Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, November 16, 2009

Nabi Ibrahim a.s. mencabar bapanya


Tinggalan kota Babylon yang masih terdapat di Iraq


Pada suatu hari Nabi Ibrahim a.s. terlihat bapanya Azar menyembah berhala.  Kata Nabi Ibrahim a.s. kepadanya,

"Apakah batu dan patung itu mesti disembah?"

Jawab bapanya,

"Kami sembah apa yang disembah oleh datuk nenek kami dahulu."

Kata Nabi Ibrahim a.s.,

"Kalau begitu ayah dan datuk nenek ayah berada dalam kesesatan yang amat nyata.  Tuhan yang sebenarnya adalah Tuhan yang menjadikan alam dan yang menjadikan sekalian manusia."

Nabi Ibrahim a.s. memandang kepada bapanya dan menambah,

"Wahai ayahku, kenapalah ayah menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak berguna kepada sesuatu apa pun?"

"Wahai ayahku, aku telah menerima sesuatu yang tidak diketahui oleh orang lain.  Ikutlah aku, nescaya aku akan membawa kepada jalan yang benar."

"Wahai ayahku, janganlah ayah mengikut jejak langkah Syaitan kerana Syaitan itu telah menderhaka kepada Tuhan."

"Wahai ayahku, aku takut kiranya ayah diazab oleh Tuhan, sekiranya ayah menurut kemahuan Syaitan."

Marahlah bapanya kepada Nabi Ibrahim a.s. yang telah berani mencabarnya di hadapan kaum-kaumnya dan menghina sembahannya.  Bapanya berkata,

"Dustalah engkau hai Ibrahim.  Siapakah Tuhan yang lain selain dari berhala-berhala ini?"

Nabi Ibrahim a.s. menjawab,

"Bukan tujuanku hendak menerbitkan kemaharan ayah.  Aku tahu akan kemuliaan dan kelebihan ayah kepadaku, yang telah mendidik dan memeliharaku dari kecil.  Tetapi hak Tuhanku adalah lebih besar dari segala-galanya."

"Tuhanku, Dialah yang menjadikan aku dan diberi petunjuk kepadaku.  Dialah yang memberi rezeki, makan dan minum kepadaku.  Apabila aku sakit Dialah yang menyembuhkan.  Tuhan yang mematikan aku kemudian dihidupkan kembali.  KepadaNyalah aku menuntut supaya diampunkan dosaku di hari Kiamat.  Dialah Tuhanku iaitu Allah."

Bersambung.....

Dipetik dari buku Tuntunan Ibadat susunan Syeikh Ali b. Abdullah Baldram Ali Baldram

No comments: