Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, December 17, 2009

10 tarikan pelancongan di Perak



Royal Belum

Royal Belum merupakan sebuah hutan dara yang luas dan merupakan salah satu kawasan hutan simpan terbesar di Semenanjung yang tidak pernah diterokai oleh manusia.  Hutan ini kaya dengan flora dan fauna yang mana banyak kawasan di sini belum pernah diteroka atau diganggu oleh kehadiran manusia malah bukan sahaja sebagai pintu gerbang tetapi rumah kepada khazanah alam semula jadi yang unik dan penting.  Kawasan hutan hujan Tropika yang sudah berusia lebih 130 juta tahun dan berkeluasan 300,000 hektar itu dihuni lebih 3,000 spesies pokok, 274 spesies burung, 168 spesies rama-rama, 100 spesies haiwan dan pelbagai spesies ikan darat serta terdapat beberapa suku kaum Orang Asli yang masih mengekalkan cara hidup primitif mendiami kawasan belantara itu.

Kredit gambar: www.pbase.com/alexfoong/image/83512447






Hutan Paya Bakau Matang

Perak mempunyai hutan paya bakau yang berkeluasan 40,000 hektar dan ia sering dikunjungi kerana kawasan tersebut kaya dengan hidupan liar pelbagai habitat.  Hutan Paya Bakau Matang merupakan ekosistem hutan paya bakau yang paling besar di Semenanjung Malaysia dan hutan ini meliputi kawasan sepanjang 50 kilometer bahagian pantai barat di utara negeri Perak dan 40 kilometer lagi di sepanjang pinggiran sistem sungai-sungai di dalam lima kawasan muara yang terlindung.  Sewaktu musim penghijrahan burung antara Ogos dan April setiap tahun, terdapat lebih dari 200,000 ekor burung dari kira-kira 50 spesies dijangka singgah di sini dan masa terbaik untuk memerhati burung ialah dari bulan September hingga Mac.

Kredit gambar: fireflyzone.blogspot.com/2009/06/matang-dan-kuala-sepetang.html




Gua Tempurung

Gua Tempurung yang merentasi 1.3 kilometer dipercayai telah dihuni oleh manusia seawal 8000 BC antara destinasi menarik yang wajar dikunjungi.  Gua ini dikatakan mempunyai gua batu kapur semula jadi terbesar di Semenanjung Malaysia dan ia terletak di kawasan Gopeng, 24 kilometer ke selatan Ipoh.  Gua ini membentuk lima bucu (dome) yang siling atasnya berbentuk tempurung kelapa, dengan setiap bucu mempunyai pelbagai bentuk stalagmit dan stalaktit serta bucu ini juga berbeza antara satu yang lain tergantung kepada suhu, paras air, kandungan batu kapur dan marmar.  Gua ini juga mampu memukau sesiapa sahaja yang mengunjunginya apabila terpandang kewujudan pelbagai bentuk arca seperti singa, naga, buaya dan ikan lumba-lumba yang terhasil dari proses geomoforlogi yang berlaku beribu-ribu tahun yang lalu. 

Kredit gambar: wikipedia




Taman Herba

Perak mempunyai daya tarikan terutamanya mereka yang berminat dengan herba di mana sebuah kawasan yang dahulunya bekas lombong terbiar telah diusahakan dan menjadi Taman Herba Negeri Perak.  Taman Herba ini menghimpunkan 525 spesies pelbagai jenis herba yang tersohor namanya dalam bidang perubatan dan farmasi dan terletak di kawasan seluas 22 hektar di Jalan Simpang Pulai-Gopeng.

Kredit gambar: pertanianmjg.perak.gov.my/bahasa/kandungan.htm




Kolam Air Panas Sungai Klah

Berkunjung ke Perak pasti lebih menarik apabila mengunjungi kawasan perkelahan untuk merehatkan badan dengan berendam di Kolam Air Panas Sungai Klah yang terletak di Sungkai.  Dibangunkan pada Disember 2003 di atas tanah rizab seluas 49.3 hektar dalam lingkungan Banjaran Titiwangsa dan berkedudukan 610 meter dari paras laut ini lebih dikenali di kalangan pelancong asing dan tempatan dengan nama Taman Rekreasi Air Panas (TRAP).

Kredit gambar: cheaptravel-shape.blogspot.com/2009/03/hot-spring-felda-sg-klah-sungkai-part-1.html




Pulau Orang Utan

Pulau Orang Utan terletak di dalam Bukit Merah Laketown Resort.  Pulau Orang Utan seluas 14 hektar digerakkan oleh Yayasan Pulau Orang Utan bagi memelihara haiwan itu selain memantau kelahiran anak Orang Utan dan sehingga kini, Pulau Orang Utan dilengkapi pelbagai kemudahan semula jadi bagi memastikan 24 haiwan itu hidup dengan selesa, seolah-olah di kawasan habitat semula jadinya.

Kredit gambar: shw.saiza8.fotopages.com/16803620/Ni-la-Pulau-Orang-Utan.html




Pulau Pangkor

Pulau Pangkor dengan kombinasi perkampungan nelayan yang mempersona serta tempat penginapan yang mewah merupakan destinasi percutian yang mengagumkan dan mudah dikunjungi. 

Kredit gambar: www.cuti.com.my/Sub/Perak/guide_pangkor.htm




Kuala Kangsar

Bagi mereka yang gemarkan seni bina dan hasil buah tangan masyarakat Melayu lama, mereka pasti akan terpegun apabila mengunjugi Masjid Ubudiah, salah satu masjid tercantik di Malaysia terletak di Bandar DiRaja Kuala Kangsar.  Daerah itu juga menyediakan banyak pameran menarik terutama sekali di Galeri Sultan Azlan Shah, Istana Iskandariah, kilang pembuatan labu Sayong dan pusat kraf tangan.

Kredit gambar: www.kemmotivasi.com




Tokong-tokong gua batu kapur

Perak juga terkenal dengan gua-gua batu kapur yang menarik dan didirikan tokong seperti Tokong Sam Poh Tong.  Sam Poh Tong ialah sebuah gua terkenal yang terletak di Gunung Rapat, kira-kira 5 kilometer ke selatan bandar raya Ipoh dan ia dikatakan tokong terbesar di Malaysia yang mempamerkan hasil seni yang mengagumkan.  Bahagian hadapan tokong yang ada sekarang telah wujud sejak tahun 1950-an dan tangga yang mempunyai 246 anak tangga ini akan membawa anda ke sebuah gua terbuka yang mempunyai pemandangan bandar raya Ipoh serta persekitarannya yang amat menarik.

Kredit gambar:  trifter.com/.../nine-famous-caves-of-malaysia

Sumber: Sinar Harian

No comments: