Biasakan diri mematikan suis elektrik sebaik selesai menggunakannya terutama peralatan yang berisiko menjadi penyebab kebakaran seperti pemanas air, seterika dan sebagainya.
Selain peralatan elektrik, lingkaran nyamuk juga mampu menjadi punca kebakaran jika ia diletakkan di tempat yang kurang sesuai seperti di atas kertas, tikar getah dan sebagainya kerana ia merupakan barang yang mudah terbakar.
Lebih membimbangkan apabila lingkaran nyamuk ini dipasang ketika hendak tidur kerana waktu itu sukar untuk kita menyelamatkan diri memandangkan dalam keadaan separuh sedar.
Jika hendak meninggalkan kanak-kanak di rumah, pastikan ada orang dewasa bersama di dalam rumah tersebut bagi mengelakkan kanak-kanak melakukan perbuatan yang boleh membawa musibah.
Kanak-kanak tidak boleh dibiarkan bersendirian di rumah tanpa pengawasan ibu bapa memandangkan sifat mereka yang ingin mencuba.
Peralatan atau barangan yang mudah terbakar perlu disimpan dengan baik dan pastikan juga ia tidak mampu diambil oleh kanak-kanak bagi mengelakkan mereka mencuba sesuatu yang boleh membahayakan diri mereka dan orang ramai.
Perkara yang paling penting untuk dielakkan sewaktu berlakunya kebakaran adalah kecederaan dan kehilangan nyawa kerana ia mampu memberikan kesan kepada mangsa atau waris yang terlibat dalam kebakaran.
Kemusnahan harta benda akibat kebakaran memang sesuatu yang menyedihkan tetapi ia masih boleh diganti tetapi jika kemusnahan itu melibatkan kehilangan nyawa, tiada galang gantinya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment