluarga. Adakan sesi bercerita mengikut giliran dan jadikan sesi ini sebagai rutin dalam kehidupan seharian. Cerita boleh terdiri daripada cerita-cerita rakyat, cerita binatang, cerita agama dan cerita-cerita yang boleh memberikan pengajaran dan panduan yang berguna dalam kehidupan. Aktiviti ini akan menjadi lebih menarik sekiranya ibu bapa dapat memberikan cenderamata kepada anak-anak sebagai dorongan kepada mereka untuk melibatkan diri dalam aktiviti bercerita. Ibu bapa juga perlu meluangkan sedikit masa untuk membaca kepada anak-anak. Peruntukkan masa sekurang-kurangnya 15 minit ketika waktu lapang atau sebelum anak-anak tidur untuk membacakan cerita kepada mereka.
Wujudkan sudut bacaan di rumah
Amalan membaca sekeluarga amat berkesan dipraktikkan sekiranya diwujudkan sudut bacaan di rumah. Kumpulkan bahan-bahan bacaan keluarga dan tempatkan di sudut yang santai dan tenang. Lazimnya kebanyakan keluarga telah mempunyai bahan bacaan sendiri yang dibeli dari kedai buku atau pesta buku serta hadiah dari saudara mara atau kenalan. Bahan-bahan ini jika dikumpulkan dan disusun dengan sempurna bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh seluruh ahli keluarga, malah saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai.
Bawa buku ke mana-mana
Amalkan membawa dan membaca buku bersama keluarga ketika berkelah, melancong, balik kampung atau ketika bercuti. Membaca merupakan cara terbaik untuk menghabiskan masa ketika dalam perjalanan sama ada semasa menaiki kereta, bas, kereta api, feri atau kapal terbang. Bacalah buku, majalah, novel, suratkhabar atau apa sahaja bahan bacaan yang sesuai. Isikan masa santai dengan membaca bersama ahli keluarga ketika berada di tepi pantai, tempat-tempat peranginan, perkelahan atau ketika berehat di hotel penginapan. Amalkan membaca tanpa mengira masa dan tempat.
Kunjungi perpustakaan, kedai buku dan pesta buku
Jadikan aktiviti mengunjungi perpustakaan, kedai buku dan pesta buku sebagai salah satu aktiviti utama keluarga. Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mendaftar sebagai ahli di perpustakaan desa, sekolah, cawangan, Perpustakaan Awam Negeri atau lain-lain perpustakaan untuk membolehkan anggota keluarga meminjam buku. Ketika mengunjungi kompleks membeli-belah, bawalah anak-anak mengunjungi kedai buku dan bantu mereka dalam membuat pemilihan bahan bacaan. Cara ini dapat melatih ahli keluarga untuk memilih bahan bacaan yang digemari dan mengikut kesesuaian. Kunjungi juga pesta buku yang diadakan di tempat tinggal yang berdekatan bagi memupuk minat ahli keluarga kepada bahan bacaan dan seterusnya menggalakkan membaca.
Hadiahkan buku atau bahan bacaan sempena hari-hari istimewa
Keluarga perlu mengubah pemberian hadiah sempena hari jadi, hari ulang tahun perkahwinan, hari ibu atau hari bapa daripada berbentuk cenderamata kepada buku atau bahan bacaan bukan buku. Sekarang ini terdapat banyak buku dan bahan audio visual pembacaan di pasaran yang dihasilkan oleh penerbit-penerbit ternama. Banyak novel dan bahan ilmiah yang diterbitkan dalam bentuk cakera padat dan cakera video digital yang boleh dibaca, didengar dan ditonton serta boleh dikongsi bersama oleh ahli keluarga. Bahan-bahan bacaan ini boleh menyuburkan minat membaca ahli keluarga.
Ibu bapa sebagai individu contoh mengamalkan membaca kepada anak-anak
Ibu bapa adalah contoh terbaik kepada anak-anak untuk mewujudkan budaya gemar membaca di kalangan ahli keluarga. Ibu bapa perlu terlebih dahulu mengamalkan membaca bagi membentuk sikap positif anak-anak kepada tabiat membaca terutamanya membaca bahan bacaan yang berkualiti dan bermaklumat. Sikap positif ini akan melahirkan ahli keluarga yang menghargai buku dan ilmu serta memastikan membaca untuk kemajuan diri dan keluarga.
Minat membaca di kalangan keluarga boleh dipupuk dengan mengadakan aktiviti-aktivti berkaitan pembacaan dengan aktiviti sampingan bersama. Aktiviti yang ada kaitan dengan pembacaan ialah kuiz keluarga, teka silangkata, teka kata, bina perkataan, kraftangan mudah dan permainan yang menguji minda seperti dam, catur dan sahibba (scrabble). Adakan juga aktiviti permainan tradisional dan berbentuk pembelajaran seperti congkak dan batu seremban. Aktiviti ini akan menguji kemahiran, keupayaan berfikir dan pengetahuan daripada pembacaan meliputi perbendaharaan kata, bahasa, matematik dan pengetahuan am.
Sumber: Utusan Pengguna
No comments:
Post a Comment