Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, November 5, 2009

Green Ridge

Papan tanda menunjukkan lokasi Green Ridge di Kampar, Perak (imej dari khalsadiwan.org)

Gambar pemandangan Green Ridge di Kampar, Perak (imej dari khalsadiwan.org)

Oleh Siti Zubaidah Zakaraya

Green Ridge merupakan sebuah kawasan pertempuran tinggalan Perang Dunia Kedua terletak di sebuah daerah di negeri Perak Darul Ridzuan iaitu Kampar telah wujud lebih 50 tahun lalu.

Bagi yang tidak mengetahui tentang sejarah yang terlindung di balik namanya, pasti kedengaran pelik dan mungkin tidak percaya bahawa Kampar merupakan satu lokasi terpenting dunia suatu masa dahulu.

Wujudnya di tengah kesibukan pekan Kampar, berada di tepi laluan sebelah kiri jalan utama menghubungkan Gopeng ke Kampar dan lokasinya di atas bukit sebelum persimpangan ke Bandar Baru.

Senang untuk ke lokasi walaupun terpaksa mendaki hanya kira-kira setengah jam namun bagi mereka yang tidak pernah tahu wujud satu kawasan kubu pertahanan yang digunakan semasa Perang Dunia Kedua antara tentera Jepun dan British di sini.

Bagaimanapun, andai peninggalan sejarah tersebut terus-terusan dibiarkan tanpa sebarang tindakan untuk mempertahankannya, tidak mustahil bahan sejarah tersebut hanya tinggal sejarah.

Oleh yang demikian, Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Kuala Dipang bersama tokoh sejarah tempatan menggesa supaya Green Ridge dikekalkan sebagai warisan sejarah.

Menurut cerita tokoh sejarah, Harchand Singh Bedi, kawasan pertempuran empat hari yang berlansung 30 Disember 1941 sehingga 2 Januari 1942 antara tentera India dan Jepun menjadikan kawasan berkenaan sebagai kubu pertahanan.

Selain itu lokasi ini juga merupakan kawasan di mana ratusan tentera Jepun dan British terkorban semasa Perang Dunia tersebut.

"Bagaimanapun, hasrat PBTM dan tokoh sejarah yang ingin mengekalkan kawasan kubu serta penubuhan galeri dan tugu peringatan perang untuk generasi akan datang akan diambil kira," kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam lawatannya ke lokasi berkenaan.

Menurutnya, perbincangan antara 199 pemilik akan dijalankan bagi mencapai kata sepakat atau menggantikan semula tanah seluas 12 ekar ini kepada pemilik akan dilakukan andai kawasan berkenaan dibangunkan sebagai sebuah pusat pelancongan.

"Selain itu, saya juga meminta semua yang terlibat termasuk wakil rakyat, Ahli Parlimen, ketua jabatan di Kampar mengadakan rundingan bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Selain dilengkapi kubu perparitan, pos pemerhati dan laluan rahsia, lokasi ini turut menjadi tempat rujukan penuntut Kolej Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Komanwel dalam subjek sejarah peperangan.

Katanya, setiap tahun veteran tentera Perang Dunia Kedua dari Britain, India, Pakistan dan Jepun akan mengunjungi tempat ini dan mengikut kajian secara rawak yang dijalankan PBTM, lokasi ini akan menjadi tumpuan seperti kota A Famosa di Melaka, sekiranya aktiviti pelancongan dilaksanakan.

Seperti kata wakil PBTM, projek yang bakal dilaksanakan itu dapat menambah pendapatan penduduk kampung selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat jika dibangunkan menjadi pusat pelancongan dan pada masa sama keuntungan sama akan diterima kerajaan negeri.

Selain dikekalkan, mereka juga berharap agar dapat membina taman rekreasi di atas bukit tersebut yang dikatakan sesuai dijadikan memorial dan bahan sejarah untuk ditatap generasi muda.

Artikel dicuplik dari akhbar Sinar Harian bertarikh 5 November 2009

No comments: