Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, May 29, 2009

Gasing

Gasing adalah sejenis permainan tradisional yang popular suatu ketika dahulu. Kepenatan membanting tulang dalam mencari rezeki menyebabkan orang Melayu dahulu mencari alternatif untuk bergembira tanpa mengeluarkan belanja yang besar dan menggunakan bahan terbuang. Ini telah menimbulkan idea kepada masyarakat Melayu untuk mencipta permainan gasing yang diperbuat daripada saki baki kayu yang terbuang.

Pelbagai faedah boleh didapati daripada permainan gasing ini. Selain dijadikan sebagai hiburan dan juga memanfaatkan bahan terbuang, permainan gasing juga dapat mengembangkan idea-idea masyarakat Melayu, dan ini terbukti dengan kemunculan pelbagai bentuk gasing serta teknik permainan.

Sumber: Sinar Harian

Galeri Sultan Azlan Shah

Galeri Sultan Azlan Shah (imej dari tanah.perak.gov.my)

Galeri Sultan Azlan Shah adalah sebuah galeri yang indah dan menarik seni binanya. Hasil cetusan pemikiran Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbudin Shah ia dizahirkan untuk tatapan umum sebagai pengetahuan kepada laluan perjalanan hidup Baginda yang sentiasa dikasihi rakyat. Ia terletak lebih kurang satu kilometer dari bandar Kuala Kangsar dan berkedudukan antara pusat bandar dan Masjid Ubudiah Bukit Chandan.

Galeri ini bukan sahaja dapat berfungsi sebagai sumber rujukan, malah membolehkan rakyat mengenali secara lebih mendalam seorang raja yang berdaulat lagi dikasihi, hatta hingga ke peringkat dapat meningkatkan fahaman dan apresiasi rakyat terhadap Institusi Raja Berperlembagaan.

Selain itu, cerita kejayaan baginda akan dapat dijadikan contoh teladan, menghidupkan inspirasi kepada rakyat keseluruhannya, seorang Sultan yang agung itu, perlu memiliki sifat murni lagi mulia.

Resort Sungai Perak pula beroperasi pada 4 April 2000 dengan pengurusan sepenuhnya oleh Majlis Daerah Kuala Kangsar ketika itu.

Kewujudan Resort Sungai Perak ini bertujuan menyediakan kemudahan penginapan kepada pelancong yang mengunjungi Bandar DiRaja Kuala Kangsar.

Dengan kedudukan yang strategik di persisiran Sungai Perak dan berhampiran Jambatan Sultan Abdul Jalil ia akan dapat menarik minat pengunjung.

Sumber: Sinar Harian

Kampung Jeram Mengkuang

Kampung Jeram Mengkuang terletak kira-kira lapan kilometer dari pekan Bidor. Pola penempatan kawasan ini adalah sejajar dengan sempadan jalan raya. Kampung ini mempunyai tiga buah kampung iaitu Kampung Batu 4, Kampung Batu 5 dan Kampung Batu 6.

Kampung Batu 4 dan Kampung Batu 5 digabungkan menjadi satu kampung dan diketuai seorang ketua kampung manakala Kampung Batu 6 tidak digabungkan dan turut mempunyai seorang ketua kampung.

Pada tahun 1968 kampung ini dikenali sebagai Kampung Kenangan. Pada masa dahulu, Kampung Jeram Mengkuang adalah kawasan perlombongan bijih timah dan mempunyai empat buah kapal korek.

Oleh itu, kawasan ini dikenali sebagai Bidor Malayan Tin.

Pada zaman kegemilangannya, kampung ini mempunyai dua buah kampung baru iaitu Kampung Rahmat dan Kampung Pasir.

Penduduk Kampung Rahmat terdiri daripada pekerja-pekerja lombong yang bekerja di Sungkai. Sebahagian penduduk di kampung ini berpindah ke FELCRA untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan yang lebih terjamin disebabkan aktiviti perlombongan bijih timah yang semakin berkurang.

Kampung Jeram Mengkuang juga dijadikan sebagai kawasan kumbahan sisa buangan.

Jeram Mengkuang pula adalah sebuah pekan berdekatan bandar Bidor.

Pada tahun 1960 hingga 1970 banyak aktiviti perlombongan bijih timah menggunakan kapal korek di kawasan ini.

Sebatang jalan raya merentasi Jeram Mengkuang dari Bidor ke Teluk Intan.

Sungai Bidor mengalir melalui bandar Bidor, Jeram Mengkuang dan terus ke Sungai Perak, bertemu di Teluk Intan.

Sumber: Sinar Harian

Air Terjun Batu Berangkai

Air Terjun Batu Berangkai (imej dari pdtkampar.perak.gov.my)

Air Terjun Batu Berangkai merupakan salah satu destinasi pelancongan Malaysia yang paling indah. Letaknya lebih kurang 2.5 kilometer dari bandar Kampar. Dari jalan sebelah tepi Masjid Al-Nur Kampar, anda akan melalui skim Perumahan Taman Ros dan menikmati suasana perkampungan Melayu tradisional dan perkampungan Orang Asli sebelum sampai ke destinasi ini.

Pengunjung dapat menghayati keindahan alam semulajadi, di samping bermandi-manda, berkelah dan berkhemah sekeluarga di situ. Waktu senja adalah masa yang cantik sekali semasa sang suria mengundur diri. Bagi pengunjung yang sukakan cabaran, anda boleh mendaki Gunung Relau dari Air Terjun ini melalui trek tanah yang bersih. Anda akan sampai ke kemuncaknya setinggi 4,075 kaki, di samping menikmati keindahan flora dan fauna semula jadi.

Perjalanan ini akan mengambil masa empat hingga lima jam.

Sumber: Sinar Harian

Gunung Peninjau

Gunung Peninjau dan Gunung Pari dilihat dari tol Jelapang. (imej dari www.ogkl.com.my)

Gunung Peninjau bukan asing bagi masyarakat Ulu Chepor, Chemor dan dikenali Gunung Kecil oleh generasi lama kerana mungkin keadaan gunung ini tidak sebesar gunung di Banjaran Titiwangsa yang kelas kelihatan dari Ulu Chepor.

Gunung Peninjau berada dalam Hutan Simpan Keladang Saiong dan menjadi sebahagian daripada Banjaran Keledang. Hutan sekunder atau hutan yang tumbuh selepas aktiviti pembalakan itu kini telah kembali ditutupi pokok-pokok hutan sehinggakan kebanyakan lantai hutan tidak ditumbuhi tumbuhan renek.

Walaupun muka bumi bekas jalan pembalakan balak masih boleh kelihatan, pendaki yang melakukan pendakian tidak akan terasa bahawa mereka berjalan di jalan yang pernah digunakan untuk pembalakan balak dahulu.

Sebahagian hutan di sepanjang Gunung Peninjau tidak akan menjadi kawasan pembalakan lagi.

Sumber: Sinar Harian

Thursday, May 28, 2009

Sekolah Wawasan

Sekolah Wawasan adalah sekolah rendah yang berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama. Di bawah konsep ini, dua atau tiga sekolah rendah berlainan aliran akan ditempatkan dalam kawasan yang sama. Setiap sekolah akan mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung antara satu sama lain dengan menggunakan jambatan penghubung (link-way). Sekolah ini diwujudkan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan murid-murid. Terdapat lima Kompleks Sekolah Wawasan iaitu:
  1. Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak.
  2. Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar, Kedah.
  3. Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang.
  4. Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor.
  5. Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, Perak.
Sumber: Sinar Harian

Muzium DiRaja Kuala Kangsar

Muzium DiRaja Kuala Kangsar (dahulunya dikenali dengan nama seperti Istana Kenangan, Istana Lembah atau Istana Tepas) didirikan pada tahun 1926 oleh seorang tukang kayu Melayu bernama Haji Sopian dan dibantu dua orang anaknya, mereka ini berasal dari Seberang Perai.

Bangunan ini dibina atas perintah DYMM Almarhum Sultan Iskandar Shah (Marhum Kaddasallah) sebagai tempat bersemayam sementara, disebabkan ketika itu Istana Iskandariah masih lagi dalam pembinaan menggantikan Istana Negara.

Baginda DYMM Almarhum Sultan Iskandar Shah bersemayam di Istana Kenangan ini mulai dari 1931 hingga 1933.

Setelah baginda berpindah ke Istana Iskandariah, ia dijadikan Istana Tetamu terutama di hari Perayaan DiRaja seperti hari keputeraan, perlantikan orang besar Perak dan lain-lain Istiadat DiRaja Perak Darul Ridzuan.

Sumber: Sinar Harian

Pulau Pangkor

Pekan kecil di Pulau Pangkor

Pangkor adalah sebuah pulau peranginan yang terletak di Perak. Kedudukannya strategik antara Selat Dinding dan Selat Melaka menyebabkan ia mudah dijejaki. Pulau ini mempunyai pantai yang cantik dan terlindung dari ombak besar serta angin kencang dan perjalanan menaiki feri ke pulau ini mengambil masa 30 minit.

Pangkor mempunyai keluasan 2,000 hektar dengan kapasiti penduduk 25,000. Di pulau ini terdapat pelbagai prasarana seperti Balai Polis, Balai Bomba, Pejabat Pos, hospital mini, bank dan restoran untuk kemudahan penduduk.

Pulau Pangkor mula dihuni oleh manusia lebih kurang pada tahun 1908 yang lalu.

Asal nama pulau ini dikatakan daripada perkataan orang Siam yang memanggil 'Bangkok' dan seterusnya menjadi panggilan 'Pangkor'.

Pada abad ke-18, pedagang-pedagang Siam selalu menjadikan pulau ini sebagai destinasi mengambil keperluan asas bagi tongkang-tongkang mereka seperti air, kayu dan membaiki tongkang.

Awal abad ke-19, pulau ini didatangi oleh nelayan-nelayan dari Pantai Timur.

Sejak dari tahun 1958, Pulau Pangkor telah dihuni kira-kira 22,000 penduduk yang terdiri daripada 55 peratus kaum Cina, 35 peratus kaum Melayu dan 10 peratus kaum India.

Masyarakat majmuk di sini hidup dalam keadaan harmoni, sehinggalah pada tahun 1959 apabila berlaku pergaduhan kaum di antara masyarakat Melayu dan Cina hingga memaksa perintah berkurung dikenakan di pulau ini pada 3 Mei 1959.

Sumber: Sinar Harian.

Kampung Sungai Sekiah

Masjid yang terdapat di Kg. Sg. Sekiah

Kampung Sungai Sekiah adalah satu perkampungan di dalam kawasan Behrang Ulu, Batu 7 selain dari Kampung Baru Behrang Ulu.

Terletak lebih kurang 12 kilometer ke utara melalui Bandar Raya Proton dari Tanjong Malim, tujuh kilometer ke barat dari pekan Behrang dan 22 kilometer ke selatan dari Slim River.

Nama kampung berkenaan diambil sempena kedudukannya yang terletak antara Sungai Sekiah dan Sungai Behrang.

Sejarah penempatan awal di kampung ini adalah pada awal kurun ke-20 iaitu lebih kurang dalam 1917 di mana ia diketuai seorang berketurunan Selayang iaitu Panglima Ubong, orang Minang dan Rokan.

Panglima Ubong adalah antara orang yang merantau dan terlibat dalam beberapa gerakan dan peperangan bersama orang Mandailing dari Sumatera hingga ke Tanah Melayu.

Orang Mandailing pada masa itu memisahkan diri mereka dan membuat perkampungan di pertemuan sungai.

Sumber: Sinar Harian

Sejarah Kinta

Lembah Kinta terletak di bahagian kanan Sungai Perak. Jelas kelihatan adalah Banjaran Keledang dan kawasan Gunung Bubu. Lebuhraya Utara Selatan serta terowongnya dapat dilihat merentasi Banjaran Keledang. Warna ungu di hujung kiri adalah Selat Melaka. (imej dari www.geocities.com/Baja/Canyon/1047/lembahkinta.htm)

Lembah Kinta dan Lembah Kelang merupakan kawasan yang sangat penting di Malaysia. Lembah Kinta terletak di negeri Perak, disaliri oleh Sungai Kinta yang mengalir dari Gunung Korbu di Ulu Kinta, Tanjong Rambutan hingga ke Kampong Gajah di selatan. Sungai Kinta bertemu dengan Sungai Perak berhampiran Pulau Inderasakti.

Pulau Inderasakti terletak dalam Sungai Perak dan pernah menjadi kediaman Sultan Perak pada peringkat awal sejarahnya. Tahun 1985, ketika pertabalan Sultan Azlan Shah, baginda singgah menziarahi makam Sultan Perak di sini.

Lembah Kinta pesat membangun kerana Sungai Kinta banyak terdapat bijih timah dan kemudian ditanam dengan pokok getah. Lembah Kinta berjaya membawa orang Cina dari daerah Kwangtung, China yang diuruskan oleh kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San. Kebanyakan mereka berbangsa Hokkien dan Kantonis.

Beberapa bandar telah wujud di Lembah Kinta. Antaranya ialah Ipoh, Kampar, Taiping, Gopeng, Batu Gajah, Pusing, Pasir Putih, Papan, Lahat, Menglembu, Jelapang, Tasek, Bercham, Gunung Rapat dan lain-lain.

Sumber: Sinar Harian

Wednesday, May 27, 2009

Sekolah Berasrama Penuh (SBP)

Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh, Perak antara sekolah berasrama penuh yang popular di Malaysia.

Sekolah Berasrama Penuh (SBP) merupakan kumpulan sekolah menengah perdana dikhaskan untuk pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang di dalam UPSR dan PMR. Tujuan asal penubuhan sekolah ini ialah untuk memberi peluang kepada pelajar bumiputera di luar bandar. Ini adalah kerana pada awalnya, sekolah berasrama hanyalah sekolah berasrama Inggeris/ala Inggeris (seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar) yang terhad kepada anak-anak Raja dan orang kenamaan sahaja. Namun kini, semua sekolah berasrama penuh adalah sama dan terbuka kepada semua warganegara Malaysia.

Di sekolah berasrama penuh, waktu belajar telah diatur oleh pihak sekolah dan setiap pelajar perlu mematuhi jadual tersebut. Inilah satu keunikan kehidupan sekolah berasrama penuh dibandingkan dengan kehidupan pelajar di sekolah harian biasa.

Pendidikan di sekolah berasrama penuh adalah suatu usaha berterusan bagi menyediakan suasana persekolahan dan pembelajaran yang terancang, terkawal dan sempurna untuk memupuk dan memperkembangkan kebolehan pelajar-pelajar berpotensi ke arah kecemerlangan sebagai insan dan warganegara yang seimbang dan bertanggungjawab terhadap tuntutan agama, bangsa dan negara.

Sumber: Sinar Harian

Masjid Ubudiah

Masjid Ubudiah adalah sebuah masjid di Bukit Chandan, Kuala Kangsar yang dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia dan simbol kebanggaan serta kepercayaan Muslim di Perak. Kubah emas dan menara masjid adalah bukti dan keindahan seni bina Islam.

Masjid Ubudiah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917. Dari segi latar belakang sejarahnya Masjid Ubudiah yang terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah ini, merupakan masjid nazar.

Semasa berisitrehat dalam rawatan di Port Dickson, Negeri Sembilan, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I (1887 - 1916) bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan jika kesihatan baginda pulih.

Arkitek yang ditugaskan merekabentuk masjid ini adalah Mr. Hubbeck yang menggunakan seni reka Moor dan Mr. Caulfield pula sebagai juruteranya.

Pada hari Jumaat 26 September 1913, Sultan Idris Murshidul Azam Shah telah meletakkan batu asas masjid ini.

Pembinaan masjid tergendala beberapa tahun kerana kerosakan ketul marmar di tempat simpanannya yang telah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris dan Raja Chulan.

Pesanan batu marmar yang baru dari Itali tergendala akibat tercetusnya Perang Dunia Pertama, sehinggalah pada tahun 1917 barulah masjid yang terindah di negeri Perak itu dengan rasminya dibuka oleh Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah iaitu Sultan Perak yang menggantikan Sultan Idris yang mangkat pada tahun 1916.

Belanja pembinaan Masjid Ubudiah ketika itu dianggarkan berjumlah RM200,000.

Sumber: Sinar Harian

Pusat Peranginan Lata Iskandar

Lata Iskandar adalah kawasan rekreasi air terjun yang menarik di Batang Padang dengan kehijauan alam semula jadinya yang mengagumkan dan mudah untuk dikunjungi.

Lokasinya di pertengahan jalan antara Tapah dan Cameron Highlands. Air terjun ini mempunyai kolam takungan di setiap hujung barisnya, menyediakan tempat mandi yang sesuai untuk seisi keluarga.

Di kaki kawasan air terjun ini ada bazar kraftangan yang menawarkan pelbagai hasil produk bermutu tinggi buatan masyarakat Orang Asli. Bagi memudahkan anda dan keluarga ada gerai yang menyediakan minuman dan makanan ringan. Deretan gerai ini dibina berhampiran kawasan air terjun.

Hutan lipur Lata Iskandar terletak dalam hutan simpan Bukit Tapah yang mempunyai jenis hutan dipterokarp bukit. Lata Iskandar berada pada paras 400 meter dari aras laut. Hutan lipur ini dibuka pada tahun 1979 dengan keluasan dua hektar.

Pusat peranginan ini merupakan tempat persinggahan bagi pelancong yang hendak ke Cameron Highlands. Keunikannya ialah air terjun Sungai Semai yang mengalir sejuk, bersih, nyaman dan segar mata memandang.

Sumber: Sinar Harian

Politeknik Ungku Omar

Pintu gerbang untuk memasuki kawasan Politeknik Ungku Omar.

Politeknik Ungku Omar (PUO) di Jalan Raja Musa Mahadi (dahulunya dikenali sebagai Jalan Dairy), Ipoh, Perak ditubuhkan pada tahun 1969 dan namanya diambil sempena nama Allahyarham Datuk Professor Ungku Omar Ahmad demi mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada negara serta bangsa terutamanya dalam bidang penyelidikan perubatan.

Penekanan dan bidang pelajaran Politeknik ini bercorak sains dan teknologi. Politeknik Ungku Omar ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan (sekarang Kementerian Pelajaran) dengan bantuan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) yang bertujuan untuk melatih tenaga kerja separa profesional dan golongan pengurusan bawahan bagi menampung keperluan pembangunan negara.

UNESCO telah dipertanggungjawabkan untuk merancang dan melaksanakan pembinaan PUO di atas tapak seluas 22.6 hektar di Jalan Dairy, Ipoh. Politeknik mula beroperasi dengan menumpang di Pusat Latihan Harian, Ipoh dengan 300 orang penuntut. Tenaga pengajarnya pada masa itu terdiri daripada 28 orang pensyarah tempatan dan dibantu oleh 14 sukarelawan dari Kanada, Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun.

Kampus Politeknik Ungku Omar terletak di kawasan Ampang, Ipoh. Pada penghujung 1973, Politeknik berpindah dari Pusat Latihan Harian ke kampus kekalnya dan telah dirasmikan pada 10 Mei 1974 oleh Menteri Pendidikan pada masa itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Kampus ini kini dikenali sebagai Kampus A setelah Politeknik mengambil alih bekas Maktab Perguruan Kinta yang berpindah ke negeri Perlis dan dinamakan Kampus B pada tahun 1990.

Sumber: Sinar Harian.

Evolusi

Sewaktu berusia sepuluh tahun.

Sewaktu berada di Tingkatan Tiga dalam kelas 3C2, Sekolah Menengah Gunung Rapat.

Sewaktu menghadiri kursus Kejuruteraan Elektrik di Institut Kemahiran MARA, Beseri, Perlis tahun 1993.

Sewaktu menjadi tenaga pengajar di Sekolah Menengah Agama Ma'had Al-Ummah, Chemor, Perak tahun 1996.

Sewaktu bersama staff FMCC Telekom Malaysia tahun 1998.


Monday, May 25, 2009

Penuaian air hujan

Salah satu sumber air yang boleh digunakan dalam kegunaan seharian ialah air hujan. Dahulunya air hujan sering digunakan apabila ia dikumpulkan dalam telaga. Kini sebahagian besar daripada rumah tidak mempunyai telaga lagi.

Oleh itu, kaedah yang boleh digunakan untuk tujuan mengumpul air hujan ini ialah dengan menuainya melalui kaedah-kaedah tertentu.

Sebelum mengetahui tentang kaedah-kaedah penuaian air hujan ini, perlu diketahui kebaikan dan keburukan penuaian air hujan ini.

Kebaikan

Dengan menggunakan air hujan anda boleh mengurangkan pergantungan terhadap bekalan air utama. Kegunaan bekalan air utama akan menurun dan sekatan air terhadap komuniti boleh mengurangkan penggunaan air secara keseluruhan dan melindungi bekalan air kita. Kebaikan-kebaikannya adalah:
  • Kecukupan bekalan air.
  • Mengurangkan kos untuk mengepam air bawah tanah.
  • Menyediakan air yang berkualiti tinggi, lembut dan rendah galian.
  • Memperbaiki kualiti air bawah tanah melalui pencairan apabila mengecas semula ke air bawah tanah.
  • Mengurangkan hakisan tanah di kawasan bandar.
  • Penuaian air hujan atas bumbung adalah lebih murah.
  • Sistem penuaian air hujan adalah mudah kerana ia boleh dilakukan secara persendirian.
  • Sistem penuaian hujan atas bumbung adalah mudah untuk membina, beroperasi dan mengekalkan.
Keburukan

Keburukan penuaian air hujan termasuk pencemaran oleh bahan pencemar dari bumbung yang telah bercampur dengan air dan pengurangan air simpanan disebabkan pencemaran oleh kodok, nyamuk, lipas dan sebagainya. Keburukan-keburukan lain adalah:
  • Bekalan terhad dan ketidakpastian penurunan hujan.
  • Pembangunan sistem-sistem penuaian air hujan yang luas boleh mengurangkan pendapatan sistem air awam.
  • Tangki simpanan air hujan boleh membahayakan kanak-kanak yang bermain di sekelilingnya.
  • Tangki simpanan air hujan boleh mengguna ruang-ruang yang bernilai.
  • Sistem penuaian air hujan memerlukan penjagaan dan pemeliharaan selepas dipasang iaitu ia mungkin tidak sesuai untuk semua pemilik rumah.
Dicuplik dari Buletin Pengguna edisi November 2008.

Yang Bahagia Dato' Hj. Alimuddin b. Hj. Mohd Dom

Yang Bahagia Dato' Hj. Alimuddin b. Hj. Mohd Dom merupakan Pengetua Sekolah Menengah Gunung Rapat yang ke-5 iaitu pada tahun 1992 hingga 1995. Ketika itu aku sudah pun keluar meninggalkan SMGR dan mengikut haluan hidup ku sendiri. Aku pernah berjumpa dengan Y. Bhg Dato' Hj Alimuddin sewaktu aku bertandang ke SMGR untuk mendapatkan tandatangan Pengetua untuk dokumen-dokumen melanjutkan pelajaran.

Bagaimanapun aku berbangga kerana selain Dato' Hj Salleh bin Mohd Hussein yang pernah menjadi Pengarah Bahagian Sekolah di Kementerian Pelajaran Malaysia, Dato' Hj. Alimuddin pula menjadi Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, bermakna dua orang Pengetua Sekolah Menengah Gunung Rapat telah menjadi orang penting untuk negara.

Apa kata kita lihat pencapaian yang pernah dicapai oleh Y. Bhg Dato' Hj Alimuddin.

Y.BHG. DATO' HJ. ALIMUDDIN B. HJ. MOHD DOM

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia(2007 - Sekarang)

TARIKH LAHIR
07 November 1952

TEMPAT LAHIR
Perak

PENDIDIKAN
Master Sains UPM - 1989
B.A. (Hons) UKM - 1976, Sosiologi dan Sejarah
Diploma Pendidikan (UKM) - 1976

PENGALAMAN PERKHIDMATAN
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia : (2007 - Sekarang)
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Jabatan Sekolah) (2007 - Ogos 2007)
Ketua Jemaah Nazir : Jemaah Nazir Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia (1.5.2005 - 2007)
Timbalan Ketua Pengarah : Sektor Pengurusan IPTS, Kem. Pengajian Tinggi (2004 - 2005)
Timbalan Ketua Pengarah : Jabatan Pendidikan Swasta, Kem. Pendidikan Malaysia (2003 - 2004)
Timbalan Pengarah :Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (2003 - 2003)
Pengetua Kanan :Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak (1999 - 2003)
Pengetua :Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak (1997 - 1999)
Pengetua :SM Sains, Teluk Intan, Perak (1995 - 1996)
Pengetua :SMK Gunung Rapat, Ipoh Perak (1992 - 1995 )
Penolong Kanan :Kolej Melayu, Kuala Kangsar, Perak (1991 - 1992)
Ketua Penolong Pengarah : Unit Teknologi Pendidikan, JPN Perak (1990 - 1991)
Pengetua :SMK Pangkalan TLDM, Lumut, Perak (1989 - 1990)
Penolong Kanan (HEM) :SM Sains, Teluk Intan, Perak (1988 - 1989)
Penolong Kanan :SMK Dato' Panglima Perang Kiri, Tapah Road, Perak (1984 - 1988)
Guru Siswazah : SMK Tengku Menteri, Changkat Jering, Perak (1976 - 1984)

KURNIAAN
DPMP (Dato' Paduka Mahkota Perak) - 2007 (DYMM Sultan Perak)
PMP - 2001 (DYMM Sultan Perak)
PPG Pingat Penghormatan Guru - 1999 (Sempena Hari Guru Negeri Perak)
AMN - 1998 (DYMM YDP Agong)
PPT - 1995 (DYMM Sultan Perak)
PPG Pingat Penghormatan Guru - 1988 (Sempena Hari Guru Daerah Kinta)

Panorama Perak - Sejarah Batu Kurau

Pekan Batu Kurau (imej dari kedaikom.communities.com.my)

Batu Kurau adalah salah sebuah mukim di daerah Larut Matang yang terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Taiping.

Batu Kurau telah dibuka sejak tahun 1850-an lagi, apabila pemimpin Batu Kurau yang pertama iaitu Tok Amar Wan Kasa bin Raja Hulubalang Petani dilantik menjadi penghulu pada tahun 1859 - 1867.

Menurut orang tua-tua, asal-usul nama Batu Kurau diambil sempena daripada seketul batu besar yang menyerupai ikan kurau terletak di tebing Sungai Kurau.

Sungai ini berpunca daripada beberapa batang anak sungai dari Kampong Sempeneh, Anak Kurau, Changkat Lobak hingga ke Kampong Pondok Tanjong seterusnya mengalir ke Bukit Merah dan masuk muara di Kuala Kurau, daerah Kerian.

Penduduk di Batu Kurau kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu keturunan Petani yang mempunyai pertalian darah dengan penduduk wilayah Pattani, Selatan Thai.

Sumber: Sinar Harian

Panorama Perak - Mukim Slim

Stesen Keretapi Slim River

Mukim Slim berasaskan kepada dua buah pekan kecil bersejarah iaitu Slim River dan Slim Village. Slim River adalah perkataan bahasa Inggeris yang bermaksud Sungai Slim.

Mengikut cerita mulut orang terdahulu perkataan Slim berasal dari perkataan 'Seling' atau 'Satu Ling' yang merupakan satu unit sukatan bagi menyukat padi atau beras pada masa dahulu.

Kawasan Slim adalah kawasan penempatan penduduk Melayu yang didiami orang Melayu Mandailing, Rawa, Kampar dan sebahagiannya didiami Orang Asli.

Tak Sempok adalah orang yang mula-mula membuka Slim dan menjadi Penghulu kepada lapan keturunan Sultan.

Pada masa dahulu Slim Village ini asal namanya lebih popular dengan panggilan Tanjong Belit. Ini kerana keadaan sungainya yang berbelit maka nama sedemikian diberikan.

Sumber: Sinar Harian

Panorama Perak - Daerah Kampar 2

Kampung Jelintoh di Gopeng, Perak (imej dari www.traveltales.biz)

Kebanyakan masyarakat di daerah Kampar pada hari ini tinggal di kawasan penempatan tradisional yang memang wujud sejak awal lagi.

Penempatan tradisional berkenaan terdiri daripada empat kategori utama iaitu Kampung Baru contohnya Kopisan, Perkampungan Orang Asli, Kampung Tradisional contohnya Kampong Lawan Kuda dan Kampung Tersusun contohnya Kampung Tersusun Gopeng.

Kampung baru selalunya didiami orang Cina dan India, manakala kampung tradisional dan kampung tersusun pula dihuni kaum Melayu.

Ini mungkin kesan daripada konsep pecah dan perintah semasa pendudukan Inggeris dahulu, atau kesan daripada cubaan komunis pada pertengahan abad ke-20.

Selain tinggal di penempatan tradisional, ramai juga penduduk di kawasan ini menetap di taman dan bandar baru terutama sekali bagi penduduk yang baru berhijrah ke daerah ini.

Di atas pembangunan yang pesat dan tersusun ini, maka pemaju perumahan membuka banyak taman dan kawasan baru bagi menampung penduduknya yang kian bertambah.

Sumber: Sinar Harian

Panorama Perak - Majlis Bandaraya Ipoh

Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh

Majlis Bandaraya Ipoh merupakan bandaraya yang ketiga di Malaysia selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor. Bunga rasmi bagi Majlis Bandaraya Ipoh ialah bunga kertas.

Sejarah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) awalnya bermula dengan kewujudan Ipoh Sanitary Board pada tahun 1893 yang diasaskan oleh Sir Frank Swettenham, Residen British. Kemudian pada 31 Mei 1962, Ipoh diisytiharkan sebagai Majlis Perbandaran Ipoh. Seterusnya, Ipoh secara rasminya mendapat status bandaraya pada 27 Mei 1988.

Kini, Ipoh yang berada di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh telah pun menyerap masuk pekan-pekan kecil yang berada di sekitar bandar seperti Chemor, Jelapang, Falim, Menglembu, Tambun dan Tanjong Rambutan ke dalam wilayah Bandaraya Ipoh. Secara sejarahnya, Ipoh terbahagi kepada Pekan Lama dan Pekan Baru yang mana dipecahkan oleh Sungai Kinta di tengah-tengah bandarnya.

Sumber: Sinar Harian

Panorama Perak - Persatuan Karyawan Perak

Hj. Zabidin Ismail, Presiden Persatuan Karyawan Perak

Persatuan Karyawan Perak atau nama ringkasnya Karyawan Pk telah ditubuhkan pada 15 Februari 1992 di Teluk Intan, Perak oleh beberapa orang penulis, antaranya Zabidin Hj Ismail, Mokhtar Mansor (pencipta kaedah Mokhdar), M. Saleh Mahyat, Abu Bakar Sidek Hashim, Idris Noor, Jamaludin Ahmad.

Peranannya sebagai badan penulis dan sastera yang bertaraf negeri. Ia mempunyai cawangan di beberapa bandar utama di Perak yang dikenali sebagai Sudut Karyawan Pk contohnya Tanjong Malim diketuai Chai Loon Guan, Kuala Kangsar; Al Hisyam, Bagan Datoh; Nordin Abdullah.

Anggotanya terdiri daripada kalangan penulis dan peminat sastera di Perak seramai kira-kira 200 orang. Antara aktiviti yang dijalankan ialah penyelidikan, penerbitan dan penulisan. Untuk keterangan lanjut sila layari www.karyawanpk.org.

Sumber: Sinar Harian

Panorama Perak - Pusat Ternakan Tuntung, Bota Kanan

Tuntung (imej dari www.asiaexplorers.com)

Pusat ini terletak di Kampong Bota Kanan dalam daerah Perak Tengah, 50 kilometer dari barat daya Ipoh.

Ianya terletak berhampiran dengan tebing sebelah kanan Sungai Perak, meliputi kawasan berpasir dengan keluasan lebih satu hektar.

Pusat ternakan tuntung ini diwujudkan bagi mengatasi masalah kepupusan binatang berkenaan di samping bertindak untuk memulihara ekosistem tuntung.

Kompleks berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan dalam usaha memelihara spesies berkenaan seperti kolam pemeliharaan ibu tuntung, pusat penetasan serta bilik pameran.

Pusat ini terdiri dari sebuah bangunan pentadbiran yang mempunyai pejabat, bilik kuliah, makmal dan ruang legar.

Sumber: Laman web rasmi Majlis Daerah Perak Tengah, Sinar Harian.

Panorama Perak - Daerah Kampar

Jam besar yang menjadi mercutanda bandar Kampar

Kampar adalah sebuah pekan di negeri Perak yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandari Ipoh dan 16 kilometer dari pekan Tapah dan merupakan tempat persinggahan bagi perjalanan antara utara dan selatan.

Kawasan ini juga merupakan bandar yang terakhir sekali di Daerah Kinta, kerana ke selatannya adalah Daerah Batang Padang dan Hilir Perak.

Pekan utaranya pula adalah Gopeng dan selatannya pula adalah pekan Tapah.

Apabila disebut Kampar memberi pengertian bandar Kampar dan kawasan sekitarnya dalam lingkungan 10 hingga 20 batu persegi.

Penerokaan dan petempatan awal Kampar mempunyai kaitan dengan penemuan bijih timah itu sendiri, maka tidak hairan jika ada pendapat yang mengatakan Kampar dibangunkan atas bijih timah.

Sehingga kini bijih timah masih lagi dilombong meskipun kepesatannya mulai berkurangan akibat kemerosotan bijih timah.

Kampar kini adalah daerah ke-10 negeri Perak dan ia diisytiharkan pada 21 Mei 2009 oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Dengan pengisytiharan itu Kampar tidak lagi terletak di bawah Daerah Kinta.

Sumber: Sinar Harian.

Menara Jam Condong Teluk Intan

(Imej dari www.mypendidik.net)

Menara ini menjadi titik tumpu kepada bandar Teluk Intan. Uniknya condong seperti Menara Pisa di Itali. Dibina pada tahun 1885 oleh Leong Choon Choong, setinggi 25.5 meter dan ada 110 anak tangga.

Ia merupakan takungan air sebelum adanya Tangki Air Changkat Jong. Bangunan ini tiga tingkat dilengkapi dengan jam besar dan mengikut seni bina menara-menara di China. Kini, menara ini tidak digunakan lagi. Di bahagian bawahnya dihiasi dengan lanskap yang indah seperti pasu bunga, lantai marmar dan kerusi rehat untuk bersantai seisi keluarga.

Pernah digunakan oleh Lembaga Perancang Keluarga Negara dan Persatuan Pengakap Teluk Intan.

Sumber: Sinar Harian

Panorama Perak - Istana Kenangan

Istana Kenangan atau disebut juga Istana Kuning kini dijadikan Muzium Di Raja Perak

Istana ini pada keseluruhannya diperbuat daripada kayu dan dikenali juga dengan nama Istana Lembah atau kadangkala disebut juga Istana Tepas.

Istana ini terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah. Istana yang berdinding kelarai berbumbung perabot lima dan perabot pisang sesikat ini dirancang pembinaannya selepas banjir besar melanda Perak pada tahun 1926.

Tukang yang membuat istana adalah Haji Suffian dan anak-anaknya yang berasal dari Seberang Prai. Istana ini siap sepenuhnya pada tahun 1931. Sultan Iskandar Shah iaitu Sultan Perak ke-30 (1918 - 1938) berpindah bersemayam di istana tersebut kerana Istana Negera iaitu istana rasmi Sultan Perak di Changkat Negara akan dirobohkan untuk dibina istana yang baru (Istana Iskandariah).

Dalam tahun 1933, apabila Istana Iskandariah siap dibina, Sultan Iskandar Shah berpindah ke istana tersebut.

Istana Lembah atau Istana Tepas diduduki pula oleh keluarga Diraja Perak.

Nama Istana Kenangan hanya bermula pada tahun 1960 iaitu selepas istana tersebut diperbaiki semula dengan usaha Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Pada 16 November 1986, setelah dipelihara Istana Kenangan dengan rasminya dijadikan Muzium Di Raja Perak hingga ke hari ini.

Sumber: Sinar Harian

Panorama Perak - Jambatan Victoria

Gambar lama Jambatan Victoria (imej dari braderdm.blogspot.com)

Jambatan kereta api ini disebut juga Jambatan Enggor kerana letaknya di Enggor, Kuala Kangsar. Jambatan yang merentangi Sungai Perak ini mula dibina pada 1897 dan siap serta dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Idris Mursyidul Azam Shah pada 1900. Jurutera yang bertanggungjawab terhadap pembinaan jambatan ini ialah G.W. Fryer, Divisional Engineer dan C. R. Hanson.

Pada 21 Mac 1900, Jambatan Victoria yang menyambungkan Enggor dan Kuala Kangsar dibuka dengan rasminya oleh Sir Frank Swettenham iaitu Residen General Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Perasmian jambatan itu turut dihadiri Sultan Perak, Sultan Idris Mursyidul Azam Shah dan Raja Perempuan Perak, Residen Perak, J.P. Rodger dan isteri dan orang kenamaan.

Jambatan yang mengambil nama Queen Victoria itu dianggap sebagai jambatan yang terbaik dari segi kejuruteraannya yang terdapat di Timur Jauh pada masa itu. Jurutera yang bertanggungjawab membina jambatan itu adalah G.W. Fryer, Divisional Engineer dan C.R. Hanson. Jambatan itu mula dibina pada tahun 1897, ia adalah perhubungan antara Ipoh dan Taiping melalui Kuala Kangsar. Selain itu ia juga berperanan penting sebagai penghubung bagi laluan utara ke selatan Semenanjung Tanah Melayu.

Dengan pembukaan rasmi jambatan yang bernilai RM325,000 itu, pada hari ini, ia membawa banyak faedah kepada perkembangan ekonomi dan juga membuka laluan bagi pembangunan lebih pesat dan pertumbuhan bandar timah di Semenanjung Tanah Melayu.

Dengan siapnya jambatan ini, lengkaplah perjalanan kereta api dari Enggor ke Kuala Kangsar. Dalam tahun 1910, jambatan ini telah digunakan sepenuhnya untuk laluan kereta api dari Perai ke Johor Bahru.

Sumber: Sinar Harian.

Panorama Perak - Behrang

Pekan Behrang terletak di Perak, di pinggir Jalan Persekutuan dari Kuala Lumpur ke Ipoh. Behrang membangun kerana adanya ladang getah dan kemudian digantikan dengan kelapa sawit menerusi agensi Felda Ulu Behrang. Tempat yang berhampiran dengan Behrang ialah Behrang Ulu, Behrang Stesen, Kampong Kelawar, Tanjong Malim, Ulu Bernam dan Slim River. Gunung Liang Timor (1,933 meter) terletak di sebelah timur laut Behrang.

Sumber: Sinar Harian

Friday, May 22, 2009

Gunung Everest dan pendaki-pendaki Malaysia

Gunung Everest merupakan gunung yang tertinggi di dunia dengan ketinggian 8,848 meter dari paras laut (29,028 kaki).

Gunung Everest terletak di antara Nepal dan Tibet, China.

Rabung kemuncak gunung menandakan sempadan antara Nepal dan Tibet. Di Nepal gunung tersebut dikenali sebagai Sagarmatha (bahasa Sanskrit untuk 'dahi langit') dan di Tibet ia dikenali dengan nama Chomolangma atau Qomolangma (ibu alam) yang diambil dari nama Cina, Zhumulangma Feng.

Pendakian pertama 29 Mei 1953 oleh Sir Edmund Hillary (New Zealand) dan Tenzing Norgay (Nepal).

Laluan paling mudah adalah melalui South Col (Nepal).

Dua pendaki pertama Malaysia, M. Magendran dan N. Mohandas sampai ke kemuncak Gunung Everest pada pukul 11.55 pagi waktu Nepal pada 23 Mei 1997.

Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin dan Ahmad Redzuan Rozali, 22, menjadi pelajar universiti pertama dari Asia Tenggara menjejakkan kaki ke puncak pada pukul 8.35 pagi (waktu Nepal) pada 16 Mei 2004.

T. Ravichandran berjaya menjadi pendaki solo pertama negara tiba di puncak tertinggi dunia, Everest pada pukul 2.15 petang (waktu Nepal) pada 16 Mei 2004.

Vincent Loh (kini Datuk) dari Pulau Pinang muncul sebagai warga Malaysia tertua berusia 51 tahun melakar kejayaan itu pada pukul 5.40 pagi (waktu Nepal) pada 23 Mei 2006.

Wanita pertama negara berjaya menakluki Everest ialah Marina Ahmad, 26, pada 21 Mei 2007 bersama juruteknik kanan RTM, Idris Said, 51, Ahmad Redzuan Rozali, 25 (kali kedua setelah berjaya pada tahun 2004), Ahmad Fakhri Abu Samah, 25, Mohd. Rafi Kori, 35, Mohamad Fauzan Hassan, 39 (Ekspedisi Merdeka de' Everest 2007).

Sumber: Kosmo!

Loghat Perak 3


Megholoh

Maksud - tidur

Contoh ayat - Apa nak jadi dengan mike ni Din, dah tengah hari masih megholoh lagi?

Ayat moden - Apalah nak jadi dengan awak ni Din, dah tengah hari masih tidur lagi?


Dedor

Maksud - panas badan

Contoh ayat - Isy, teghase dedor pulak badan ni, nak demam gamaknya ni.

Ayat moden - Isy, badan terasa panas, nak demam agaknya.

Sumber: Sinar Harian

Thursday, May 21, 2009

Panorama Perak - Jeti Bagan Datoh

Pemandangan di jeti Bagan Datoh

Jeti Bagan Datoh dibina bagi memudahkan orang ramai melihat sendiri penghujung Sungai Perak dan Selat Melaka.

Jeti ini juga merupakan kemudahan kepada pemancing yang ingin memancing udang galah dan ikan.

Jeti ini menjadi mercu tanda Bagan Datoh sebagai salah sebuah tempat yang menarik untuk dikunjungi dan kerajaan bercadang untuk menjadikannya sebagai Depot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sumber: Sinar Harian

Panorama Perak - Daerah Batang Padang

Papan tanda menunjukkan sempadan daerah Batang Padang di pekan Tanjong Malim. (imej dari maarofkassim.com)

Daerah Batang Padang adalah daerah yang terletak dalam negeri Perak. Batang Padang meliputi Tapah, Kampar, Bidor, Mambang Diawan dan sebagainya. Pejabat pentadbiran terletak di bandar Tapah dan kawasan ini terbahagi kepada pekan Tapah dan Tapah Road.

Sungai Batang Padang merentasi pekan Tapah, bersebelahan dengan Masjid Tapah. Batang bermaksud sungai.

Antara mukim yang terletak dalam daerah Batang Padang adalah mukim Batang Panjang, Bidor, Chenderiang, Hulu Bernam Barat, Hulu Bernam Timor, Slim dan Sungkai.

Bandar yang terletak dalam daerah ini adalah Ayer Kuning, Banir, Bantang, Bikam, Slim, Sungai Lesong, Tapah Road, Temoh Station dan Terolak.

Sumber: Sinar Harian

Panorama Perak - Kampar sebagai sebuah daerah

Pekan Kampar, imej dari perakpaintball.blogspot.com

Sejarah awal Pentadbiran Daerah Kampar bermula dengan operasi sebuah daerah kecil kepadaDaerah Kinta pada 1960-an iaitu melalui operasi sepenuhnya Pejabat Daerah dan Tanah, Gopeng, Kampar manakala pentadbiran kerajaan berada di bawah Majlis Daerah Kinta Selatan.

Daerah Kecil Gopeng, Kampar berkeluasan kira-kira 66,980 hektar dan terdiri daripada dua buah mukim iaitu Mukim Kampar dan Mukim Teja dengan anggaran seramai 93,000 penduduk.

Berikutan pembangunan yang pesat di kawasan Kampar, kerajaan negeri dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil 710/24/8/2005 pada 24 Ogos 2005 memutuskan menaik taraf daerah ini kepada Daerah Kampar dan pentadbirannya dipisahkan dari Pentadbiran Daerah Kinta.

Cadangan ini direalisasikan melalui keputusan Jemaah Menteri pada 9 Mac 2007 yang bersetuju menaik taraf Daerah Kecil Gopeng Kampar kepada sebuah daerah penuh iaitu daerah kesepuluh di negeri Perak yang dikenal sebagai Daerah Kampar dan perisytiharan bertarikh 23 April lalu.

Sumber: Sinar Harian

Wednesday, May 20, 2009

Sekolah Sukan Malaysia (SSM)

Sekolah Sukan Bukit Jalil

Sekolah Sukan Malaysia (SSM) merupakan sekolah elit khas untuk atlet-atlet di kalangan pelajar sekolah yang berpotensi untuk dikembangkan bakatnya ke tahap yang lebih cemerlang. Di samping pembelajaran berasaskan akademik, pelajar-pelajar dilatih mengikut bidang kemahiran sukannya. SSM ini di bawah kawalan Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Cara kemasukan ke SSM Bagi Lepasan UPSR dan PMR

Permohonan kemasukan ke Sekolah Sukan Malaysia tidak dijalankan melalui permohonan terbuka kepada para pelajar. Sebaliknya pelajar-pelajar yang layak akan ditawarkan memasuki ke SSM melalui kaedah tertentu serta oleh pihak tertentu iaitu:

Ujian Mengenalpasri Bakat (TID) yang dikendalikan oleh Unit Sukan JPN di peringkat negeri dan yang dikendalikan oleh BSSK di peringkat kebangsaan.

Melalui Program Talent Scouting (Ujian Mengenalpasti Atlet Berbakat) yang dijalankan sepanjang kejohanan MSSM. Calon yang dicadangkan oleh Persatuan Sukan Kebangsaan yang mendapat pengesahan daripada MSN sebagai atlet elit atau atlet pelapis negara.

Sumber: Sinar Harian

Panorama Perak - Majlis Daerah Selama

Bangunan Pejabat Tanah dan Daerah Larut, Matang dan Selama

Majlis Daerah Selama adalah badan pentadbiran yang mentadbir daerah Selama iaitu daerah gabungan Larut, Matang dan Selama di negeri Perak.

Majlis Daerah Selama mula beroperasi pada sekitar awal tahun 1950-an yang dikenali sebagai Lembaga Bandaran Selama.

Pada tahun 1948 berlakunya darurat, maka wujud kawasan perkampungan Melayu dan Cina di kawasan Redang Panjang, Bagan Baru, Sungai Terap, Kubu Gajah dan Rantau Panjang.

Perkampungan Baru dinamakan untuk perkampungan Melayu dan Local Council untuk perkampungan Cina.

Pada tahun 1952 Lembaga Bandaran Selama berada di bawah kuasa Local Authorities Election Ordinance. Kemudian pada tahun 1953 nama Lembaga Bandaran ditukar kepada Majlis Tempatan.

Majlis Tempatan ini mentadbir kawasan Kampung Melayu (Kampung Baru) dan Cina (Local Council). Pemecahan pentadbiran ini masih di bawah Local Council Ordinance.

Majlis Tempatan dipengerusikan Pegawai Daerah dan Ahli Jawatankuasanya adalah dalam kalangan penduduk tempatan yang dipilih melalui pilihanraya Kerajaan Tempatan. Sekarang ia bernaung secara lansung di bawah kerajaan negeri.

Pada 28 Oktober 1964, Suruhanjaya DiRaja di bawah Athi Nahappan ditubuhkan untuk menyiasat perjalanan penguasa tempatan di Malaysia Barat. Salah satu cadangan yang dibuat iaitu mencantumkan antara Penguasa Tempatan dengan beberapa Penguasa Tempatan yang lain untuk menjadikan satu identiti.

Pada tahun 1965 berlaku kucar-kacir dalam pentadbiran majlis tempatan dan juga pembatalan pilihanraya kerajaan tempatan. Disebabkan hal itu, Kerajaan Tempatan dan Ahli Jawatankuasa dilantik kerajaan negeri dan Pengerusinya dilantik Ahli Jawatankuasa dengan persetujuan kerajaan negeri.

Pengisytiharan Majlis Daerah Selama berlaku pada 1 Disember 1979 dengan pergabungan Penguasa-penguasa Tempatan dari kawasan-kawasan Selama, Sungai Terap, Sungai Bayor, Bagan Baru, Redang Panjang, Kampung Masjid, Rantau Panjang dan Kubu Gajah.

Kerajaan Negeri Perak mewartakan Majlis Daerah Selama sebagai Majlis Daerah pada 24 April 1980. Majlis Daerah ini mentadbir kawasan seluas 764.73 kilometer persegi.

Sumber: Sinar Harian

Panorama Perak - Majlis Daerah Kuala Kangsar

Jam besar di tengah-tengah bandar Kuala Kangsar

Majlis Daerah Kuala Kangsar (MDKK) ditubuhkan pada 1 Januari 1980, di bawah peruntukan penyusunan semula Penguasa-penguasa Tempatan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta 171 dengan mencantumkan beberapa Penguasa Tempatan dalam Daerah Kuala Kangsar dan hanya mewujudkan Sungai Siput (U) sebagai cawangan untuk menjadikan Penguasa Tempatan yang besar dan kukuh.

Senarai Penguasa-penguasa Tempatan

- Kuala Kangsar
- Sungai Siput
- Padang Rengas
- Liman Kati
- Salak Baru
- Jerlun
- Manong
- Sauk
- Karai

Selaras dengan Seksyen 7 (1) Akta 171 pada Julai 1997, MDKK diwartakan seluas 79.94 kilometer (KM) persegi sebagai kawasan yang diperluaskan pemakaian semua akta yang diterima pakai oleh MDKK.

Pada tahun 2000 iaitu mengikut banci 2000, jumlah penduduk di daerah Kuala Kangsar menjangkau 154,048 orang.

Keluasan Kawasan Pentadbiran Kuala Kangsar adalah 209.94 KM persegi. Keluasan kawasan kawalan pula terdiri daripada 47.6 peratus daripada keluasan sebenar dan 157.3 peratus adalah kawasan operasi yang diberikan perkhidmatan perbandaran.

MDKK berhasrat menjadikan Kuala Kangsar sebagai Kuala Kangsar Indah Permai. Bagi menjamin hasrat ini tercapai, MDKK membentuk matlamatnya iaitu Berazam Membina Kehidupan Berkualiti Tinggi Untuk Bersama-sama Menuju Ke Arah Sebuah Negara Maju Menjelang Tahun 2020.

Pada 18 Februari 2004, Majlis Daerah diberi taraf Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK). MPKK berjanji menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dan berkualiti kepada masyarakat. Bersempena dengan motto MPKK iaitu Mengutamakan Pelanggan Komitmen Kami.

Sumber: Sinar Harian

Tuesday, May 19, 2009

Sejarah ringkas pendidikan swasta di Malaysia

Pendidikan swasta wujud di negara ini sejak 1950-an. Pada ketika itu banyak sekolah pondok didirikan untuk mengajar pelajar sebagai persediaan menyambung pelajaran di luar negeri khususnya dalam bidang agama. Pada awal 1970-an, peranan dan fungsi sistem pendidikan telah mewujudkan sekolah swasta bagi menampung pelajar-pelajar meneruskan pelajaran di peringkat menengah.

Tahun 1980-an menyaksikan suatu perubahan yang penting di mana pendidikan swasta turut menyediakan peluang pendidikan di peringkat pengajian tinggi.

Sumber: Sinar Harian

Kehilangan salinan Sijil SPM/PMR/UPSR....apa tindakan yang patut diambil?

Jika anda ingin mendapatkan salinan sijil yang hilang, musnah atau tidak dituntut, boleh dibuat melalui pos atau datang sendiri ke kaunter sijil Lembaga Peperiksaan Malaysia, Aras 1, Blok E 11, Putrajaya.

Cara permohonan salinan sijil adalah seperti berikut:

- Wang pos bernilai RM10.00 (atas nama Pengarah Peperiksaan).

- Surat akuan sumpah atau laporan polis tentang kehilangan sijil (hanya permohonan secara pos).

- Sampul surat beralamat sendiri dan bersetem.

- Tempoh proses 4 minggu dari tarikh menerima permohonan.

Sila alamatkan kepada:

Pengarah Peperiksaan,
Lembaga Peperiksaan,
Kementerian Pelajaran Malaysia,
Blok E 11, Kompleks E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62604 Putrajaya.
(u.p. Unit Pengurusan Maklumat dan Data)

- Sila layari laman web LPM di http://www.moe.gov.my/lpm, untuk keterangan lanjut.

- Salinan sijil hanya diproses di LPM Putrajaya.

- Setiap salinan sijil dikenakan wang pos RM10.00

Panorama Perak - Empangan Chenderoh dan Tasek Chenderoh

Empangan Chenderoh (imej dari shida-ibrahim.blogspot.com)

Empangan Chenderoh adalah empangan hidroelektrik dan stesen kuasa hidroelektrik yang tertua di Malaysia. Ia dibuka dan dirasmikan pada 28 Jun 1930 oleh Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir Cecil Clementi.

Empangan ini terletak berhampiran Kuala Kangsar dan dibina pada awal 1920-an oleh pemerintah Inggeris Negeri Melayu Bersekutu.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Iskandar Shah telah turut sama menyaksikan upacara ini beserta dengan orang-orang kenamaan negeri.

Stesen ini adalah stesen hidroelektrik, dengan empat turbin dengan keupayaan 10.7 MW sebuah dan satu turbin dengan keupayaan 8 MW, berjumlah 40.5 MW kesemuanya dan dikendalikan Tenaga Nasional Berhad.

Pemandangan di sekitar Tasek Chenderoh (imej dari pdtlenggong.perak.gov.my)

Tasek Chenderoh pula sesuai bagi yang menggemari sukan air.

Kawasan di persekitaran tasik ini juga disediakan pelbagai kemudahan seperti chalet, taman kanak-kanak, restoran terapung dan pusat khidmat pelancong.

Di tasik ini juga sering diadakan sukan air peringkat negeri Perak sempena Hari Kebangsaan.

Di antara acara yang sering diadakan ialah perlumbaan perahu panjang dan kayak.

Sumber: Sinar Harian

Panorama Perak - Tanjong Malim 2

Proton City di Tanjong Malim (imej dari www.iproperty.com.my)

Bandar Tanjong Malim ini bermula daripada sebuah tanjung (kawasan air atau tanah yang wujud daripada hakisan sungai) yang sangat luas.

Kawasan ini diterokai seorang ulama' yang bernama Tuan Haji Mustafa bin Raja Kemala.

Sempena dengan kedudukan tanjung yang sangat luas ini, Tuan List (wakil kerajaan Negeri Selat) dan Raja Itam menamakan bandar ini dengan nama Tanjong, manakala perkataan Malim (mu'alim) adalah berkaitan dengan penduduk di kawasan Tanjong itu yang sangat rajin beribadat ketika itu.

Selain pekan Tanjong Malim terdapat beberapa pekan dan pekan kecil yang berhampiran dengan bandar Tanjong Malim termasuk dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Tanjong Malim.

Sumber: Sinar Harian

Panorama Perak - Latar Belakang Kinta Selatan

Grand Kampar Hotel di bandar Kampar

Kampar memberi pengertian Bandar Kampar dan kawasan-kawasan sekitarnya dalam lingkungan 10-20 batu persegi.

Penerokaan dan petempatan awal Kampar mempunyai kaitan dengan penemuan bijih timah itu sendiri, maka tidak hairan jika ada pendapat yang mengatakan "Kampar dibangunkan di atas bijih timah" dan sehingga kini bijih timah masih dilombong meskipun kepesatannya mulai berkurangan akibat kemerosotan pasaran timah.

Dari sudut geografi dan geologi, Kampar terletak dalam lingkungan Lembah Kinta, kedudukannya seperti dalam kawah di penghujung barat kaki Gunung Bujang Melaka yang disaliri Sungai Keranji dan Sungai Kampar. Tanah lanar adalah kaya dengan logam timah. Sungai itu memendapkan tanah dan batu kecil kelikir yang mengandungi logam timah di tebing dan dasarnya, proses ini telah berlaku berjuta tahun dahulu, menjadikan kawasan itu kaya dengan longgokan bijih timah.

Peringkat awal, aktiviti perlombongan di Kampar dijalankan secara mengorek lubang kecil untuk mendapatkan tanah yang mengandungi bijih dan mendulangnya di tebing.

Sumber: Sinar Harian

Anak Perak mahu takluk selat di lima benua

Zahra dan Salman sewaktu merentasi Selat Melaka (imej dari Pulau-Pangkor.com)

Zahra Masoumah Abdul Halim, 18, merupakan seorang remaja yang sedang disebut-sebut kini. Kerana beliau ingin melakar sejarah sebagai gadis Melayu pertama yang berenang merentasi Selat Inggeris.

Zahra Masoumah Abdul Halim dilahirkan di Taiping, Perak sebelum ini pernah berenang daripada Pulau Pangkor ke Lumut sewaktu berusia 15 tahun. Beliau merupakan pemegang dua anugerah Malaysia Book of Records dalam acara renang jarak jauh di laut terbuka iaitu untuk 9 kilometer dan 43 kilometer.

Beliau mula belajar berenang ketika berusia enam tahun. Beliau mengambil bahagian dalam acara larian jarak jauh 10 kilometer ketika berusia 9 tahun. Dorongan untuknya belajar berenang apabila hampir lemas sewaktu berusia empat tahun akibat terjatuh ke dalam Tasik Chenderoh, Kuala Kangsar.

Zahra mendapat bimbingan daripada jurulatih renang khas encik Arof Omar, bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Zahra kini menjadi perenang Fasa Ketiga untuk projek Ekspedisi Ekstrem 7 Benua 7 Nilai (EE7B7N). Ekspedisi itu turut disertai oleh adiknya sendiri Salman Ali Shariati Abdul Halim (11) dan Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin atau Qobin (26).

Sebelum ini mereka telah berenang merentasi Selat Melaka sejauh 49 kilometer pada 30-31 Disember 2008. Mereka akan berenang merentasi Selat Inggeris sejauh 54 kilometer pada bulan Julai 2009.

Pencapaian Zahra Masoumah Abdul Halim

2004

- Berenang merentasi Damar Laut ke Lumut sejauh 1.2 kilometer bersama adiknya, Zahra Mansourah dan Salman Ali Shariati.


2006

- Perenang Berpasangan Termuda Jarak Jauh negara dalam acara Renang Amal 2006 merentasi Selat Dinding dari Pulau Pangkor ke Lumut sejauh 8.9 kilometer dengan adiknya Salman.

- Anugerah Malaysia Book of Records yang pertama.

- Anugerah Khas dan sumbangan wang dari kerajaan Negeri Perak.

- Penghargaan khas daripada Datuk Bandar Ipoh.

- Anugerah Khas Sukan SMK Convent, Ipoh.


2007

- Perenang Berpasangan Termuda Jarak Jauh dalam acara Renang Amal 2007 merentasi laut dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis, sejauh 43 kilometer jarak marathon bersama adiknya, Salman.

- Anugerah Malaysia Book of Records untuk kali kedua.

- Anugerah khas dan sumbangan wang daripada Kerajaan Negeri Perak sempena Sambutan 50 Tahun Merdeka.

- Penghargaan khas dan sumbangan wang daripada UMNO Negeri Perak.

- Anugerah Khas Sukan SMK Convent, Ipoh, Perak.

- Berenang jarak 12 kilometer dalam kolam renang rekod selama lima setengah jam bersama adiknya, Salman di Kolam Renang Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) disahkan oleh Datuk Bandar Ipoh pada 18 Mac 2007.

- Pelari termuda jarak 10 kilometer dalam kategori wanita terbuka di Ipoh International Run 2001, 2002 dan 2007.

- Mewakili SMK Convent Ipoh dalam acara merentas desa dan larian jarak jauh trek 1,500 meter dan 3,000 meter; memenangi pingat perak dan gangsa pada 2007.

- Tempat kedua acara Biathlon (renang 800 m-berlari 4 km) kategori wanita 16 tahun di Bukit Merah International Triathlon 2007.

- Acara berkumpulan Relay, Triathlon Jarak Olimpik (1.5 km berenang - 40 km berbasikal - 10 km berlari) di Port Dickson International Triathlon 2008, Negeri Sembilan dalam kategori dewasa.

Sumber: Sinar Harian

Monday, May 18, 2009

Boling 10 pin

Boling sepuluh pin atau lebih dikenali sebagai ten-pin boling adalah sejenis sukan kompetitif dan riadah dimana seorang pemain diperlukan untuk menggolek bola di atas lorong yang dibuat dari kayu atau sintetik (polyurethane) dengan tujuan untuk mendapat mata secara menjatuhkan sebanyak pin yang mungkin.

Lorong boling tersebut berukuran 105 cm lebar dan 18.2 meter panjang. Di kiri kanan lorong tersebut terdapat dua longkang yang akan mengutip bola yang melencong ke luar. 6 meter ke hadapan adalah ruangan untuk pemain bergerak dan baki 12 meter untuk bola bergolek ke arah 10 pin yang disusun secara segi tiga di hujung lorong.

Pemain akan naik ke pelantar lorong tersebut dengan bola seberat antara 2.7 hingga 7.7 kilogram.

Permainan ini berasal dari permainan 'skittle' dan sangat popular di Eropah dan Amerika Syarikat. Kini pemain-pemain dari Asia Tenggara telah maju dalam permainan ini dan ramai juga yang bergelar juara dunia. Di Sukan Asia 2006, emas Malaysia banyak disumbangkan oleh pasukan ten-pin bolingnya.

Antara pemain negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia dalam acara sukan ini ialah Shalin Zulkifli.

Beliau dilahirkan pada 28 Mac 1978 di London, England, adalah pemain boling 10 pin profesional dan bekas nombor satu Asia. Beliau pernah bertanding dan menjuarai pelbagai kejohanan kebangsaan dan antarabangsa dan beberapa kali dalam kerjaya beliau menduduki kedudukan pertama pemain boling 10 pin profesional di Malaysia dan Asia.

Shalin memegang ijazah dalam Sains Sukan yang mengkhusus dalam Psikologi dan Latihan Sukan. Kini, beliau memiliki dan mengendali sebuah gelanggang boling 10 pin di The Curve, Mutiara Damansara.

Sumber: Sinar Harian

Sambutan Hari Guru

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu telah menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran bagi negara.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan sejak itu.

Objektif Hari Guru Malaysia

-Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

- Menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.

- Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibbah di antara guru.

- Meninggikan mertabat dan taraf guru dalam masyarakat.

- Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar, persidangan dan sebagainya.

- Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Logo Hari Guru

Putih
-Menunjukkan kesucian, kesempurnaan dan keimanan.

Perak
-Menunjukkan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan teguh.

Kuning
-Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan. Bulan dan bintang membawa erti yang terkandung dalam bendera Malaysia.

Merah
- Menunjukkan keteguhan semangat.

Biru
- Menunjukkan perpaduan muhibbah.

Dari pusat lambang tersebut, muncullah buku yang memberi ilmu pengetahuan. Reka bentuk seorang murid yang sentiasa memerlukan pengajaran dan pendidikan daripada guru. Dua reka bentuk di antara murid dan buku ialah guru perempuan dan lelaki berfikiran sama dalam segala lapangan tentang matapelajaran dan kokurikulum. Slogan 'Hidup Berbakti' ini menjadi sebuah tapak yang luas dan kukuh membuktikan perpaduan guru.

Sumber: Sinar Harian

Maktab Rendah Sains Mara

Maktab Rendah Sains Mara atau MRSM adalah sekolah berasrama penuh yang dibina oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) hampir di seluruh Malaysia.

MRSM telah ditubuhkan di bawah Akta Majlis Amanah Rakyat Bil 20 tahun 1966 sebagai satu usaha untuk mencapai matlamat MARA dalam bidang latihan dan pendidikan.

MRSM ditubuhkan untuk memberi kemudahan pelajaran di peringkat menengah dan pra-universiti dalam bidang sains, teknologi dan keusahawanan kepada pelajar Bumiputera yang mempunyai keupayaan mental yang tinggi.

Sistem pendidikan MRSM bergerak di atas landasan bahawa pelajar Bumiputera yang berminat dan berkebolehan dalam bidang sains, teknologi dan keusahawanan akan mendapat pendedahan lebih awal supaya memberi keyakinan yang lebih tinggi untuk menceburkan diri dalam bidang pekerjaan yang berasaskan sains dan teknologi.

Sistem pendidikan MRSM akan membiasakan pelajar dengan pendidikan berasaskan sains dan teknologi serta unsur keusahawanan sebagai satu aspek kebudayaan Malaysia yang akan memupuk perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial.

Ini akan mewujudkan pelajar yang mempunyai daya pemikiran yang kritis, kreatif, terbuka, sihat, luas dan mendalam, di samping mempunyai semangat patriotik dan nasionalisme yang tinggi.

Kini terdapat 42 MRSM di negara ini di mana 38 buah di Semenanjung Malaysia manakala empat lagi terletak di Sabah dan Sarawak.

MARA merupakan badan berkanun mempunyai sistem kewangan yang tersendiri bagi membantu menjayakan pendidikan dan pembangunan usahawan dalam kalangan Bumiputera.

Sumber: Sinar Harian