Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, October 20, 2009

Sekolah Kebangsaan Ulu Kenas

Kampung Ulu Kenas adalah sebuah kampung dalam daerah Kuala Kangsar yang jaraknya lebih kurang 13 kilometer dari Bandar DiRaja itu.

Sebelum tahun 1949, Kampung Ulu Kenas ini tidak mempunyai sekolahnya sendiri.

Oleh itu, semua kanak-kanak di kampung ini bersekolah di Sekolah Melayu Kampung Lempor dan Sekolah Melayu Kampung Ketior.

Seramai 60 orang kanak-kanak dari kampung ini pergi belajar di kedua-dua sekolah tersebut.

Menyedari pentingnya pendidikan, maka Ketua Kampung ketika itu, Allahyarham Encik Adun Shah bin Abd. Wahab mengadakan mesyuarat dengan penduduk khusus mengenai ketiadaan sekolah di tempat sendiri.

Satu keputusan sebulat suara dicapai memohon kepada kerajaan supaya sebuah sekolah didirikan di kampung ini. Permohonan ini diluluskan dengan beberapa syarat iaitu penduduk hendaklah menyediakan tapak dan membina sendiri bangunan sekolah tersebut.

Pihak kerajaan akan menyediakan peralatan pengajaran dan pembelajaran serta tenaga pengajarnya.

Dengan semangat perpaduan dan kerjasama yang baik, seluruh penduduk yang diketuai Ketua Kampung membina sebuah bangunan kayu beratapkan rumbia.

Bangunan sekolah itu dibina di atas tapak yang disumbangkan seorang penduduk kampung ini iaitu Juaini Powiro.

Perasmian bangunan sekolah itu disempurnakan Yang Amat Berbahagia Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar pada 17 Januari 1949 dengan jumlah tenaga pengajar seramai dua orang dan 62 orang murid.

Sejak dari tarikh itu maka bermulalah era persekolahan di kampung ini.

Orang pertama yang ditugaskan oleh Kerajaan bagi memulakan alam persekolahan di kampung ini ialah Cikgu Megat Megat Yasin sebagai Guru Besar pertama Sekolah Kebangsaan Ulu Kenas.

Sumber: Sinar Harian

No comments: